LASYKAR ILMI 9

79 14 6
                                    

FAKHRUL berucap pada sidang akhbar di hadapan khalayak ramai dengan begitu lantang. Terdapat beberapa wartawan yang hadir dan membuat liputan media. Ada juga beberapa orang rakyat biasa yang menulis setiap apa yang diucapkan oleh sang panglima itu.

"...Para tentera kami akan memastikan bahawa semua tentera musuh yang masuk ke dalam tanah air ini akan dihapuskan tanpa ada yang tersisa. Kami juga akan turut bertindak menyelamatkan beberapa keluarga dan pegawai tertinggi kami yang ditawan mereka sebagai tebusan."

"Seluruh rakyat hanya dibenarkan untuk keluar dari rumah pada waktu solat dan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pekerja sahaja. Selain daripada itu, hanya tetap berada di rumah untuk mengelak dari bertembung dengan musuh. Akhir kata, diharapkan agar seluruh rakyat Gapura Ilmi kekal tabah dan kuat untuk menempuh alam peperangan ini."

"Ingatlah bahawa, sesungguhnya Allah SWT akan tetap berada bersama dan menurunkan bantuan dan pertolongan pada hamba-hamba yang sentiasa menyibukkan diri untuk beribadah kepada-Nya. Sekian, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh." Fakhrul mengakhiri ucapannya. Dia turun dari pentas dan terus menuju ke arah beberapa orang rakan pegawainya untuk meneruskan perbincangan berkaitan isu perang yang melanda tanah air mereka.

Wajahnya tampak pucat tidak seperti kebiasaan. Mana tidaknya, dia menjadi orang yang paling sibuk sejak kerajaan musuh mengumumkan bahawa mereka akan datang berperang. Sehinggakan isteri dan anaknya di rumah juga tidak dijenguk.

"Tuan tak apa-apa? Saya rasa, lebih baik tuan berehat seketika. Tuan nampak macam tak sihat." Ghazali menegur Fakhrul yang sedang berjalan ke arah pejabatnya.

"Tidak mengapa, Ghazali. Sekiranya saya berehat di sini, ramai pegawai kita yang ditangkap di sana. Sakit saya ini terlalu sedikit jika dibandingkan dengan seksaan yang dihadapi oleh rakan seperjuangan kita yang ditawan itu." Fakhrul tersenyum kecil di sebalik bibirnya yang agak kering.

"Baiklah tuan jika begitu. Saya beransur ke sana dulu ya? Assalamualaikum," ucap Ghazali. Fakhrul tersengguk kecil lalu menjawab salam tersebut dengan perlahan.

Dia menyambung langkah ke pejabatnya. Beberapa fail nipis pada tangannya dikemaskan. Pintu pejabat dibuka lalu dia meloloskan diri ke dalamnya.

Dia duduk di atas kerusi berhadapan meja kerja. Meja yang sedikit bersepah itu dikemaskan. Ketika itu, sekeping gambar keluarga jatuh di sebalik timbunan kertas kerja. Fakhrul ambil lalu dia tatap gambar tersebut.

Lama.

Hati terasa rindu akan isteri dan anaknya di rumah. Dia akui, sejak bermulanya isu antara dua kerajaan itu, masanya bersama keluarga terabai begitu saja. Dia tahu, Maryam dan Firaz sememangnya faham akan tugasnya sebagai seorang pegawai tentera. Cuma hatinya turut risau akan keselamatan dan kesejahteraan kedua insan tercintanya itu.

"Ya Allah... Selamatkan mereka dari sebarang bahaya." Wajah diraup menggunakan tangan kanan manakala tangan kirinya membawa gambar tersebut ke dada.

- - -

KERTAS kecil yang baru saja dihantar oleh penghantar surat itu dibaca segala isi kandungannya. Maryam terkejut setelah mendapat tahu berita darurat tersebut. Firaz yang baru sahaja selesai mandi menegur ibunya dengan sopan-santun.

"Surat apa itu, ibu?" soal Firaz. Perasaan ingin tahunya membuak-buak.

"Perintah darurat, sayang. Kita tak boleh keluar rumah langsung selagi perang tak tamat." Melopong mulut anak berusia sepuluh tahun itu setelah mendengarnya.

"Tak boleh pergi sekolah?" tanya Firaz, lagi. Ia dibalas dengan anggukan kecil daripada Maryam.

"Ayah mesti tak balik rumah lepas ini... Sebab tugas ayah besar," ujar Firaz. Ton suaranya tampak jelas menunjukkan bahawa dia sedang sedih.

"Insya-Allah, ayah balik. Kita doakan ayah sentiasa berada dalam lindungan Allah ya? Dah, Uthman pergi sikat rambut itu. Pakai wangi-wangian sekali." Pipi anaknya diusap lembut.

"Baik, ibu." Firaz menurut arahan. Dia terus berlalu ke bilik untuk bersiap-siap sebelum mengaji al-Quran bersama ibunya.

Mushaf al-Quran dibukanya lalu bibir melafazkan ta'awuz terlebih dahulu. Maryam duduk di hadapan anaknya untuk membuat semakan bacaan ketika anaknya itu mengulang kaji hafalannya.

"Kalimah yang berada di hujung ayat Uthman kena panjangkan sekurang-kurangnya dua harakat. Jangan pendek kan bacaan sesuka hati, ya?" tegur Maryam.

Firaz cuma mengangguk dan membetulkan semula bacaannya.

LASYKAR ILMI: FIRAZ UTHMAN 1 [C]Where stories live. Discover now