LASYKAR ILMI 7

71 12 10
                                    

BUKU latihan dikeluarkan dari beg sekolah. Firaz membuka muka surat yang telah ditanda, lalu menulis hari serta tarikh pada sudut bahagian atas dari kanan muka surat tersebut.

"Firaz, tolong ajarkan aku soalan nombor lima ini. Tak fahamlah." Khalid menunjukkan bukunya kepada Firaz.

Firaz mengambil sebatang pensel lalu menulis sesuatu di atas soalan tersebut.

"Sunnatullah? Oh! Dah ingat! Terima kasih, Firaz," ucap Khalid. Dia segera menulis isi-isi penting berkaitan tajuk sunnatullah.

"Sama-sama." Hujung bibirnya mengukir senyuman manis. Matanya juga separa tertutup.

Azhari menongkat dagu menggunakan tangan kiri sambil tangan kanan bermain-main dengan pensel. Firaz dan Khalid hairan melihat sahabat mereka seorang itu.

Yalah, tak pernah pula Azhari murung, hari itu dia senyap pula tiba-tiba.

"Az, kau tak apa-apa?" soal Firaz.

"Aku okey saja, Firaz," kata Azhari.

"Ada masalah beritahu. Tak usah pendam..." jelas Khalid, pula.

"Tak adalah... Kau orang jangan risau." Azhari senyum sendiri.

"Adik kau mana Az? Biasanya dia ada dekat sini juga," kata Firaz. Terasa kosong pula rumah Azhari apakala adiknya, Anas tiada di situ.

Selalunya Anas akan bermain-main di sekitar ruang tamu sambil mengacau si abang.

"Dia ikut mak aku pergi pasar. Bagus juga. Kalau tidak sibuk main tembak-tembak dekat sini. Tahulah nak jadi askar," omel Azhari. Sedikit geram dengan sikap adiknya yang suka mengganggu.

"Biasalah, budak kecil. Kalau adik aku ada... Dia pun mungkin sama saja." Nada Firaz bertukar sedih sekejap. Azhari dan Khalid menepuk bahunya serentak.

"Insya-Allah, adik kau mesti selamat. Lambat atau cepat, Allah mesti akan temukan dia dengan keluarga kau," kata Khalid.

Firaz tersenyum nipis.

"Assalamualaikum!" Ucapan salam yang dilaung kuat itu menghentikan perbuatan mereka.

Serentak mereka menoleh ke luar pintu rumah. Sudah diagak, Anas dan ibunya telah pulang dari pasar. Azhari melopong mulut.

"Habislah kita..." Spontan dia menutur kata. Anas menjeling abangnya sekilas.

"Apa yang habis? Anas tak nak kacau abanglah. Anas nak tolong mak masak!" Rambut Azhari yang tersisir rapi diserabutkan.

"Hey, rosak rambut abang!" Azhari menjegil ke arah si adik. Anas tergelak-gelak sambil melangkah pantas ke arah ibunya.

Kedua sahabatnya juga tergelak sama di belakang.

"Dah, jom sambung buat latihan. Ketawa, ketawa. Aku rotan baru tahu!" tegas Azhari. Terus senyap Firaz dan Khalid dibuatnya.

"Marahnya..." Khalid mengomel.

"Diamlah." Kedua mereka menelan liur apabila suara dingin Azhari menerpa halwa telinga.

"Jangan marah sahabat, nanti rambut cepat gugur," gurau Firaz. Azhari tidak mengendahkan kecindan yang diujarkan oleh Firaz sebaliknya menyambung menjawab soalan di dalam buku.

- - -

TALI yang terikat pada tangannya ditatap lama. Sklera mata dan hidungnya sudah merah akibat terlalu lama menangis. Dada Khalid berombak kencang.

Dia takut.

Ibu dan abangnya yang turut sama terikat itu dipandang sekejap-sekejap. Ayahnya di sebelah sudah berlumuran darah akibat bergelut dengan tentera Jentayu Emas yang menyerang rumah mereka.

"Ayah... Dia nak bawa kita pergi mana?" Lemah saja nada suara Khalid.

"Tak tahu, Khalid. Ayah rasa dia nak penjarakan kita." Ujaran perlahan daripada ayahnya itu membuatkan mata Khalid membulat.

"Kita kena lepaskan diri ayah. Khalid tak nak masuk penjara," ujarnya. Dia menggerak-gerakkan kedua tangan yang terikat berharap agar ikatan tersebut terbuka.

"Khalid jangan risau ya. Selagi ayah masih hidup, ayah akan lindung kita sekeluarga. Ayah yakin, Allah juga akan tolong kita." Nafas Adnan tidak teratur hingga membuatkan dia terbatuk-batuk. Darah tersembur keluar dari mulutnya.

"Ayah!" Khairul yang senyap dari tadi mengesot ke arah Adnan.

"Ayah tak apa-apa. Kamu jangan risau ya." Walau bagaimana sakit pun, Adnan tetap tersenyum kecil.

Kenderaan yang membawa mereka berhenti di sebuah tempat. Khairul menjengah ke luar but trak yang dinaiki itu.

Mereka berada di Penjara Besar Ilmi. Alangkah terkejutnya Khairul setelah melihat penjara terbesar di Kota Raya Ilmi itu sudah menjadi markas tentera Jentayu Emas.

"Bangun!" Tangan Adnan ditarik kuat oleh salah seorang tentera mereka. Dia tidak berdaya untuk melawan balas.

Khalid ingin membantu ayahnya namun dihalang oleh Khairul. Si abang bertindak memijak muka pemuda itu dengan kuat.

"Kurang ajar punya budak!" Lelaki itu menolak Khairul tanpa belas kasihan. Khairul terjelepuk jatuh ke dalam but trak tersebut.

Dengan tangan yang masih terikat, Khairul bangkit semula. Dia bergelut dengan pemuda itu tanpa menghiraukan kecederaan yang terdapat pada tubuh.

"Kalau kau tak berhenti, aku tembak ayah kau!" ugut pemuda lain yang sudah meletakkan pistol pada belakang kepala Adnan.

Asbab tidak mahu kecederaan yang dialami ayahnya semakin parah, dia menyerah diri.

Mereka berempat ditarik oleh pemuda-pemuda yang tidak berperikemanusiaan itu ke dalam penjara tersebut. Mereka dikurung di salah sebuah jel.

Ikatan tangan mereka dilepaskan kecuali Khairul. Mereka takut lelaki itu bertindak ganas sekali lagi.

'Luka dekat kepala awak teruk sangat. Macam mana ini?' soal Jameela menggunakan bahasa isyarat. Wajahnya benar-benar kelihatan cemas.

"Tak mengapa. Kelak luka ini akan sembuh. Awak tak usah risau, Meela." Tangan kanannya mengusap lembut pipi Jameela.

LASYKAR ILMI: FIRAZ UTHMAN 1 [C]Where stories live. Discover now