Encik Zul Adam pandang surat peletakan jawatan Zandra di atas mejanya. "Why, Leesa?"
Zandra senyum.
"Papa tahu keadaan Leesa kan? Leesa dah tak boleh aktif macam dulu. Leesa doktor, pa. Leesa tahu macam mana keadaan badan Leesa sekarang. O&G pun dah sarankan untuk Leesa bedrest sampai bersalin. It's crucial time for me, pa. Leesa kena pastikan anak Leesa baik-baik aje."
Encik Zul Adam angguk. Terima jawapan itu.
"Tapi, maaf. Papa tak terima permohonan perletakan jawatan Leesa ni. Kalau Leesa nak cuti, papa boleh bagi selama mana Leesa nak. Lepas Leesa bersalin, habis pantang, Leesa boleh kembali bekerja semula," tekan Encik Zul Adam.
"Itu pun kalau Leesa masih berpeluang untuk bernyawa lepas bersalin." Zandra kerdip mata nakal.
Encik Zul Adam terkedu. "Jangan cakap macam tu, Leesa. Anak dalam perut Leesa perlukan ibu dia. Leesa kena kuat. Papa ada di belakang Leesa."
Zandra senyum tipis dan pahit. Perlahan-lahan sepasang mata itu ditakungi air hangat.
"Leesa... tak kuat sebenarnya. Leesa cuma buat-buat kuat. Ada masa Leesa kecewa sangat. Tertanya-tanya, kenapa Leesa? Kenapa Dia nak pisahkan Leesa daripada anak yang Leesa kandung tanpa bagi kesempatan untuk anak Leesa rasa kasih sayang dan perhatian ibu dia? Dan..." Bibir Zandra bergetar.
"Kenapa buat Leesa jatuh cinta kepada suami Leesa kalau Leesa dengan dia akan berpisah? Leesa selalu bangkitkan soalan-soalan tu kepada Allah. Leesa cuba telan semua pahit tu, pa. Cuba untuk sepenuhnya reda. Tapi..." Zandra seka air mata di hujung mata.
Encik Zul Adam berdiri sebelum mendekati tubuh anaknya. Tubuh itu dipeluk erat.
"Tu tandanya sebab Leesa manusia, sayang. Leesa tanya, Leesa soal, Leesa pertikaikan sebab Leesa manusia. Dan dalam masa yang sama Leesa jugak manusia yang kuat. Pelan-pelan Leesa terima dan telan pahit takdir tu walaupun kadang-kadang Leesa mempersoalkan takdir Allah. Tapi, papa harap Leesa takkan salahkan takdir. Bersangka baik dengan Allah, ya sayang? Jangan ulang kesalahan papa."
Tangan naik menyeka air mata di wajah anaknya. Kolam matanya juga sarat dengan air. Tunggu masa saja untuk tumpah ke pipi.
"Ingat Leesa, Allah takkan uji hambaNya kalau hambaNya tak mampu. Allah uji sebab Allah sayang. Kadang-kadang kita terlupa, saat ujian dan dugaan datang, Allah hanya mahu kita bersabar, berdoa dan solat serta ingat pada Dia. Allah sayangkan anak papa sebab tu dia uji anak papa."
"Ajal maut semua tu dekat tangan Allah. Selagi masih diberi peluang, nikmatilah hari-hari Leesa dengan rasa syukur. Berjalanlah dengan penuh harapan walaupun hidup Leesa penuh dengan dugaan. Ada sebab berlaku sesuatu perkara dan yakinlah dengan kuasa Allah," pujuk Encik Zul Adam lembut. Dia mengucup ubun-ubun Zandra.
Zandra mengawal tangisannya daripada menjadi esakan.
"Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabar akan disempurnakan pahala mereka tanpa batas. Surah Az-Zumar, ayat 10. Allah sayang Leesa, Allah nak Leesa ingat Dia, dekatkan diri Leesa dengan Dia. Bersabarlah, puteri papa. Jika Leesa perlukan bahu untuk bersandar, papa sentiasa ada untuk Leesa."
Zandra jauhkan tubuhnya. "Terima kasih, pa. Papa doakan Leesa, ya?"
Encik Zul Adam angguk seraya kenyit mata. "Always, princess."
Zandra melepaskan tawa kecilnya. Dia angkat punggung dan gedik-gedikkan jemari tangan kanan seakan melambai.
"Leesa pergi dulu." Zandra tutup pintu bilik dengan tanda nama PRESIDENT & CEO itu.
Kepala yang sejak beberapa minit tadi berdenyut hebat sampaikan telinganya rasa berdengung, disandarkan pada pintu kayu berwarna putih itu. Nafasnya diatur perlahan, tarik dan hela nafas. Naik turun dadanya menahan getar dan gentar yang belum hilang.