"Untuk you, I sanggup buat apa pun. Sebab I betul-betul sedar, hati I hanya mahukan you. You saja yang boleh jadi suami I." Sofea kesat air mata yang jatuh tak henti-henti.
Semenjak kenyataan yang dia cuba sembunyi sudah diketahui Qaisar, matanya tak putus-putus mengalirkan air mata. Tambah pula bila mama dia sendiri tak menyokong. Wanita itu jangankan nak berpihak kepadanya, mengata dan mengutuk dia lagi adalah. Sudahnya, matanya makin membengkak gara-gara menangisi nasib diri.
Qaisar terkebil-kebil melihat wajah penuh mengharap Sofea. Sungguh tak sangka Sofea akan merayu dia begitu. Bagai hilang maruah diri saja wanita itu. Beberapa saat kemudian, dia terus melepaskan tawanya. Ingat dia kisah ke dengan kata-kata Sofea yang macam kemaruk lelaki tu? Haram dia nak peduli.
"Janganlah gelak, Qaisar," ujar Sofea antara esak. Terasa hati bila ketulusan hati dan perasaannya kepada Qaisar diperlekeh begitu saja. Serupa dia dan perasaannya tak ada harga langsung di mata Qaisar.
Qaisar tetap ketawa. Tangan naik menghapuskan air mata di hujung matanya.
Sofea makin makan hati dengan sikap tak peduli dan tak sudi Qaisar. Dia pandang Puan Azimah yang sedang duduk di kerusi di hujung katilnya, bersandar pada dinding, tekun saja baca sebuah buku agama. Muka tak mahu terlibat wanita itu meruntun perasaan Sofea. Sofea tahu dia salah kerana sembunyikan perkahwinannya daripada pengetahuan wanita itu.
Tapi, itu bukanlah perkara yang mamanya marahkan sangat. Wanita itu marah kerana sikapnya mengejar lelaki lain bagai perempuan gila talak sedangkan status yang dipegangnya adalah isteri orang! Itu yang Puan Azimah marahkan kerana dia berlagak bagai perempuan tak beragama!
Curang perasaan kepada lelaki lain ketika masih bergelar isteri adalah sesuatu yang Puan Azimah tak boleh terima. Sebab perangainya itu saling tak tumpah dengan ayahnya yang menceraikan mama demi perempuan lain!
Sofea pandang Qaisar. "Qaisar..."
"Sudahlah, Fe. You melutut depan I pun, kenyataan takkan berubah. You isteri orang! Dan, kalau you bukan isteri orang sekalipun, I tetap takkan kahwin dengan you," tekan Qaisar. Dia dah bosan ulang hal yang sama. Sofea saja belum bosan dengar benda yang serupa.
"I dah cakap kan, I akan bercerai dengan dia. Lepastu kita boleh kahwin." Bersungguh-sungguh Sofea memujuk.
"Masalahnya, I tak nak kahwin dengan you!" Selamba Qaisar kata. Gaya nak kasi Sofea sakit jiwa.
"Kenapa?" Sofea tak puas hati.
"Hati I hanya memilih Zandra Aleesa, Fe. I pilih dia untuk jadi ibu kepada anak-anak I. I hanya mampu beri kasih sayang dan perhatian I pada Zandra Aleesa seorang aje. Sumpah, lillahi. I takkan mampu berikan apa yang you nak, Fe. Nafkah zahir? Yes, I lebih dari mampu. Tapi untuk nafkah batin..." Qaisar gelengkan kepala seraya menunduk.
"I yakin I tak mampu untuk adil. I tak mampu nak jaga hati dua orang wanita, Fe. Dan yang akan terluka dan terasa hati adalah diri you. Emosi dan mental you akan sakit nanti. Jadi, tolonglah faham, Fe." Qaisar cuba fahamkan wanita yang sedang menangis ini.
"Lagipun you janda. Tak berminat nak rasa bekas orang." Qaisar jawab selamba dengan muka suci.
Merah muka Sofea yang sudah sedia merah kehitaman itu.
"Sekurang-kurangnya you tahu status I. Zandra tu, you yakin sangat ke dia masih dara?" balas Sofea lontar sama perasaan luka disakiti. Hentam balik.
"Watch your rude mouth, Afrina Sofea. She's my wife. Of course, I know." Keras suara Qaisar tika ini. Muka main-main boleh bawa bergurau Qaisar, automatik hilang. Garang renungannya sentuh wajah Sofea. Rahangnya diketap kuat.