LASYKAR ILMI 49

64 15 19
                                    

"BAGUS, Firaz. Sejak tujuh bulan kamu berada dekat sini, prestasi kamu semakin meningkat. Patutlah Tuan Hanzalah-"

Terhenti kata-kata Sarjan Rafiq saat nama Leftenan Kolonel Hanzalah terlepas dari mulutnya. Firaz memandang pelik ke arah pegawai itu.

"Kenapa dengan Tuan Hanzalah? Dia ada marah saya ke?" Firaz terbuka hati untuk bertanya hal itu.

Mana tidaknya, sudah tujuh bulan dia berada di pusat latihan dan dia sering diperhatikan oleh pegawai berpangkat leftenan kolonel itu. Ia menimbulkan perasaan risau jika ada perbuatannya yang membuatkan pegawai tersebut tidak berpuas hati.

"Itu saya tak boleh beritahu. Biarlah dia sendiri yang beritahu kamu." Sarjan Rafiq mengukir senyuman nipis.

"Baiklah, mungkin itu rahsia Tuan Hanzalah... tapi, tuan pula? Kenapa tuan selalu tegur saya. Tuan selalu ambil berat fasal saya. Sedangkan betapa ramai pelatih dekat sini, tak pernah sekalipun saya nampak tuan berbual mesra dengan mereka macam yang tuan buat pada saya," ujar Firaz. Sarjan Rafiq terkedu sejenak. Otaknya ligat memikirkan apa yang ingin diperkatakan kepada kadet muda itu.

"Tak manislah kalau tuan berpilih kasih dengan saya dan abaikan pelatih lain," sambung Firaz lagi. Semakin bertambah lebar senyuman di bibir Sarjan Rafiq.

"Bukan saya pilih kasih, Firaz. Saya cuma melaksanakan amanah yang telah diberikan kepada saya," jawab Sarjan Rafiq.

"Siapa yang bagi amanah itu, tuan?" Firaz masih tidak berputus asa menyoal pegawai itu.

"Maaf, belum masanya untuk saya beritahu kamu," kata Sarjan Rafiq.

Firaz mengeluh kecil. Sarjan Rafiq tertawa halus. Dia tahu minda anak itu sarat dengan pelbagai perkara yang hendak disoal dan diketahui, namun disebabkan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya, dia memilih untuk merahsiakan segalanya.

"Kenapa tuan ketawa? Tuan... janganlah buat saya serba-salah dan risau. Kenapa tuan kena perhatikan saya? Saya ada buat kesalahan besar ke?" Dia tetap tidak berpuas hati kerana menganggap Sarjan Rafiq tidak menjawab soalan yang diajukan olehnya tadi.

"Kan saya kata rahsia..." Sarjan Rafiq berjalan pergi meninggalkan Firaz yang masih terpinga-pinga.

"Tuan, saya tak dapat lagi jawapan yang saya nak." Firaz melaung tetapi tidak terlalu kuat. Sarjan Rafiq menggeleng kecil bersama senyuman. Dia perlu buat sesuatu untuk mengunci mulut Firaz daripada bertanya lagi.

"Masuk bilik kamu, Firaz. Bersiap untuk solat maghrib atau saya akan denda sampai kamu tak tidur malam ini!" Sarjan Rafiq tidak mengendahkan ujaran Firaz, sebaliknya mengugutnya dengan denda yang cukup untuk menghentikan lelaki itu.

Firaz akhirnya akur dengan arahan sarjan itu. Dia berjalan menuju ke bilik untuk bersiap-siap ke masjid.

— — —

SETAHUN selepas dia menamatkan latihan di Pusat Latihan Angkatan Tentera Gapura Ilmi, dia menyertai pasukan Briged Gapura Ilmi. Pasukan tersebut adalah sebuah pasukan komando perang negara itu yang mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Keselamatan dan Ketenteraman Dunia sebagai pasukan komando terbaik dunia.

Firaz pula terpilih untuk menyertai pasukan tersebut setelah lulus dalam beberapa ujian besar di pusat latihan. Dia yang mempunyai kepakaran dalam bidang menembak tepat dan bertempur tanpa senjata api itu lebih mudah mendapat tawaran untuk melanjutkan latihan dalam pasukan elit tersebut.

Latihan di sana dijalankan selama lima bulan sehinggalah rekrut yang mengambil bahagian lulus cemerlang dalam kepakaran masing-masing.

Setelah itu, mereka akan dikurniakan pingat dan sijil serta beret berwarna merah gelap sebagai tanda penghargaan dan kecemerlangan.

Firaz duduk di pondok berdekatan dewan terbuka bersama botol air dalam genggaman. Senyuman manis terukir di sebalik topeng muka hitam yang dipakai bagi menyembunyikan identitinya sebagai komando. Hanya sepasang mata yang tidak ditutup bersama.

"Ayah, ibu... Uthman dah berjaya. Ayah, Uthman dah berjaya ikut jejak langkah ayah. Ibu, Uthman dah tunaikan hasrat ibu untuk tengok Uthman jadi macam ayah." Firaz bermonolog sendiri. Senyuman masih tidak luntur dari bibir merahnya.

Dia bangkit dari tempat duduk lalu menapak ke bilik untuk berehat sebelum mula bertugas esok. Dia juga dibenarkan untuk pulang ke rumah dan berulang-alik untuk ke kem.

— — —

Sedikit catatan;

Saya terpaksa cepatkan cerita ini supaya ia tak panjang dan lewah.
Jadi, harap ia tak menjejaskan bacaan semua ya?

Terima kasih kerana memahami!

LASYKAR ILMI: FIRAZ UTHMAN 1 [C]Where stories live. Discover now