Sudah hampir tiga bulan berlalu, kedua-dua Jeno dan Jaemin sudah bekerja. Jeno bekerja di salah sebuah kedai serbaneka di pekan, manakala Jaemin bekerja di pasar sebagai penghantar barang dengan gaji hari.
Semakin hari, kehidupan mereka semakin sukar. Dari segi makan, mereka semakin dapat makan makanan yang lebih baik daripada sebelumnya. Akan tetapi, kesihatan dan tenaga mereka semakin teruk.
Jeno selalu pulang lewat malam mengikut syif. Kadangkala, dia akan bekerja lebih masa semata-mata hendak mengambil bayaran lebih. Dan jika dia pulang ke rumah, Jaemin sudah tertidur pulas. Bangun pagi pula, Jaemin sudah berangkat kerja ketika Jeno bangun. Begitu lah rutin harian mereka.
Kadangkala, mereka akan bangun seketika untuk menyapa sesama sendiri sebelum tidur kerana kepenatan. Mereka hanya dapat meluangkan masa pada hari rehat Jeno kerana Jaemin bekerja ikut hari dan boleh cuti pada bila-bila masa sahaja. Mereka hanya akan keluar dating selepas hari gaji Jeno.
Perkara ini membuatkan Jeno berfikir setiap masa. Dia tahu dia perlu berpatah balik. Akan tetapi, dia tidak tahu harus bagaimana. Jaemin semakin kurus. Keserian di wajah kekasihnya itu sudah tidak kelihatan lagi. Dia tahu lelaki itu terlalu penat. Dia tahu ada sedikit penyesalam dalam diri Jaemin mengenai kehidupan mereka. Akan tetapi, atas cintanya pada Jeno, dia memendam segalanya.
"Terima kasih sebab cover saya!" Jeno segera menukar pakaian seragamnya sebelum mencapai begnya. "Saya balik dulu!"
Melihat mesej yang ditinggalkan oleh Jaemin hampir sejam yang lalu memintanya untuk singgah membeli ubat jika berkesempatan, Jeno terus menghubungi rakan sekerjanya untuk menggantikan beberapa jam syifnya. Dia berlari membeli ubat dan mujur sahaja masih belum tutup. Kemudian, dia terus berlari pulang ke rumah.
Setibanya di rumah, kelihatan Jaemin terbaring lesu di atas tilam sambil berselubung dengan selimut nipis mereka. Jeno segera mendapatkan lelaki itu. Memegang dahinya membuatkan Jeno sedar bahawa lelaki itu demam panas.
Dia segera memanaskan air dan membasahkan tuala sebelum meletakkannya di dahi Jaemin. Kekasihnya itu bergerak sedikit bagaimanapun tidak membuka matanya. Dia kelihatan seperti dalam kesakitan.
"Jaemin-ah..." gumam Jeno. Dia tidak berniat untuk memanggil atau membangunkan lelaki itu. Akan tetapi, dia tidak berdaya dan hanya memanggil nama lelaki itu.
Jeno melakukan semuanya. Pekerjaan rumah yang selama ini dikerjakan oleh Jaemin membuatkan dia sedar betapa letihnya lelaki itu. Sudah berapa banyak dia berkorban hanya untuk cintanya pada Jeno.
Jeno membersihkan badan Jaemin dengan susah payah kerana lelaki itu langsung tidak berdaya untuk bangun. Saat ini, barulah Jeno sedar betapa kurusnya lelaki itu. Jeno hanya meneruskan kerjanya sambil menitiskan air mata. Pada mulanya, dia ingatkan pengorbanannya adalah yang paling besar. Ternyata tidak. Pengorbanan Jaemin lebih besar untuknya. Cintanya pada lelaki itu semakin membesar. Walaubagaimanapun, dia semakin sedar bahawa takdir bukan untuk mereka.
++++++++++++++++++++
Jaemin membuka matanya perlahan-lahan. Dia sendiri sudah tidak ingat berapa lama dia tertidur. Yang dia ingat hanyalah kesakitan yang dia alami sebelum dia terlelap. Dia masih ingat lagi bagaimana dia menggigil entah kenapa. Buat seketika, dia merasakan dia akan mati tidak lama lagi.
Jaemin segera duduk. Tuala yang berada di dahinya terjatuh. Saat itu, barulah dia sedar bajunya juga sudah bertukar. Matanya memandang sekeliling. Rumah kecil itu sudah dikemas rapi. Harinya juga sudah cerah. Dia memandang jam di telefon bimbitnya. Ia menunjukkan jam 9.07 a.m.
"Awak dah bangun?"
Jaemin segera mendongak. Kelihatan Jeno melangkah masuk ke dalam rumah sambil membawa pakaian yang sudah kering dari ampaian. Dia meletakkan pakaian itu di atas tilam sebelum berjalan ke arah Jaemin. Dia memegang dahi lelaki itu.
"Dah surut." ujar Jeno. "Makan dulu. Saya ada masak bubur. Lepas tu, awak makan ubat lagi."
Jaemin bangun perlahan-lahan dari tilam nipis itu. "Awak tak kerja?"
Jeno menggelengkan kepalanya sambil menghidangkan bubur panas kepada Jaemin. "Saya minta cuti hari ni."
Jaemin mengeluh perlahan. "Awak tak sepatutnya—"
"Jaemin-ah..." Jeno memintas kemudian duduk berhadapan dengan lelaki itu. "Awak lebih penting kepada saya."
Jaemin hanya mengukir senyuman hambar kemudian mengangguk. Dia mula menikmati bubur itu. Satu benda yang dia perasan selama dia tinggal dengan Jeno, masakan lelaki itu sangat sedap. Dia benar-benar menyukainya.
Jeno hanya duduk memerhatikan kekasihnya itu. Dia mula mengingati bagaimana dia bertemu lelaki ini. Sehingga dia mula jatuh cinta. Dan sekarang cintanya semakin kuat. Membuatkan dia semakin berfikir lagi.
Masa depan yang dia lihat adalah masa depan dia hidup bahagia bersama Jaemin. Mungkin hidup mereka tidak sekaya mana, tetapi tidak sesusah ini. Dia membayangkan gelak tawa bahagia mereka. Tapi apa yang sedang berlaku sangat berlawanan dengan apa yang mereka alami.
Melihat keadaan Jaemin semalam membuatkan Jeno benar-benar sedar bahawa dia sudah meragut kehidupan lelaki itu. Dia sangat mementingkan diri tanpa memikirkan risikonya. Dalam kepalanya hanya ada Jaemin, tetapi bukan cara penghidupan mereka.
Dia sudah lama sedar. Mereka bagaikan langit dengan bumi. Tapi dia masih memberi harapan pada Jaemin bahawa mereka mampu hidup bersama. Dia meyakinkan lelaki itu bahawa hanya mereka berdua sahaja yang diperlukan untuk hidup bahagia. Akan tetapi, ia terbukti bahawa semuanya salah.
Jeno ingin bertanggungjawab. Malangnya, dia tidak sekuat yang dia bayangkan. Dia bukan orang yang betul untuk membahagiakan Jaemin. Dan saat ini dia sedar, bahawa dia tidak boleh menolak takdir.
"Jaemin..."
Jaemin memandang Jeno. "Mmm?"
"Kita balik ya."
Pergerakan Jaemin terhenti. Dia mengeras merenung Jeno.
"Dah tiba masanya untuk kita balik ke rumah." Jeno menggenggam buku limanya erat. "Rasanya ini sudah cukup."
Jaemin melepaskan sudu yang dipegangnya. Entah kenapa, dia menjangka perkara ini. "Awak nak balik...ke rumah?"
Jeno mengangguk sambil memandang tangannya sendiri. Dia menggeletar. Dia merasa sakit. Dan dia sendiri tidak tahu perasaan yang mana harus diutamakan dulu.
"Awak tahu kan kalau kita balik kita tak akan boleh bersama?" Jaemin bersuara takut. Dia takut akan segala jawapan yang akan keluar.
"Saya tahu." Mata Jeno sudah mula berkaca. "Mungkin kita tak ditakdirkan untuk bersama."
Jaemin terdiam. Entah kenapa, dia menjangkakan perkara itu. Seolah dia juga berpendapat sama seperti lelaki itu.
"Awak pun tahu. Awak pun dah rasa." Jeno menggigit bibirnya cuba menahan air matanya untuk tidak jatuh bagaimanapun gagal. "Kita tak boleh teruskan. Jadi... Kita balik ya?"
Jaemin hanya mampu memandang lelaki itu sayu. Dan hanya satu jawapan yang ada dalam kepalanya.
"Jom kita balik."
To be continue.....
Well, tak boleh nak buat apa. Cinta je tak cukup.
xoxo, M
YOU ARE READING
Mr. Cinderella [NoMin] [BL]✔️
Fanfiction"Dasar orang miskin! Sebab tu saya benci orang yang tak ada pelajaran!" - Jaemin - "Saya patut biar awak mati je." - Jeno - Jaemin adalah anak orang kaya yang dididik dengan kehidupan yang bertaraf tinggi sejak kecil. Namun, dia tidak menyangka duni...