Prang!
Bunyi kuat yang kedengaran mengejutkan Qayyum daripada tidur. Perlahan-lahan dia angkat separuh badan dari tilam dan iringkan ke kanan. iPhone di sisi bantal dicapai dan skrin itu Qayyum tengok dengan mata mamai. Sudah 2.30 petang. Matanya terkelip-kelip, masih ada kantuk bersisa. Semalam dia gantikan syif seorang doktor yang ada kecemasan keluarga.
Prang!
Sekali lagi bunyi kuat itu kedengaran. Bunyi benda jatuh dan pecah. Kali ini, lebih kuat berbanding tadi. Dan, diiringi pula dengan bunyi ketukkan pada daun pintu bersama suara nyaring mummy. Panggil Qaisar!
Kalut Qayyum campak comforter ke samping dan bingkas lompat turun dari katil. Terkocoh-kocoh dia dapatkan pintu bilik tidurnya. Terus dia toleh kepala ke kiri dan nampak mummy sedang ketuk pintu bilik tidur Qaisar di sebelah sana, yang dipisahkan oleh ruang rehat tingkat dua rumah itu.
"Mummy, kenapa ni?"
Qayyum meluru ke arah Datin Quella yang masih ketuk pintu bilik Qaisar dan sesekali wanita itu cuba pusing tombol. Dengan harapan ia boleh dibuka.
"Qayyum, Qaisar..." ujar Datin Quella dengan suara serak menahan rasa. "Dia balik terus mengamuk macam ni."
Datin Quella geleng kepala. "Mummy risau, Qayyum. Dahlah beberapa hari ni dia macam orang sasau. Pasal Leesa, pasal Sofea yang tak faham bahasa tu."
Datin Quella meremas dengan tangan, makin resah. Matanya tunak lihat Qayyum di sebelah.
"Sofea tu... jangan-jangan dia ada buat apa-apa tak? Mana tahu dia paksa jugak Qaisar kahwin dengan dia, ugut entah apa-apa lagi."
Qayyum paut bahu Datin Quella lalu tarik tubuh wanita itu ke arahnya. Bahu mummy ditepuk lembut demi menenangkan hati gusar wanita itu.
"Relax, mummy, relax..."
"Macam mana nak relax, Qayyum? Kamu tak dengar ke bunyi tadi?" Datin Quella mengasak. "Entah apa Qaisar buat kat dalam.."
Datin Quella mula menangis. Sakitnya perasaan memikirkan keadaan Qaisar di dalam sana. Entah apa tanggungan anak lelakinya itu saat ini. Pasti Qaisar terlalu lelah dan perit dengan tanggungan perasaannya. Qaisar tak pernah bertindak sampai begini.
Qaisar yang dia didik dan jaga semenjak kecil, memang bukan penyabar sangat, namun Qaisar tetap boleh bersabar dengan apa keadaan pun. Pasti hati Qaisar hancur remuk dan Qaisar melepasnya kerana tak tahan simpan semuanya sendiri. Ya Allah, anak aku...
Datin Quella pegang dada dan air matanya laju mengalir.
Qayyum yang sudah tak sanggup lihat keadaan Datin Quella berendam air mata begitu ketuk pintu bilik tidur Qaisar. Kuat.
"Qaisar!"
Daun pintu tetap di tempatnya. Datin Quella makin gelisah dengan tangan bersulam tak sudah. Dipandang Qayyum dengan air mata yang makin basah banjiri pipi kanan dan kirinya.
"Qaisar, bukak pintu ni!" Tinggi suara Qaisar sambil ketuk pintu macam nak roboh.
Daun pintu terkuak, dibuka luas dari dalam.
Qaisar pandang muka Qayyum dengan mata dan muka memerah. Datin Quella meluru ke arah Qaisar, paut pipi kanan dan kiri anak lelakinya dengan muka lega. Namun, risaunya masih ada.
"Qaisar, kenapa ni? Apa dah... Ya Allah!"
Qayyum lihat sekitar bilik adiknya, ikut arah anak mata mummy pandang. Kata-kata mummy terhenti kerana keadaan bilik tidur adiknya itu bagaikan diserang angin monsun.