LASYKAR ILMI | MUKADIMAH

320 34 25
                                    

NASKHAH al-Quran dibuka. Firaz membaca isti'azah sebelum dia menyambung bacaan surah at-Taubah. Fakhrul tekun mendengar bacaan anaknya itu.

Sesekali dia membetulkan sebutan Firaz yang kurang tepat. Firaz hanya mengikuti apa yang dibetulkan itu.

"Ayah, kenapa surah ini tak ada Bismillah?" soal anak itu setelah tamat membaca surah tersebut.

"Surah at-Taubah ini diturunkan dengan tujuan peperangan dan lafaz basmalah merupakan lafaz rahmah. Oleh itu, tidak sepatutnya dihimpunkan kedua-dua di dalam satu masa yang sama. Saidina Ali RA juga pernah ditanya oleh Ibnu Abbas RA, mengapa tidak ditulis basmalah pada permulaan surah at-Taubah? Maka Saidina Ali menjawab, ini kerana basmalah itu keamanan sementara surah at-Taubah diturunkan dengan pedang. Tiada padanya keamanan. Jadi, kita digalakkan untuk sekadar melafazkan ta'awuz sebelum memulakan bacaan surah at-Taubah." Fakhrul menjelaskan kepada anaknya dengan cara yang mudah difahami.

Firaz membulatkan bibirnya.

"Pandainya ayah!" pujinya. Fakhrul tergelak kecil.

"Uthman pun pandai juga..." Dia memaut bahu anaknya.

"Uthman letak al-Quran dekat bilik dulu ya, ayah?" pinta Firaz. Fakhrul membenarkan saja lalu membiarkan Firaz meletakkan al-Quran ke dalam bilik.

Maryam yang baru keluar dari dapur menatang dulang berisi air teh lalu meletakkan ia ke atas meja. Dia menuangkan teh ke dalam cawan dan menghidangkan ia kepada suaminya.

"Terima kasih," ucap Fakhrul. Dia mencicip perlahan minuman tersebut setelah melafazkan basmalah. Maryam cuma tersenyum manis. Dia melabuhkan duduk di atas kerusi berhadapan suaminya.

Firaz keluar dari bilik dan duduk di sebelah ayahnya. Dia secara tiba-tiba berasa murung.

"Uthman, kenapa sedih saja ibu tengok?" tanya Maryam. Firaz menggeleng kecil.

"Cakap saja Uthman." Maryam cuba meminta anaknya memberitahu.

"Uthman rindu adik," jujurnya. Fakhrul mengelus rambut hitam keperangan anak sulungnya itu dengan lembut.

"Ayah tak nak cari adik ke?" Lemah saja nada si kecil itu.

"Bukan ayah tak cari adik. Ayah sampai sekarang cari adik kamu, tapi tak jumpa juga, Uthman. Kita sama-sama berdoa ya. Lagipun, ayah minta beberapa pegawai untuk bantu cari adik sekali. Insya-Allah, kita mesti akan jumpa adik. Jangan bersedih ya," tutur Fakhrul, tenang. Air mata yang mengalir ke pipi Firaz diseka lembut.

Maryam bangkit dan duduk di sebelah Firaz. Belakang anaknya diusap-usap.

"Ibu pun rindukan adik. Macam ayah cakap, kita doa sama-sama. Allah kan ada?" ujar Maryam.

"Baik ayah, ibu." Firaz memandang wajah ibu dan ayahnya bersilih-ganti.

Fakhrul memejamkan mata sambil meraup muka. Maryam memandang suaminya hairan.

"Saya rasa bersalah pula, Maryam. Kalau saya tak tinggalkan Uthman dengan adik di taman itu berdua dan pergi beli aiskrim, mesti adik tak hilang. Ya Allah, semua salah saya," kata Fakhrul.

"Tak usahlah awak menyalahkan diri sendiri. Itu kan semua ketentuan Allah. Allah uji kita sebab Allah tahu kita mampu. Adik pasti selamat, cuma kita tak tahu di mana keberadaannya saja." Lembut saja Maryam menutur.

"Sepatutnya, Uthman selamatkan adik. Tapi Uthman takut pula masa itu. Uthman yang salah." Maryam menggeleng perlahan tatkala si anak mengatakan seperti itu.

"Dua-dua menyalahkan diri sendiri pula. Sudahlah... Uthman pun tak salah," terang Maryam.

Kedua mereka sekadar menggumam.

Bunyi ketukan pintu rumah mengejutkan mereka bertiga. Fakhrul bangkit dari tempat duduk untuk melihat dari luar jendela gerangan yang datang.

Ternyata seorang lelaki biasa. Fakhrul pun membuka pintu rumah. Besar mata Fakhrul melihat beberapa pemuda lain yang entah dari mana datangnya memakai topeng sambil memikul senjata meluru ke arahnya.

Lelaki yang mengetuk pintu rumahnya menyeringai. Dia menolak tubuh Fakhrul ke belakang sehingga terjatuh.

Fakhrul bangun semula dan menyerang balas. Dia memberi isyarat kepada isteri dan anaknya supaya bersembunyi. Namun, dia gagal.

Pemuda-pemuda tadi sudah awal-awal mengikat tubuh mereka.

"Ayah... Tolong!" Jeritan daripada Firaz di dalam mimpi itu menyentakkan Fakhrul daripada tidur.

"Astaghfirullahal'azim..." Istighfar dilafazkan secara berbisik. Tangan kanan meraup wajah dengan perlahan.

Dia kemudiannya menilik jam dinding. Jarum panjang baru menunjukkan pukul 0345 pagi. Fakhrul membawa diri ke bilik air untuk mengambil wuduk.

Mungkin dengan menunaikan solat sunat tahajjud, ketenangan dapat diperolehi setelah mengalami mimpi buruk sebentar tadi.

LASYKAR ILMI: FIRAZ UTHMAN 1 [C]Where stories live. Discover now