LASYKAR ILMI 35

78 15 30
                                    

PINTU jeriji besi itu didekati. Firaz melemparkan pandangan melihat orang sekelilingnya. Dari jauh, dia ternampak Charles sedang berjalan dalam keadaan terhuyung-hayang sambil membawa sebilah pisau. Firaz mengandaikan bahawa lelaki itu sedang mabuk arak.

Meski sedang mabuk, Charles dengan selamba membuka pintu palang besi yang menempatkan Firaz. Anak itu hairan dan berasa tidak sedap hati. Dia membuka langkah sebagai tanda persediaan untuk menghadapi apa saja yang akan berlaku.

"Firaz... Aku ada benda nak cerita dengan kau ini. Penting sangat." Charles tanpa rasa apa-apa terus duduk di atas lantai penjara yang berdebu itu. Firaz masih berdiri statik di tepi palang besi.

"Duduklah. Kau berdiri lama-lama macam itu, tak sakit kaki ke? Duduk..." arah Charles. Pisau dihalakan ke arah wajah Firaz. Kanak-kanak berusia sebelas tahun itu meneguk liur pahit.

Firaz memberanikan dirinya lalu duduk sedikit jauh dari Charles.

"Kau tahu tak? Dalam ramai-ramai budak yang aku tangkap, kau yang paling menarik. Sebab apa? Sebab kau tetap tenang walaupun aku bunuh ibu ayah kau... Kau tengok budak depan itu. Dia itu, asyik mengamuk saja. Asal jumpa aku, mesti tak puas hati. Tapi kau tak macam itu pula. Kenapa ya?" soal Charles. Tangannya ralit bermain-main dengan pisau yang dipegang itu.

Firaz tidak menjawab soalan tersebut. Dia hanya berdiam diri di situ.

"Jadi... Disebabkan kau istimewa. Lain daripada yang lain. Aku nak ajak kau masuk dalam kumpulan aku. Jadi serdadu Jentayu Emas. Kau tak perlu risau tentang kebajikan diri kau... Semua itu kerajaan kami yang tanggung... Haa... Kau cuma daftarkan diri dan ikut latihan saja," sambungnya lagi.

Firaz menggeleng kecil. Dia tidak akan pernah bersetuju dengan cadangan Charles itu. Meskipun dia cuma seorang kanak-kanak, dia juga bijak dalam membuat keputusan. Dia telah diajar sejak kecil lagi oleh ayahnya supaya tidak menerima sebarang tawaran daripada pihak asing.

Lebih-lebih lagi tawaran itu diberi oleh musuh yang terang-terang membuat kebinasaan kepada tanah airnya.

"Saya tak nak jadi pengkhianat." Itu saja jawapan yang timbul dari mulut Firaz. Dia cukup anti dengan perkataan pengkhianat sejak isu Bendahara Tun Malik setahun lalu.

"Kau bukan pengkhianat... Kau cuma manfaatkan kebijaksanaan kau saja. Tak salah pun." Charles berkata dengan nada meleret.

"Saya bukan kanak-kanak yang mudah terpengaruh dengan kata-kata manis orang dewasa seperti tuan. Jangan ganggu saya." Firaz bertegas dalam ayatnya.

Charles menoleh ke arah Firaz. Kemudian, dia mendekati anak itu dan bercangkung di hadapannya. Senyuman penuh makna dipamerkan kepada Firaz.

"Jangan ganggu? Aku tak ganggu kau... Aku cuma nak kau bersama-sama dengan aku. Rugi kalau aku biarkan orang macam kau ini dekat luar sana tak ada masa depan. Jadi lebih baik aku ambil kau jadi pegawai tentera negara aku." Dia ingin menyentuh ubun-ubun kepala Firaz, namun anak itu pantas menepis tangannya. Firaz berasa jijik dengan tangan yang telah mengorbankan nyawa orang-orang yang disayanginya.

"Sombong ya kau, budak? Kecil-kecil dah ada sifat buruk itu," kata Charles. Kepala ditelengkan ke kiri bersama senyuman persis manusia yang hilang kewarasan. Firaz mencerlung tajam ke arah lelaki itu.

"Tolong, jangan ganggu saya. Cukuplah tuan kurung saya dekat sini sampaikan pelajaran dan kehidupan saya terabai. Jangan sampai emosi dan gaya pemikiran saya berubah. Saya takut nyawa tuan hilang di tangan saya nanti." Charles melopong sebentar setelah mendengar balasan daripada anak kecil berumur setahun jagung itu. Begitu juga dengan beberapa orang tahanan di penjara yang bersebelahan dengan blok penjara Firaz.

Charles lantas mengacukan pisau ke leher Firaz. Anak kecil itu duduk senyap tanpa pergerakan. Dia risau apabila dia bergerak sedikit, urat lehernya pula yang terputus.

"Aku... tak puas hati dengan ayat kau tadi itu. Berani kau nak bunuh aku? Kau fikir kau siapa? Firaz, kau itu cuma budak. Kau tak akan mampu nak bunuh aku," jelas Charles. Dada Firaz berombak laju. Perlahan-lahan, pisau yang berada di leher Firaz dibawa ke arah mata sebelah kanan anak itu.

"Kau nak buat apa pada anak kecil itu?" Lelaki yang duduk di blok penjara bersebelahan Firaz menegur perbuatan Charles. Charles menjongketkan kening sebelah kirinya sejenak ketika memandang lelaki itu.

"Tak ada apa... Aku nak berlembut dengan budak ini saja. Lagipun, dia ini budak baik. Tak mungkinlah aku nak berkasar dengan dia pula. Kesian dia..." Tangan kanan naik menepuk pipi Firaz beberapa kali.

Firaz mengerutkan dahi dan menatap muka Charles. Dia berasa tidak selesa ketika asyik diperlakukan seperti itu.

"Muhammad Firaz Uthman... Aku tanya kau sekali lagi. Kau nak ikut serta dalam anggota tentera kami, atau kau nak jadi budak yang tak ada masa depan lepas keluar nanti? Itupun kalau kau keluar lah..." Pisau itu semakin didekatkan pada mata sebelah kanan Firaz.

"Saya lebih rela jadi budak yang tak ada masa depan daripada jadi duri dalam daging untuk rosakkan tanah air saya sendiri. Kalau Allah takdirkan hidup saya berakhir di sini, saya reda," jawab Firaz - tenang tetapi terselit nada tegasnya.

"Benarlah... Kematangan tidak terletak pada usia. Bijak sungguh anak ini." Lelaki yang berada di blok sebelah itu mengucapkan rasa syukur kepada Allah atas kebijaksanaan dan kematangan yang dikurniakan ke atas anak itu.

"Kau ini... memang sengaja menguji kesabaran aku!" Charles yang terasa jengkel dengan ujaran Firaz itu lantas menekan bilah pisau itu pada kening sebelah kanan Firaz dalam-dalam.

Lelaki yang dari tadi menyaksikan perbuatan Charles itu cuba menghalang, namun dia sedar bahawa dia terkurung di dalam palang besi dan tidak mampu berbuat apa-apa.

Firaz mengeluarkan suara yang perlahan ketika mata pisau yang tajam itu terbenam pada bahagian tersebut. Dia cuba menolak tangan Charles daripada melakukan hal itu, tetapi tangan kanan Charles mengunci pergerakannya.

"Sakit... Lepaskan..." ujar Firaz. Charles tersenyum senget.

"Ini balasan untuk kau. Dah tahu diri itu masih budak, jangan berani bantah cakap orang besar." Charles menarik bilah pisau itu sehingga ia mengguris pipi kanan Firaz sedikit.

Firaz segera menekup bahagian matanya yang sudah dibasahi darah sendiri. Sakitnya bukan calang-calang.

"Semoga cepat sembuh, Firaz." Charles menolak tubuh kecil itu sedikit lalu keluar dan mengunci pintu besi tersebut. Dia ketawa besar tatkala itu bagi menzahirkan kepuasan setelah menyakiti tawanannya.

Firaz yang sedang menahan sakit itu tidak menangis untuk melepaskan perasaan, tetapi dia menyimpan segala amarah yang terbuku itu di dalam hati. Segala yang dipendam nanti akan diadukan kepada sang pencipta kerana dia tahu, hanya Allah saja yang akan memberi pertolongan.

Baginya, biarlah amarah yang disimpan itu keluar bila tiba saatnya nanti.

- - -

Dah nampak keberanian Firaz itu. Mesti tak sabar nak tengok dia besar, kan? Insya-Allah, tak lama lagi dah...

LASYKAR ILMI: FIRAZ UTHMAN 1 [C]Where stories live. Discover now