Honda Civic hitam milik Zandra meluncur laju masuk ke kawasan parkir hospital yang dikhaskan untuk staf & tetamu VVIP dan doktor sahaja. Memandangkan Zandra bukan siapa-siapa yang ada pangkat atau kepentingan besar di hospital ini, hanya seorang doktor biasa sahaja, makanya dia tidak mempunyai parkir khas untuk dia.
Tapi, kira okey la sebab tak perlu berebut dengan orang awam dan staf yang bukan berpangkat doktor.
Zandra terus pandu perlahan, ke kiri ke kanan arah batang leher. Misi mencari kotak kosong. Ish! Kenapalah penuh sangat hari ni? Agaknya hari ni ramai tetamu VVIP kut. Tapi, rasanya harini pihak hospital takde apa-apa majlis rasmi.
Dah satu hal, kena parking jauh-jauh pulak. Ish, leceh betul. Bilalah aku nak ada kotak parking sendiri ni?
Kereta terus dipandu perlahan. Manalah tahu kalau ada yang masih kosong. Kiri kanannya dipandang. Ha, ada pun! Signal diberi.
Tiba-tiba sebuah Audi R8 putih berhenti disitu. Masuk elok ke kawasan parkir yang Zandra cop dulu!
Zandra terus brek mengejut, terkebil sendiri telan lega. Fuh, nasib baik tak langgar. Tapi, sekejap saja rasa lega itu. Hilang terkejut, terus memuncak kemarahannya.
Kelihatan seorang pemuda kacak keluar dari perut Audi R8 itu. Muka tak ada dosa sahaja di mata Zandra yang angin satu badan. Zandra terus keluar, hentak pintu kereta sendiri lalu hampiri pemuda tersebut, yang sedang bergerak ke arah dia.
"Sorry ya, saudara. Saya baru aje nak parking kereta saya kat situ, tiba-tiba pulak saudara masuk." Marah-marah pun, Zandra masih ajar diri untuk sabar dan menegur seelok yang mungkin. Dia doktor kut... dan ini hospital.
Qaisar tengok gadis di depannya ini disebalik kaca mata Premierre De Cartier yang dipakai, dia dapat lihat wajah itu dengan jelas. Okeylah, nampak lembut sahaja. Kemudian matanya merendah perlahan-lahan.
Gadis yang memakai baju kurung kapas berwarna merah jambu dengan taburan corak bunga-bunga kecil berwarna putih. Rambutnya panjang melepasi paras dada, tidak diikat atau disepit. Dibiar begitu saja, beralun-alun. Dan setiap kali rambut itu beralun sentuh muka sebab angin, setiap kali itulah si manis berwajah mencuka itu tak teragak-agak tolak rambut sendiri daripada sentuh wajahnya.
Qaisar angkat pandangan akhirnya. Amboi, bidadari mana yang sesat dekat Kuala Lumpur ni? Dia akui wajah itu sangat cantik dengan keayuan yang asli, tanpa secalit solekan.
Oh God, she's a beautiful little angel.
"Oi, saudara! Saya cakap dengan saudaralah!" ujar Zandra mula hilang sabar.
Sebagaimana garangnya bercakap, segarang itu juga dia menolak rambutnya yang beralun nak tutup wajah itu. Rambut ni pun, tak tahu ke dia tengah marah. Eei, gigit kang!
Qaisar senyum. Amboi, garang jugak. Nampak saja lembut, tapi boleh tahan menyinga.
"Eh, senyum pulak dia! Hei, saya cakap dengan awak ni tau, bukan dengan tiang letrik tau." Tertunding-tunding dia ke arah tiang eletrik terdekat.
Qaisar pandang tiang eletrik kemudian Zandra.
"Awak bisu ke apa?" marah Zandra terus, geram menjulang-julang. Dah tak boleh nak tunjuk muka doktor dah. Sakit tahap tak boleh nak rawat dah!
"Maaf cik, rasanya tak ada tertulis nama awak kat sini." Qaisar tertinjau-tinjau ke petak parkir yang dia sudah isi.
"Dan, siapa cepat, dia dapat. Understand?" Qaisar tarik kaca mata, sengih nakal lalu mengenyit mata.
Zandra ketap bibir bawah, geram. Ingat comel sangatlah muka tu! Bertambah-tambah panas hati Zandra. Terus dia bentak apa yang dia rasa.
"Awak tak patut buat macamtu. Saya ada kerja tau tak! Saya yang nak masuk dulu tadi. Tiba-tiba awak parking kat sini."