LASYKAR ILMI 2

140 21 8
                                    

FAKHRUL memperhatikan pegawai-pegawai muda yang sedang melakukan latihan lasak di padang utama Pusat Latihan Tentera Darat Gapura Ilmi. Setiap pergerakan mereka ditilik dengan teliti.

"Tuan!" Tiba-tiba saja seorang pegawai datang ke arahnya seraya menabik hormat. Fakhrul juga menabik ke arah pegawai berpangkat sarjan itu. Samad namanya.

"Ya. Ada apa sarjan?" soal Fakhrul. Nada tegasnya tetap terselit.

"Kami dimaklumkan oleh unit sempadan, terdapat sebuah kapal asing memasuki Pelabuhan Beit Hakim tanpa sebarang permit. Beberapa orang pegawai kita telah dicederakan kerana menghalang kemasukan mereka." Samad melaporkan kejadian yang berlaku di Beit Hakim. Iaitu pelabuhan termaju dan terbesar di Benua Citra.

"Arahkan mereka supaya bertempur. Jangan bagi muka dengan penceroboh seperti itu. Kadangkala mereka itu lanun yang datang untuk mencuri," arah Fakhrul. Samad mengangguk dan menabik hormat sekali lagi sebelum beredar dari situ.

Tidak mahu berlama di atas padang itu, Fakhrul melangkah ke pejabatnya untuk memikirkan sedikit rancangan berkaitan isu penjenayah di dalam istana yang digembar-gemburkan oleh rakan seperjuangannya subuh tadi.

- - -

FIRAZ bersiap-siap dengan baju sukan untuk keluar ke rumah sahabatnya. Namun begitu, perbuatannya terhenti saat si ibu memanggil dari ruang tamu.

Firaz hanya menurut dan melabuhkan duduk di sebelah ibunya. Maryam memandang wajah polos itu dengan senyuman manis.

"Kenapa ibu?" soal Firaz.

"Uthman nak pergi main dekat rumah siapa? Azhari atau Khalid?" Firaz menggaru kepala sebentar.

"Azhari. Sekejap saja, ibu. Lagipun, kami tak nak main hari ini. Kami bertiga nak buat ulang kaji untuk ujian bertulis Usuluddin minggu depan," jelas si anak berusia sepuluh tahun itu. Maryam membulatkan bibir.

"Rajinnya... Tapi, janji ya tak lama-lama? Ayah tak bagi Uthman balik lambat tahu?" Hujung rambut anaknya yang terjuntai ke dahi dikemaskan. Firaz mengangguk tanda mengerti.

"Uthman pergi sampai pukul sebelas saja. Lepas itu, Uthman terus balik. Janji!" Jari kelingking kanan disatukan dengan jari kelingking kiri ibunya. Tanda dirinya telah membuat satu perjanjian.

"Baiklah. Hati-hati, Uthman. Kalau ada orang yang tak kenal tegur, jangan layan ya?" pesan Maryam.

"Baik, ibu." Dia menghadiahkan tabik hormat kepada ibunya. Dia juga bersalaman dengan Maryam sebelum pergi ke rumah Azhari.

Langkah diatur dengan sedikit pantas untuk ke rumah Azhari yang tidak jauh dari kediamannya. Dalam tiga atau empat minit berjalan mungkin boleh sampai.

Cuma satu saja masalah yang perlu dihadapi Firaz, iaitu menempuh jalan yang bersebelahan reban angsa. Saat dia melalui jalan itu, angsa-angsa di situ sudah memerhatikan setiap gerak-gerinya. Firaz meneguk liur kelat.

Kesemua angsa itu memang mengenalinya sejak dia melemparkan batu kepada mereka semasa dikejar suatu masa dahulu.

Firaz cuba mengawal diri daripada berlari. Jika tidak, pasti angsa-angsa itu akan mengejarnya.

"Ya Allah... Selamatkan hamba-Mu ini," doa Firaz. Sempat dia melihat pintu reban yang tidak berkunci. Hal itu menimbulkan rasa kurang senang dalam hatinya.

Malang tidak berbau, seekor angsa putih yang mungkin adalah ketua semua angsa di dalam reban itu keluar dari pintu tersebut. Sejurus selepas itu, angsa lain mula mengikuti ketua mereka.

Firaz yang tidak mampu mengawal diri terus memecut laju tanpa melihat belakang. Jantungnya berdegup kencang. Tidak lihat lagi peluh di dahi yang sudah mengalir laju. Hormon adrenalina dan noradrenalina dirembeskan oleh sel medula adrenal setelah hipotalamus menghantar impuls saraf kepadanya.

Nasibnya baik kerana sempat menyembunyikan diri di sebuah pondok di kebun buah-buahan. Mata pula meliar-liar untuk memastikan angsa-angsa tersebut tidak mengganggunya lagi.

"Selamat... Alhamdulillah." Firaz mengucapkan syukur. Dia mengesat peluh yang memercik membasahi wajah itu dengan tangan kanan.

"Habis berpeluh. Astaghfirullahal'azim... Harapnya balik nanti mereka tak ganggu aku lagilah," monolog Firaz. Dia meneruskan perjalanan ke rumah Azhari yang sudah tidak jauh dari situ.

Sampai saja di hadapan rumah sang sahabat, Firaz melontarkan suara - tidak terlalu kuat untuk memberi salam.

Azhari yang memang menunggu kedatangan Firaz itu menjawab salam sambil membuka pintu. Senyuman manis ditayangkan.

"Aiwah, masuklah! Khalid pun dah sampai itu," ujar Azhari. Firaz mengangguk.

Punggung dilabuhkan ke atas kerusi setelah Azhari menjemputnya. Nafas diatur sebentar.

"Kenapa kau tercungap-cungap ini?" soal Khalid.

"Angkatan tentera angsa itu kejar aku. Padahal, aku tak kacau pun," kata Firaz. Khalid dan Azhari tertawa kecil dengan cerita tersebut.

"Kesian kau. Mesti pintu reban itu tak berkunci..." Azhari membuat kesimpulan. Firaz mengangguk.

"Dah agak. Kalau macam itu, kau rehatlah dulu. Minum air ini." Cawan yang berisi air sejuk dihulurkan kepada Firaz. Ia bertukar tangan.

Firaz meneguk minuman itu perlahan-lahan selepas melafazkan basmalah. Barulah dirinya berasa lega sedikit.

"Jom kita belajar!" Dengan penuh bersemangat, Khalid menutur kata.

Buku-buku yang berkaitan dengan subjek Usuluddin dikeluarkan termasuk buku nota dan buku latihan. Mereka perlu belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan cemerlang.

"Ustaz tak ada bagi tajuk yang masuk ke?" soal Khalid. Azhari menggeleng.

"Mana ada. Ustaz suruh kita usaha kalau nak berjaya," balas Firaz. Khalid mengeluh berat. Tadi dia yang bukan main bersemangat, sekarang dia yang paling kuat mengeluh.

"Khalid, jangan banyak mengeluh. Gantikan keluhan itu dengan zikir. Insya-Allah, ujian ini mesti senang saja..." Firaz memberikan kata-kata semangat.

"Kau dah pandai, Firaz. Aku ini biasa-biasa saja," ujar Khalid, merendahkan diri sendiri.

"Sudah, sudah. Cukup-cukuplah berbicara dengan perkara yang merendahkan diri sendiri. Sepatutnya kita perlu bersungguh-sungguh untuk cemerlang. Jangan cakap macam itu lagi atau aku lekatkan kedua bibir kau dengan gam ini," tegas Firaz.

"Baik, tuan! Maafkan saya." Khalid tersengih sambil menatap wajah serius Firaz. Azhari pula terkekeh-kekeh mengetawakan sahabatnya seorang itu.

"Kan dah kena marah dengan Kapten Firaz. Padan muka," kata Azhari. Khalid memuncungkan bibir. Merajuk.

Mereka menyambung sesi ulang kaji sambil bergurau-senda. Firaz pula mengerling ke arah jam dinding sekejap-sekejap agar dirinya tidak terlewat untuk pulang ke rumah.

LASYKAR ILMI: FIRAZ UTHMAN 1 [C]Where stories live. Discover now