LASYKAR ILMI 21

75 14 40
                                    

FAKHRUL yang diheret sejak keluar dari trak tadi terus dihumban ke dalam sel penjara bersama Firaz yang masih tidak sedarkan diri. Pegawai yang membawanya itu mengunci pintu jeriji besi itu menggunakan mangga.

Kepala diturunkan memandang Firaz yang baring di sebelah. Tangannya yang sudah bebas dari sebarang ikatan naik menyentuh ubun-ubun kepala si anak.

"Uthman... Ayah minta maaf ya?" sebut Fakhrul, sebak. Air mata yang bertakung di empangannya ditahan kemas supaya tidak tumpah ke pipi.

"Maafkan saya, Maryam." Jantung Fakhrul berdegup kencang saat teringat akan isterinya di rumah.

Rahman yang terlihat Fakhrul dan Uthman terbaring di dalam sel penjara berdekatannya itu langsung terkejut. Dia memanggil Adnan untuk melihat ke arah itu.

"Adnan, itu Tuan Fakhrul kan?" soalnya kepada Adnan untuk memastikan sangkaannya tidak salah. Adnan menoleh ke arah tersebut. Khalid dan Khairul juga tidak terkecuali.

Alangkah terkejutnya saat dia lihat Fakhrul yang wajahnya berdarah-darah sedang bersandar di dinding penjara.

"Tuan!" seru Adnan. Lantas Fakhrul mengangkat muka memandang mereka.

"Adnan? Rahman? Alhamdulilah, bertemu juga kita," ucap Fakhrul dengan penuh kesyukuran. Dia cuba bangun dari tempatnya bersandar itu untuk berpaut pada jeriji besi.

Tetapi kakinya terus hilang keseimbangan. Akibatnya, Fakhrul jatuh terjelepuk ke lantai.

"Tuan, jangan memaksa diri. Kaki tuan itu cedera parah!" Rahman risau dengan keadaan Fakhrul.

"Ayah... Firaz tak sedarkan diri." Khalid menghalakan jari telunjuk ke arah sahabatnya.

"Dia mungkin cedera juga. Insya-Allah, kita doakan Firaz cepat-cepat sedar ya?" ujar Adnan. Khalid pula terangguk-angguk bersetuju.

'Agaknya manalah Maryam? Saya rasa tak sedap hati pula.' Riak muka Jameela jelas menunjukkan kegelisahannya terhadap Maryam.

"Itulah." Adnan membalas perlahan.

Secara berhati-hati, Fakhrul mengengsot ke pintu palang besi itu. Dia memandang ke arah Adnan dan Rahman. Nafasnya turun naik.

"Dalam kita tak sedar, Malik itu sebenarnya pengkhianat terbesar dalam negara kita. Dia yang bersama-sama dengan King Alex merancang pembunuhan almarhum sultan dan kerabat diraja." Fakhrul mendedahkan kebenaran.

Terkedu Adnan dan Rahman buat seketika waktu. Bukan setakat mereka, beberapa orang pegawai lain dan rakyat Gapura Ilmi yang ditangkap juga terkejut besar. Mereka tidak sangka bahawa selama ini mereka ditipu hidup-hidup oleh sang bendahara.

"Apa tujuannya, tuan?" tanya Rahman.

"Tamakkan harta dan kuasa. Serta perasaan cemburu dengan kejayaan pembesar lain termasuk saya. Sehinggakan dia sanggup melakukan apa sahaja untuk menghancurkan tanah air sendiri," jelas Fakhrul sebelum dia terbatuk-batuk.

Suara dibetulkan semula kerana sedikit serak.

"... Ibarat penjajah di negara sendiri," sambungnya.

"Astaghfirullahal'azim. Semoga Allah balas balik apa yang dia lakukan itu." Adnan mengucap perlahan. Rahman turut mengaminkan doa tersebut.

"Sudah lama dia merancang perkara buruk terhadap negara sendiri. Kita saja yang tidak sedar. Kita sibuk dengan kes perisik dari negara luar sehingga perosak yang ada dalam kelompok kita sendiri pun kita tak tahu. Memang benarlah... Saya gagal dalam menjalankan tugas," ujar Fakhrul.

"Jangan cakap macam itu, tuan. Tuan dah jalankan tanggungjawab dengan sangat baik. Lagipun, tugas tuan terlalu padat. Mungkin sebab itulah ada satu-satu perkara yang tuan terlepas pandang. Tak apa, tuan... Allah tahu apa yang ada dalam hati kita. Allah tahu apa yang berlaku pasa hamba Dia. Kita kena yakin, setiap ujian yang Allah berikan ini pasti ada sinar kebaikan di penghujungnya. Cukuplah kita sebagai hamba ini bersabar dan redha dengan ketentuan-Nya," tutur Adnan.

Secara tidak langsung, bibir Fakhrul membuahkan senyuman manis. Hatinya terasa sedikit lapang berbanding tadi.

"Terima kasih Adnan, Rahman... Kerana meyakinkan saya," kata Fakhrul. Kedua mereka membalasnya dengan senyuman kecil.

"Tuan berehatlah terlebih dahulu. Kumpulkan tenaga. Dekat sini, mereka akan seksa tahanan setiap kali waktu solat. Kami pun tak tahu apa tujuannya sedangkan para tentera musuh juga saudara seagama kita." Rahman menghela nafas berat.

"Sampai begitu sekali? Ini tak boleh dibiarkan sahaja!" Roman muka Fakhrul berubah serta-merta. Kening tebalnya bertaut.

Rahman dan Adnan juga sedikit cuak melihat riak ketegasan yang terselit pada wajah tenang Fakhrul. Mereka maklum dengan sifat Fakhrul yang tegas itu, namun kali ini ia bertahap maksima.

"Tak mengapa... Tahulah saya apa yang hendak dibuat pada golongan seperti mereka ini." Fakhrul menenangkan dirinya perlahan-lahan. Adnan dan Rahman cuma sekadar mengangguk tanda faham. Tidak berani ingin membalas lebih-lebih.

- - -

FIRAZ terkelip-kelip membuka mata. Saat itu, tubuh Fakhrul yang sedang bersujud menghadap kiblat menghiasi lensa penglihatan. Dia menukar posisi baring kepada duduk lalu mendekati si ayah.

Dia menunggu Fakhrul selesai solat maghrib seketika. Lantai penjara yang berdebu itu ditekur lama sehingga bahunya ditepuk lembut oleh Fakhrul.

"Uthman, kepala itu masih sakit lagi?" tegur Fakhrul. Firaz menggeleng kecil.

"Ayah... Mana ibu?" Soalan daripada mulut si anak itu membuatkan Fakhrul terdiam sebentar. Dia mengumpulkan kekuatan untuk menyatakan hal sebenar.

"Ibu kena kurung dekat rumah, Uthman. Ayah tak boleh buat apa-apa waktu itu. Nak bangun pun tak mampu... Kita doakan ibu selamat ya? Allah kan ada." Ton suaranya kedengaran tenang tetapi agak bergetar kerana menahan sebak.

"Uthman harap ibu selamat." Firaz memeluk tubuh ayahnya dengan erat.

"Kaki ayah..." Pandangan ditalakan pada kedua belah kaki ayahnya yang cedera parah akibat ditembak itu. Darah pada kakinya itu sudah kering kerana dibiar semalaman.

"Tak apa. Sikit saja ini... Ayah pernah kena yang lebih teruk daripada ini." Fakhrul mengusap ubun-ubun anak itu dengan penuh kasih.

"Tapi nanti luka itu lagi teruk macam mana?" soal Firaz, polos.

"Insya-Allah, luka ini sembuh. Jangan risau ya?" Fakhrul tersenyum lebar hingga menampakkan barisan gigi putihnya yang tersusun kemas.

"Semoga Allah sembuhkan ayah. Aamiin..." Dia meraup muka.

"Aamiin." Terasa sayu hati Fakhrul mendengar doa yang diujarkan oleh anaknya.

"Uthman sayang ayah!" Tangan kanan ayahnya dikucup lama.

"Ayah pun sayang anak manja ayah ini..." balas Fakhrul.

LASYKAR ILMI: FIRAZ UTHMAN 1 [C]Where stories live. Discover now