LASYKAR ILMI 55

68 12 18
                                    

SURAT yang diterima daripada Firaz itu dibaca dengan hati yang berbunga-bunga. Aiyla tersenyum dengan manis saat terpandang sebaris nama yang tertulis di atas kertas tersebut.

"Muhammad Firaz Uthman. Sedap nama dia..." tutur Aiyla sambil merenung dinding biliknya yang berwarna ungu muda.

Pena berdakwat biru dicapai lalu dia pula merangka ayat di atas kertas.

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh, saudara.

Maafkan saya kerana telah membuat saudara tertanya-tanya siapakah saya yang sebenarnya.

Nama diberi Aiyla Rafiqah binti Abu Bakar. Saya juga merupakan kakak kepada Hussam dan Yazin.

Saudara,

Sejujurnya, tujuan saya mengirimkan surat kepada saudara adalah untuk menyatakan perasaan saya sejak kali pertama kita bertemu. Cuma satu yang saya ingin tekankan di sini bahawa perasaan yang hadir dalam hati saya kepada saudara bukan kerana aspek rupa paras, tetapi sifat saudara yang sungguh menghormati wanita.

Juga kerana sifat penyayang yang saudara tunjukkan kepada kedua adik saya.

Terima kasih saudara, kerana melayani karenah adik-adik saya. Semoga mereka tidak menyusahkan saudara.

Maafkan saya sekali lagi. Mungkin saudara menganggap saya seperti perigi mencari timba dan kurang selesa dengan cara saya meluahkan perasaan.

Yang benar,
Sinar Purnama.

"Kakak!" Panggilan daripada Yazin menghentikan perbuatan Aiyla. Lantas surat itu disorokkan di bawah buku. Dia bangkit lalu berjalan ke arah pintu bilik sebelum membukanya.

"Ya, Yazin. Ada apa terjerit-jerit ini?" Hidung anak kecil itu dicubit. Yazin mengerutkan dahi seketika.

"Ayah suruh panggil kakak." Yazin memegang tangan kanan Aiyla seraya menarik tangan itu agar si kakak mengikuti langkahnya.

"Janganlah tarik tangan kakak, Yazin..." ujar Aiyla. Namun dia terpaksa membiarkan adiknya melakukan hal itu.

Yazin menghentikan langkah saat tiba di ruang tamu. Dia melepaskan tangan Aiyla dan terus melabuhkan duduk di atas sofa. Aiyla turut melakukan hal yang sama.

"Kenapa ayah?" Susuk tubuh ayahnya yang berkerusi roda menerpa penglihatan. Aiyla mengukir senyum.

"Betul ke apa yang Hussam cakap? Kamu kirimkan surat kepada lelaki?" nada Abu Bakar kedengaran tegas, tetapi wajahnya kekal tenang tanpa secalit kemarahan.

Aiyla lantas melihat Hussam sebelum menunduk ke bawah. Hujung bajunya dipintal-pintal.

"Jawab, Aiyla... ayah bukannya nak marah kamu. Ayah cuma tanya. Satu lagi, kamu jangan marahkan Hussam. Ayah yang desak dia supaya berlaku jujur," jelas Abu Bakar terlebih dahulu agar anak sulungnya tidak tersalah faham.

Aiyla perlahan-lahan mengangkat muka.

"Ya, ayah. Aiyla yang hantar surat kepada lelaki. Aiyla minta maaf. Aiyla tak ada niat nak malukan ayah atau apa pun. Aiyla cuma nak meluahkan isi hati Aiyla pada dia." Dengan nafas yang panjang, Aiyla menceritakan hal sebenar.

"Jadi selama ini kakaklah yang kirim surat pada abang bertopeng itu? Tak beritahu Yazin pun..." Ton suara anak kecil itu bertukar rajuk. Aiyla pantas mengusap lembut ubun-ubun kepala Yazin untuk memujuk.

"Siapa lelaki itu? Dia tinggal di mana?" Dua soalan diajukan oleh si ayah serentak.

"Nama dia... Muhammad Firaz Uthman. Tapi Aiyla tak tahu dia tinggal dekat mana," kata Aiyla.

LASYKAR ILMI: FIRAZ UTHMAN 1 [C]Where stories live. Discover now