LASYKAR ILMI 13

75 13 43
                                    

KAKI kecil itu berlari-lari ke arah walidnya yang baru pulang dari laut.
Terus memekar senyuman di bibir Bilal. Hilang segala penat yang membebani tubuh ketika itu saat melihat anaknya bagai lipas kudung berlari sambil mendepakan tangan.

Bekerja sebagai seorang nelayan memang payah dan memerlukan pengorbanan yang tinggi.

Lebih-lebih lagi ketika itu anaknya masih kecil. Rasa rindu dan risaunya sentiasa terlintas di sudut kalbu.

Muhammad Faqih Mustaqim memeluk tubuh Bilal dengan erat bagi melepaskan rindu. Pipi walidnya juga dikucup berkali-kali.

"Walid kata semalam nak balik? Kenapa Mus tunggu walid tapi tak sampai-sampai? Tipulah..." Memuncung sekejap bibir anak kecil itu.

"Maafkan walid ya. Semalam ada sesuatu berlaku dekat pelabuhan, jadi pihak tentera laut tak bagi nelayan masuk ke pelabuhan sehinggalah serangan itu tamat. Mereka bimbang para nelayan cedera." Bilal mengusap lembut rambut anaknya.

"Mus maafkan walid tak?" soal Bilal. Faqih membalasnya dengan anggukan seraya meleraikan pelukan tersebut.

Dia tersenyum manis menatap wajah tenang walidnya.

"Mus maafkan," jawab si comel itu.

"Alhamdulillah... Ini Mus balik dah beritahu Mak Cik Zahidah ke belum? Yalah, dia tak tahu walid dah balik ini... Takut dia ingat Mus hilang pula," kata Bilal.

"Dah. Mus dah beritahu Mak Cik Zahidah sejak semalam lagi. Oh ya, Mak Cik Zahidah kata, minggu depan dia tak dapat jaga Mus sebab dia kena pergi Desa Arif, ada urusan penting dekat sana. Jadi... Mus nak ikut walid turun laut, boleh?" Riang sungguh nada suara Faqih.

"Bukan tak boleh. Tapi, banyak risikonya, Mus." Tenang saja Bilal menjawab. Dia mendukung tubuh anaknya lalu dibawa ke luar rumah.

Kawasan Desa Pelaut itu diamati dengan senyuman yang tidak pernah lekang dari bibir.

"Habis itu, siapa nak jaga Mus? Walid sanggup nak tinggal Mus seorang diri dekat rumah? Walid tahu tak, lima hari lepas keluar dekat berita ada askar jahat serang Kota Ilmi. Ramai orang kena tangkap tau. Kalau askar jahat itu tangkap Mus macam mana? Walid tak sayang Mus ke?" bebel kanak-kanak berusia tujuh tahun itu.

"Mestilah walid sayang Mus. Apalah Mus ini, fikir bukan-bukan pula ya? Hmm, beginilah... Walid tak turun laut minggu depan. Biar walid jaga Mus. Boleh tak?" Pipi tembam itu dielus lembut.

"Boleh!" Faqih bersorak gembira. Bilal menggeleng perlahan melihat gelagat anak tunggalnya itu.

Sejak pemergian isterinya Thalia Nafisah, dialah yang menguruskan Faqih daripada anak itu berusia dua tahun sehinggalah kini. Memang dia akui, ketiadaan si isteri menyebabkan hidupnya terkontang-kanting menguruskan segala benda. Namun, dia yakin bahawa Allah SWT tetap bersamanya walau apa jua keadaan.

"Walid. Masa Mus tengok berita dekat rumah Mak Cik Zahidah, Mus dengar panglima perang Gapura Ilmi berucap... Mesti dia berani kan, walid? Sebab itu dia boleh jadi panglima. Walid pernah cakap dekat Mus, kalau nak jadi askar, mesti kena berani dan tak takut mati. Nanti kalau Mus dah besar, Mus nak jadi askarlah! Mus nak perang dengan askar jahat. Mus nak jaga walid, jaga negara kita, jaga agama kita!" Si kecil itu bukan main bersemangat lagi berucap dalam dukungan walidnya.

Bilal tertawa halus. Terhibur dengan keletah Faqih yang mencuit hati itu.

"Jadilah apa-apa pun yang Mus nak, walid tak akan halang. Asalkan perkara itu tak melanggar hukum syarak," ujar Bilal.

"Sayang walid!" Kepala disembamkan pada bahu walidnya. Manja tak terkata!

"Ya, ya... Walid pun sayang sangat dekat anak manja walid seorang ini," balas Bilal dengan senyuman manis.

"Walid, Mus laparlah... Dah lama tak makan masakan walid." Faqih tersenyum-senyum sambil mengerdipkan mata berkali-kali untuk memujuk walidnya.

"Fikir comel lah buat macam itu? Hm?" Hidung anaknya dicuit perlahan. Faqih mengembungkan pipi tanda protes.

"Ya, ya. Walid masakkan makanan kegemaran Mus sekarang juga," kata Bilal.

Berubah terus riak wajah Faqih menjadi ceria dan teruja.

"Terima kasih, walid! Sayang walid!" Leher walidnya menjadi mangsa pelukan erat si kecil itu.

"Tercekik walid dibuatnya... Mus, Mus..." Bilal menggeleng perlahan.

- - -

"IBU, ibu... Dah azan," beritahu Firaz sambil berlari-lari ke arah dapur.

Maryam yang sedang menyediakan makanan untuk berbuka puasa itu tersenyum manis. Dia menolakkan kerusi untuk anaknya.

"Duduk dulu, Uthman." Dia melabuhkan duduk di sebelah Firaz.

"Biar Uthman baca doa untuk kita," ujar Firaz. Nada suaranya riang sungguh.

"Silakan, Ustaz Uthman." Maryam menadah tangan dan mengamati doa yang dibaca oleh Firaz.

"Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahi rabbil 'Alamiin, wassolatu wassalamu 'ala asyrafil anbiya'i wal mursalin, wa'ala aalihi wasahbihi wasallim. Allahumma laka sumna, wabika amanna, wa'ala rizqika aftharna, birahmatika ya arhamarrahimin. Rabbana aatina fiddunya hasanah, wa filakhirati hasanah, waqina 'azabannaar. Wasallallahu 'ala Muhammad wa'ala aalihi wasahbihi wabaaroka wasallam. Walhamdulillahi rabbil 'Alamiin." Bersungguh-sungguh Firaz membaca doa. Bermula daripada mukadimahnya, sehinggalah ke penutup doa tersebut.

Maryam cuma menggeleng perlahan. Anak sulungnya itu begitu gembira setelah berpuasa sunat pada hari Khamis itu.

Firaz terus menjamah sebiji kurma dan dengan laju meneguk air.

"Jangan minum macam itu, Uthman. Tak baik," tegur Maryam. Firaz menghentikan perbuatannya.

"Maaf, ibu. Tapi Uthman haus sangat..." ujar si anak.

Senyuman kecil terlukis di bibir Maryam.

"Ibu tahu... Uthman sayang, Anas bin Malik RA berkata dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, yang bermaksud, adapun Rasulullah SAW bernafas sebanyak tiga kali ketika minum. Baginda SAW bersabda, itu lebih melegakan, bersih dan bermanfaat. Anas berkata, aku bernafas sebanyak tiga kali ketika minum." Maryam berhenti seketika. Dia melihat wajah Firaz yang masih tidak mengerti dengan hadis yang disampaikan tadi.

"Maksud hadis yang ibu sebut tadi itu, makruh kalau kita bernafas di dalam cawan ketika meneguk air dan sunat bernafas di luar cawan sebanyak tiga kali. Hadis ini juga menunjukkan larangan bernafas di dalam cawan minuman. Ini bermakna, bila kita ikut cara Nabi SAW, kita akan terselamat daripada penyakit dahaga dan penyakit yang datang disebabkan meminum dengan satu nafas. Contohnya, penyakit jantung. Faham?" jelas Maryam.

Uthman mengangguk tanda mengerti dengan apa yang disampaikan ibunya.

"Terima kasih, ibu. Sebab terangkan dekat Uthman. Lepas ini, Uthman takkan buat macam itu lagi. Janji!" Ibu jari diangkat tinggi-tinggi.

"Alhamdulillah... Dah, jom kita makan. Lepas makan, kita solat berjemaah. Boleh?" soal Maryam.

"Mestilah boleh," jawab Uthman.

LASYKAR ILMI: FIRAZ UTHMAN 1 [C]Where stories live. Discover now