LASYKAR ILMI 22

77 15 37
                                    

LIBASAN rantai besi itu tepat mengenai belakang tubuh Fakhrul. Dia duduk dalam keadaan meringkuk menahan kesakitan semata-mata untuk melindungi anaknya.

Firaz pula cuba sedaya-upaya untuk menghalang pegawai tentera itu daripada memukul si ayah. Dia menolak lelaki tersebut.

"Jangan pukul ayah saya! Pergi!" halau Firaz.

"Kau ini..." Lelaki itu menarik kolar baju Firaz dan mengangkat tubuh kecil itu. Firaz dapat merasakan bahawa kakinya sudah tidak lagi menyentuh lantai.

Fakhrul menyepak kaki pegawai tentera tersebut hingga terjatuh. Firaz terlepas dari tangannya.

"Jangan berani mengasari anak aku jika kau mahu keluar dari pintu besi itu dengan selamat." Amaran diberi dengan keras.

Fakhrul memandang tajam ke arah pegawai tersebut.

"Kau tak puas lagi ke kena pukul?" Pegawai itu bangun dan menarik kolar baju Fakhrul.

"Kau nak pukul aku sampai mati pun tak apa. Asalkan kau tak sentuh anak aku," kata Fakhrul. Dia langsung tidak gentar dengan layanan kasar daripada sang musuh.

"Kau meminta ya... Bagus panglima ini. Sanggup sakit untuk lindungi anak kau." Tubuh Fakhrul dihumban ke bawah. Pinggangnya yang terhentak menyebabkan dia mendesis kesakitan.

"Untung ya kau budak... Ayah kau ini sayang sangat dekat kau. Apa yang jadi kalau aku bunuh kau? Mesti dia mengamuk teruk kan?" Pegawai itu melirik ke arah Firaz yang terduduk di atas lantai.

Berombak-ombak dada Fakhrul ketika mendengar setiap ayat yang dihamburkan lelaki durjana itu. Lelaki itu berpaling kepada Fakhrul semula, lalu memijak kaki kanannya.

Fakhrul menahan diri daripada mengerang sakit. Kelopak mata dipejam rapat. Terbeliak mata Firaz melihat ayahnya diperlakukan sebegitu. Niat hendak membantu terpaksa dikuburkan kerana dia sedang dihalang oleh dua orang pegawai tentera.

"Allahuakbar... Sakit, ya Allah..." Perlahan sahaja ton suara Fakhrul berbisik.

"Apa kau cakap? Sakit?" Dia tak sangka bahawa pegawai tersebut mendengar suaranya.

"Lemah!" tempik pegawai itu sambil menyepak perut Fakhrul sekuat-kuatnya. Tersembur keluar cecair merah dari mulut Fakhrul ketika lelaki itu terbatuk-batuk.

Rahman dan Adnan yang menyaksikan keadaan tersebut hanya mampu mendoakan ketua mereka. Rahman mengusap lembut kepala anak perempuannya yang bergigil-gigil kerana diserang demam panas.

"Kalau aku bebas bergerak, dah lama aku bunuh lelaki itu. Dia dah melampau! Aku risau keadaan Tuan Fakhrul semakin teruk. Lihat saja luka-luka pada seluruh badannya... Bukan mudah nak sembuh," jelas Rahman. Adnan pula mengiyakan kata-kata sahabatnya.

- - -

TALI yang mengikat kedua tangannya cuba dileraikan meskipun tidak boleh. Maryam melirik pada wanita yang sedang menunduk di sebelahnya. Bibir wanita itu terkumat-kamit menyebut istighfar.

"Siapa nama awak? Boleh saya tahu?" soal Maryam, lemah-lembut.

"Z-Zinnirah. Kakak pula?" Wanita bernama Zinnirah itu menyoalnya semula.

"Maryam." Maryam tersenyum manis.

"Kakak... Saya minta maaf. Sebab sayalah kakak sekeluarga kena tangkap. Saya kena paksa jadi hamba mereka, kak. Saya tak tahu apa lagi yang saya patut buat untuk mengelak waktu itu. Kalau saya tak ikut cakap mereka, mereka akan bunuh ibu dan ayah saya di kampung." Bergetar suara Zinnirah saat bercakap dengan Maryam. Dia dilanda ketakutan melampau.

"Tak mengapa, Zinnirah. Ini semua ketentuan Allah yang kita sebagai manusia tiada kuasa untuk menghalang. Allah tahu apa yang Dia rancangkan. Insya-Allah, Dia pasti akan selamatkan kita daripada musuh-musuh durjana ini suatu masa nanti. Tenang ya. Allah tahu kita mampu." Tenang saja Maryam menutur kata.

"Terima kasih, kak." Zinnirah akhirnya tersenyum lega. Maryam pula membalasnya dengan senyuman lebar.

"Kamu tinggal di desa mana? Sebab kakak tak pernah nampak kamu dekat kawasan Desa Arif ini." Maryam membetulkan posisi duduknya.

"Saya berasal dari Kota Madinatul Qalam. Dekat sana, saya tinggal di Desa Warkah. Disebabkan kampung kami diserang, ramai wanita yang dijadikan hamba tentera musuh termasuk saya dan kami dibawa ke negeri lain untuk menyamar supaya tugas penangkapan mereka lebih mudah. Saya tak rela buat semua ini, kak... Saya tak rela nak mengkhianati agama dan negara sendiri." Air mata Zinnirah perlahan-lahan turun dari tubirnya.

"Kakak faham, Zinnirah. Dan kakak kagum dengan kamu sebab masih kuat untuk menghadapi semua ini. Semoga Allah merahmati kamu," ujar Maryam.

"Semoga doa itu berbalik kepada kakak semula. Kakak orang yang baik..." jujur Zinnirah. Maryam tidak membalas apa-apa selain mengaminkan doa tersebut.

Suasana di dalam rumah itu menjadi sepi saat mereka tidak mempunyai sebarang topik untuk dibualkan. Masing-masing mula keletihan asbab perkara yang terjadi tempoh hari.

Lebih-lebih lagi Maryam yang tidak henti-henti memikirkan bagaimana nasib suami dan anaknya di dalam tahanan Jentayu Emas. Dia berharap agar kedua mereka tidak apa-apa di sana.

Doa dipanjatkan secara khusyuk di dalam hati menandakan dia berserah secara total kepada Allah SWT.

LASYKAR ILMI: FIRAZ UTHMAN 1 [C]Where stories live. Discover now