LASYKAR ILMI 42

68 15 18
                                    

SURAT yang sejak tadi dia baca itu diletakkan di atas meja bersama air muka kegembiraan. Ucapan syukur dipanjatkan berkali-kali tanpa mengenal erti puas. Rahman yang nampak hal itu turut menyatakan kesyukurannya.

"Esok, saya dah kena pergi temu duga. Doakan saya lulus, pak cik," ujar Khairul.

"Insya-Allah. Allah akan permudahkan urusan kamu," tutur Rahman. Mereka berdua berkalih pandang ke arah Firaz yang juga tersenyum-senyum.

"Suka ya, Uthman? Kamu punya temu duga bila pula?" Rahman menghentikan lamunan Firaz. Remaja itu tersengih sendiri.

"Sama juga dengan Abang Khairul, pak cik. Tak sabar rasanya." Firaz tampak bersemangat ketika itu.

"Baguslah kalau begitu." Rahman tersenyum tenang.

- - -

LENGAN panjang kemeja berwarna hijau tua disinsingkan sehingga ke siku. Ia dikenakan bersama seluar hitam dan stoking hitam. Songkok juga dipakai dengan kemas.

Minyak wangi kasturi kijang disemburkan pada bahagian nadi lalu ia disapu pada alis mata dan telinga sebelum disapu pada baju.

Wajahnya ditilik pada cermin terlebih dahulu. Parut yang terdapat pada mata sebelah kanannya menambahkan lagi ketegasan yang terzahir pada wajah. Senyuman kecil dihadiahkan kepada diri sendiri untuk membakar semangat.

"Permudahkanlah urusanku, Ya Allah." Doa dititipkan di dalam hati sambil menggalas beg pada bahu.

Dia keluar dari bilik dan menyapa Rahman serta Khairul yang sedang bersarapan pagi. Khairul turut mengenakan pakaian yang sama sepertinya, cuma kemeja yang dipakai berwarna biru langit memandangkan dia memohon untuk menjadi tentera udara.

"Sarapan dulu, Uthman. Alas perut. Kamu punya temu duga itu bukan seminit dua." Rahman mempersilakan Firaz untuk duduk di sebelahnya. Remaja itu akur dengan pesanan Rahman.

Dia mengambil sekeping roti dan menuangkan air teh. Lafaz basmalah disebut secara berbisik sebelum dia menikmati roti tersebut. Sambil-sambil itu, mereka bertiga berbual-bual kosong.

Rahman dapat merasakan semangat kepahlawanan yang mengalir pada tubuh kedua-dua remaja itu. Terasa bangga hatinya kerana kesungguhan yang ditunjukkan oleh mereka berdua.

"Pak cik? Kami dah nak pergi ini." Teguran daripada Khairul menghentikan renungan Rahman. Dia tertawa kecil lalu menyambut huluran tangan daripada Khairul dan Firaz.

"Bittaufiq wannajah. Buat sungguh-sungguh," pesan Rahman. Kedua mereka mengangguk kecil.

"Pergi dulu, pak cik. Assalamualaikum," ucap mereka, serentak.

"Waalaikumussalam." Rahman menjawab salam tersebut seraya menghantar pemergian mereka melalui pandangan mata.

- - -

"TURUN lagi, Firaz. Macam mana nak jadi askar kalau tekan tubi pun tak lepas?" Pegawai bernama Affan itu sengaja membuat Firaz terasa hati dengan ujarannya. Ini membuatkan remaja itu lebih bersungguh-sungguh melakukan latihan tekan tubi itu meski pinggangnya sakit.

"Kenapa kamu nak jadi askar? Jangan bagi jawapan sebab kamu minat dengan bidang ini atau sebab nak pertahankan negara. Saya tak suka dengan jawapan itu," tegas Mejar Affan. Senyuman senget masih kekal pada bibir saat melihat kesungguhan Firaz menahan lenguh di bahagian pinggang.

Peluh menitik-nitik pada dahi remaja enam belas tahun itu.

"Sebab nak balas dendam, tuan!" jawab Firaz, lantang. Mejar Affan terdiam seketika dengan jawapan tersebut.

Dia memandang muka Firaz sambil menjongketkan kening sebelah kiri.

"Balas dendam? Pada Jentayu Emas?" Affan tergelak halus. Dia berjalan bermundar-mandir di hadapan Firaz.

"Belum apa-apa lagi niat kamu dah salah. Firaz, Firaz... cuba buang sikit dendam itu. Saya tahu kamu marah, kamu benci dengan musuh itu. Tapi niat kamu nak sertai tentera kena betul. Pasang niat kerana Allah, bukan dendam semata-mata." Kata-kata Affan menusuk hati Firaz.

"Bangun, Firaz." Arahan yang keluar dari mulut Affan mengundang kelegaan di dalam hati Firaz. Dia dengan perlahan-lahan berdiri tegak di hadapan Affan.

"Kamu ada potensi yang besar untuk lulus temu duga ini. Tapi kalau kamu gagal, jangan putus asa. Banyak lagi bidang yang boleh kamu ceburi. Banyakkan berdoa agar nama kamu terpilih untuk menyertai sesi pembelajaran dan latihan di sekolah ini. Terima kasih, kamu boleh keluar untuk menjalani ujian lain." Affan menayang senyuman manis.

"Sama-sama, tuan. Assalamualaikum." Firaz menunduk sedikit dan berlalu pergi dari situ. Affan pula menjawab salam dengan perlahan.

LASYKAR ILMI: FIRAZ UTHMAN 1 [C]Where stories live. Discover now