LASYKAR ILMI 30

82 13 33
                                    

KERTAS-KERTAS yang bertaburan di atas meja disusun dengan kemas semula. Syed duduk menghadap Nurhan yang sedang sibuk mengemas.

"Kalau bukan tuan bendahara yang buat semua ini macam mana?" soal Nurhan. Lelaki itu melabuhkan duduk di atas kerusi.

"Aku tetap yakin dengan apa yang aku katakan, Han. Kalau bukan, kenapa baju dia ada dekat dalam rumah jeneral?" ujar Syed. Nurhan memeluk tubuh sambil mengangguk perlahan.

"Betul juga kata kau..." balas Nurhan.

"Lagipun... Aku dah dapat sedikit maklumat daripada pihak forensik berkenaan hasil siasatan mereka pada jenazah Puan Maryam dan Cik Zinnirah. Paling jelas didapati pada arwah Cik Zinnirah lah. Peluru yang terbenam pada tubuh dia memang kebiasaannya digunakan oleh pembesar-pembesar negara yang ada pistol mereka sendiri. Dan peluru itu saja diiktiraf oleh institusi ketenteraan untuk mereka gunakan. Kalau nak kata ada pegawai kita atau pihak polis yang menyamar sebagai Malik, tak boleh juga... Sebab institusi ketenteraan dan kepolisan tak guna peluru jenis itu," jelas Syed dengan lebih terperinci.

"Ya Allah... Aku bersyukur sangat sebab dapat sahabat yang bijak macam dia. Kurniakan aku kebijaksanaan seperti sahabatku Syed Muhammad Qayyum, ya Rabb." Nurhan memejamkan mata sambil berdoa ringkas. Syed tertawa kecil setelah mengaminkan doa sang sahabat itu.

"Ada-ada saja kau ini, Nurhan. Allah kurniakan kebijaksanaan yang berbeza-beza kepada setiap hamba-Nya. Mungkin ini yang Allah kurniakan kepada aku. Kau pula ada kebijaksanaan dari sudut yang lain," kata Syed. Nurhan pula tersenyum lebar sehingga menampakkan barisan giginya yang putih bersih.

Ketika mereka sibuk berbual, pintu pejabatnya diketuk perlahan. Nurhan hanya mempersilakan gerangan yang mengetuk pintu itu untuk masuk.

"Assalamualaikum, tuan." Ucapan salam itu dibalas oleh kedua mereka.

"Baguslah kalau Tuan Syed pun ada di sini. Saya ada satu perkara yang hendak disampaikan. Berkenaan tuan panglima." Terus roman muka Syed dan Nurhan berubah serius.

"Sebenarnya, baru saja tadi, pihak kita di Kota Ilmi memaklumkan bahawa... Jeneral Fakhrul ditemui telah meninggal dunia. Dan berdasarkan pengamatan mereka, Allahyarham tuan panglima mungkin ditangkap dan diseksa oleh tentera musuh sebelum ditinggalkan di atas jalan raya. Jenazah beliau akan disolatkan di Masjid Al-Muallim selepas solat asar dan akan dikebumikan setelah diberi penghormatan terakhir di sini." Pegawai wanita itu menjelaskan segala informasi dengan berhemah meskipun dia agak sebak ketika itu.

"Innalillahi wainna ilaihi raji'un." Nurhan menyebut ia sekadar di dalam hati.

Syed tidak mampu membalas apa-apa melainkan lafaz istirja'. Melihatkan hal itu, Nurhan memasang senyuman nipis kepada pegawai wanita itu sambil menunduk ke bawah.

"Terima kasih atas maklumat. Insya-Allah, sebentar lagi kami ke sana," ujar Nurhan - cuba bertenang.

Pegawai itu turut membalas senyuman lalu meminta izin beredar. Nurhan hanya mengizinkan sahaja.

Keluar saja pegawai wanita itu, Syed terus menekup muka. Setelah sekian lama dia menahan air mata daripada mengalir, kini ia terlepas jua.

Nurhan lantas bangkit dari tempat duduk dan merapati Syed. Dia menepuk bahu Syed lemah-lembut untuk menenangkan hati sahabatnya seorang itu walhal tangkai hatinya turut bergegar hebat.

- - -

CUACA pada hari itu kelihatan mendung. Awan berkepul-kepul menutupi baskara daripada membiaskan sinar teriknya. Burung-burung juga tidak berkicauan dan tidak terbang melata di udara - seolah-olah memahami apa yang berlaku ketika itu.

Bayu semilir meniup syahdu menghembus wajah masyghul kesemua pegawai Tentera Gapura Ilmi yang terdiri daripada tentera darat, laut dan udara yang berdiri tegak di sepanjang laluan keluar dari pintu utama Markas Bersepadu Angkatan Tentera Gapura Ilmi.


Masing-masing memberikan tabik hormat kepada Allahyarham Jeneral Muhammad Fakhrul Azhar semasa jenazahnya diusung oleh lapan orang pegawai tentera sebagai tanda penghormatan terakhir buatnya.

Ramai di kalangan anggota tentera yang mengalirkan air mata saat itu.

Pemergian beliau juga menyebabkan rakyat menzahirkan rasa sedih dan murung. Maklumlah, arwah Fakhrul merupakan panglima angkatan tentera yang pertama paling muda dipilih oleh Almarhum Sultan Muhammad Yusof.

Beliau juga merupakan panglima yang sentiasa mengambil berat tentang rakyat melebihi dirinya sendiri.

Itu yang menyebabkan rakyat juga terkesan dengan kehilangannya.

- - -

Tamat sudah tentang Fakhrul.
Semoga tetap kuat ya, para pembaca sekalian!

LASYKAR ILMI: FIRAZ UTHMAN 1 [C]Where stories live. Discover now