LASYKAR ILMI 16

75 12 53
                                    

FAKHRUL berjalan di tengah-tengah pekan Kota Ilmi yang tidak ramai orang itu. Ketika dia tiba di sebuah masjid, bayangan seorang kanak-kanak lelaki berjalan melintasi pagar masjid itu lebih menarik tumpuannya.

Sekali imbas, dia melihat wajah kanak-kanak itu persis anak bongsunya. Ia menimbulkan rasa rindu di sudut hati.

Langkah kaki dibawa ke masjid untuk menunaikan solat zuhur sekali gus ingin menegur kanak-kanak tadi.

Pintu utama masjid dibuka. Kelihatan beberapa orang lelaki sedang duduk berteleku di atas karpet sejadah. Ada yang berzikir dan ada juga yang sedang membaca al-Quran.

Fakhrul tercari-cari kelibat kanak-kanak lelaki itu. Tetapi dia langsung tidak kelihatan. Tidak mahu melengahkan waktu solat, dia terus berdiri menghadap kiblat lalu mengangkat takbiratul ihram setelah berniat di dalam hati.

Tiba sahaja pada bahagian tahiyat akhir, Fakhrul merasakan bahawa dirinya sedang dipeluk erat dari belakang. Dia mengucapkan salam sambil berpaling ke kanan dan ke kiri lalu beristighfar sebanyak tiga kali.

Kepala ditolehkan memandang wajah kanak-kanak yang dalam lingkungan umur tujuh tahun itu dengan pandangan tulus.

"Adik?" tegur Fakhrul. Kanak-kanak itu menatapnya bersama lelehan air mata.

"Kenapa adik menangis ini?" soal Fakhrul, lembut.

"Ayah..." Panggilan daripada si kecil itu menyentakkan Fakhrul seketika.

"Ayah... Adik takut." Si kecil itu semakin kuat menangis di bahu Fakhrul.

Fakhrul cuma membiarkan sahaja anak itu menangis di bahunya.

"Tenang, adik. Cuba beritahu pak cik, mana ayah adik?" tanya Fakhrul dengan perlahan. Dia tidak mahu menakutkan anak kecil itu.

"Ayah kena tembak. Adik takut." Fakhrul melafazkan istirja' setelah mendengar khabar tersebut.

"Jangan takut ya? Kita sama-sama doakan ayah adik masuk syurga. Insya-Allah, syahid milik beliau." Belakang si kecil itu ditepuk lembut.

Anak itu meleraikan pelukannya. Dia merenung ke dalam mata Fakhrul. Wajah sembab itu perlahan-lahan mengukirkan senyuman di bibirnya. Fakhrul pula bertindak menyeka air mata anak itu.

"Apa nama adik? Nama pak cik, Muhammad Fakhrul Azhar." Fakhrul memperkenalkan diri.

"Muhammad Hafiz." Anak bernama Hafiz itu menjawab.

"Jom, pak cik hantarkan Hafiz pulang ke rumah ya? Keluarga Hafiz mesti tengah mencari," ujar Fakhrul. Hafiz mengangguk perlahan.

Fakhrul mendukung Hafiz dengan berhati-hati lalu dia bangkit dari duduk. Rambut Hafiz yang sedikit berserabut itu disikat kemas menggunakan tangan kirinya. Senyuman manis ditayangkan pada bibir untuk menenangkan hati anak kecil itu.

Fakhrul menghayun langkah keluar dari pintu utama masjid lalu menyarungkan kasutnya ala kadar.

"Nanti Hafiz tunjukkan rumah dekat pak cik tau. Sebab pak cik tak tahu rumah Hafiz dekat mana," jelas Fakhrul.

"Baik, pak cik." Hafiz membalas dengan sopan-santun.

Dia berjalan kaki di bawah panas terik mentari. Tangan kiri naik melindungi wajah Hafiz daripada terkena sinaran matahari yang membahang itu.

Banyak juga soalan yang ditanya oleh Fakhrul kepada Hafiz untuk mengenali anak itu dengan lebih mendalam.

"Pak cik, itu rumah Hafiz." Hafiz menghalakan jari telunjuk kanan ke arah sebuah rumah yang separa runtuh. Langkahnya terhenti setakat itu. Kaki seakan-akan mengeras di atas tanah.

Bergetar tangkai hati Fakhrul setelah melihat keadaan seperti itu. Pada masa yang sama, meluap-luap api kemarahannya terhadap Jentayu Emas yang telah mengakibatkan kerosakan dan kehancuran pada tanah airnya.

"Allahuakbar..." Lirih saja kedengaran suara Fakhrul melontarkan lafaz tersebut pada bibirnya.

"Ya Allah, adakah aku gagal menjalankan tanggungjawab sebagai panglima tentera? Adakah aku akan dimasukkan ke dalam golongan yang melakukan kehancuran terhadap negara sendiri? Ya Rabb, kurniakan aku kekuatan untuk menghadapi segala rintangan sebegini rupa. Sesungguhnya aku hanya hamba-Mu yang lemah dan tidak berdaya..." Doa itu dia ujarkan di dalam hati sahaja.

Empangan mata mula beroperasi sebagai penghalang agar airnya tidak tumpah ke pipi. Fakhrul mengetap bibir dengan kuat untuk menahan sebak yang menjalar ke seluruh tubuh.

"Pak cik?" seru Hafiz. Lantas Fakhrul berpaling memandangnya.

"Ya. Oh, rumah Hafiz yang itu? Jom, jom," kata Fakhrul. Dia meneruskan perjalanan menuju ke halaman rumah yang sudah musnah itu.

Ketika itu, muncul seorang wanita bersama dua orang anak perempuannya. Muka dan pakaian yang dikotori debu itu ditatap Fakhrul dengan hati yang hiba.

Hafiz pula kelihatan gembira kerana dapat pulang ke pangkuan ibu dan adik-beradiknya semula. Fakhrul merendahkan tubuhnya lalu membiarkan Hafiz berlari ke arah keluarganya.

"Ibu." Anak itu memeluk ibunya. Si ibu juga membalas pelukan tersebut.

Dia memandang Fakhrul sebelum menundukkan pandangan.

"Terima kasih, tuan. Maafkan saya kalau anak saya ada menyusahkan tuan," tutur wanita itu.

"La'. Hafiz tak menyusahkan saya pun." Fakhrul menggeleng kepala.

"Puan, saya yang sepatutnya minta maaf sebab tak peka dengan keadaan rakyat jelata. Saya juga tak maklum dengan apa yang puan sekeluarga lalui sepanjang tempoh peperangan ini. Maafkan saya," ucap Fakhrul. Rasa bersalahnya mula membengkak di dalam hati.

"Tuan, semua itu bukan salah tuan. Tuan pun banyak lagi perkara yang perlu difikirkan. Saya sekeluarga setakat ini tiada sebarang masalah. Alhamdulillah, Allah cukupkan rezeki kami." Jawapan daripada ibu kepada tiga orang anak itu semakin menambah perasaan bersalah dalam diri Fakhrul.

"Kalau puan ada sebarang masalah, jangan takut-takut untuk beritahu saya. Insya-Allah, yang mana saya mampu, saya akan bantu." Fakhrul menunduk menekur tanah.

"Baik, tuan," jawab wanita itu.

"Saya perlu pulang dahulu. Assalamualaikum," pamit Fakhrul saat menyedari bahawa jam telah menunjukkan pukul tiga petang.

"Waalaikumussalam. Semoga Allah melindungi tuan sepanjang perjalanan," doa wanita tersebut. Fakhrul tersenyum kecil lalu mengaminkan doa itu.

"Aku gagal. Aku tak layak pegang jawatan ini. Betul apa yang Tengku Awang katakan, sepatutnya aku letak saja jawatan ini. Aku tak mampu, ya Allah..." Perlahan-lahan air mata yang ditahan tadi jatuh ke pipi.

- - -

La' merupakan perkataan bahasa Arab yang bermaksud tidak.

LASYKAR ILMI: FIRAZ UTHMAN 1 [C]Where stories live. Discover now