LASYKAR ILMI 6

85 16 8
                                    

SEJAK kemangkatan pemimpin Gapura Ilmi itu, Fakhrul semakin sarat dengan pelbagai tugasan di istana sehingga perlu bertemu dengan pembesar lain untuk bermusyawarah hampir setiap hari.

Waktu bersama keluarga juga tergadai kerana itu. Semalam, Firaz mendapat markah tertinggi dalam subjek Usuluddin dan anaknya itu cuma meletakkan kertas ujian yang telah ditanda di atas meja setelah mendapat tahu bahawa dia pulang ke rumah lewat malam.

Wajah si anak juga hanya sempat ditatap semasa dia sedang tidur kerana Fakhrul terpaksa keluar ke kem awal pagi.

Mata dipejam rapat. Songkok yang berada di atas meja kerjanya diambil dan disarung ke atas kepala.

Mereka masih di dalam tempoh berkabung selama tiga minggu. Dan dalam tempoh itu jugalah, bermacam-macam jenis ancaman daripada pihak luar mengganggu ketenteraman kerajaan mereka.

Tetapi Fakhrul bersyukur kerana pemuda yang didapati merupakan penjenayah di istana itu telah ditangkap dan dijatuhi hukuman mati. Pemuda yang bernama Abraham Hitler itu juga telah mengakui kesalahannya dan membongkar rahsia bahawa dia hanya menuruti titah raja.

Bendahara Tun Malik juga telah menghantar sepucuk surat buat King Alex Davis, pemimpin Jentayu Emas sebagai makluman berkaitan hukuman yang hendak dikenakan kepada pemuda tersebut.

Namun, ia secara tidak langsung membuatkan pemimpin kerajaan itu tidak berpuas hati dengan hukuman yang dikenakan ke atas rakyatnya.

Maklumlah, Abraham Hitler merupakan perisik terhebat Jentayu Emas dan baginda menganggap kehilangannya membawa masalah besar kepada kerajaan mereka.

King Alex tidak membalas surat Bendahara Tun Malik, sebaliknya menghantar surat kepada Fakhrul, selaku panglima perang Gapura Ilmi yang dinyatakan di dalamnya;

Hutang nyawa, harus dibayar dengan nyawa. Beta akan pastikan Gapura Ilmi menjadi padang jarak padang tekukur. Bersiap sedia untuk menggembleng tenaga melawan angkatan tentera beta yang gagah perkasa. Jikalau Gapura Ilmi punya muallim, Jentayu Emas punya lebih dari itu. Jikalau Gapura Ilmi mempunyai kota yang menempatkan sebuah markas tentera, Jentayu Emas tidak hairan akan itu. Hantarlah selautan tentera sekalipun, tentera beta tidak akan dapat ditewaskan.

Sultan negara tuan hamba saja sudah mangkat dibunuh beta, bahkan putera mahkotanya jua. Adapun jika tuan hamba tidak mampu menggalas tanggungjawab sebagai panglima, letak saja akan jawatan itu. Tak usah memalukan nama negara tuan hamba yang kononnya gah di mata dunia itu.

Fakhrul menggumam sendirian setelah lebih dua kali membaca dan mengamati isi kandungan warkah tersebut.

"Letak jawatan? Maaf, tuanku. Patik bukanlah seorang yang inginkan jawatan ini. Tetapi asbab jawatan yang sedang digalas ini adalah amanah daripada Almarhum Sultan Muhammad Yusuf, patik akan terus menabur jasa kepada tanah air yang patik cintai ini." Fakhrul bersenandika sendirian.

Pintu pejabatnya diketuk dari luar. Fakhrul membenarkan orang itu untuk masuk sementara dia menyimpan surat tersebut ke dalam laci meja.

"Maaf tuan kerana mengganggu.
Sebenarnya, Bendahara ingin bertemu dengan tuan." Ilyas menyampaikan maklumat.

"Baik, koperal. Terima kasih," ucap Fakhrul. Ilyas mengangguk kecil lalu memberi tabik hormat sebelum beredar.

Fakhrul bangkit dari kerusi dan berjalan keluar dari pejabat.

"Tuan, songkok tuan agak senget," tegur seorang pegawai wanita. Kening sebelah Fakhrul ternaik sebelum dia membetulkan kedudukan songkok yang dipakai.

"Terima kasih atas teguran." Ucapan itu dilontarkan tanpa memandang pegawai yang memakai niqab itu.

Pegawai tentera wanita Gapura Ilmi sememangnya perlu memakai niqab atau purdah untuk mengelakkan wajah mereka dikesan dengan mudah. Dan tujuan utama dalam hal ini adalah untuk memastikan keselamatan mereka terjamin.

Pegawai wanita itu turut menunduk sedikit sebagai tanda hormat.

- - -

BEG sekolah diletakkan elok di tepi rak buku. Firaz kemudiannya merebahkan badan ke atas katil. Mulutnya yang menguap besar pantas ditutup.

"Allahuakbar... Mengantuknya hari ini..." monolognya perlahan.

"Uthman, mandi dulu! Jangan terus tidur!" Ibunya melaung dari dapur. Firaz menukar ke posisi duduk.

Dia turun dari katil dan bertindak untuk membersihkan diri di dalam bilik mandi.

Seusai itu, barulah dia berjalan ke dapur untuk menikmati hidangan tengah hari bersama ibunda tercinta.

Sekeping roti yang masih panas diambil Firaz lalu diletakkan di atas pinggannya dan ibunya sekali. Maryam pula menuangkan sup ayam ke dalam mangkuk kecil untuk kedua mereka.

"Ayah tak balik lagi?" soal Firaz, polos. Maryam menggeleng perlahan.

"Ayah sibuk, Uthman. Pagi tadi, ayah kata balik awal sikit malam ini. Tapi ibu pun tak tahulah betul atau tidak. Kadang-kadang, ayah terpaksa bertugas lebih masa," jawab Maryam.

"Ayah selalu tak cukup rehat. Uthman harap, semua masalah akan selesai dengan cepat. Uthman tak nak ayah penat." Cebisan kecil roti yang telah dicicah bersama sup disuap ke dalam mulut.

"Sedap!" Mulut yang masih penuh itu menutur kata.

"Tak baik bercakap masa mulut penuh, sayang. Kunyah dan telan dulu," nasihat Maryam, lembut. Firaz tersengih kecil. Sedar akan kesilapannya.

LASYKAR ILMI: FIRAZ UTHMAN 1 [C]Where stories live. Discover now