LASYKAR ILMI 53

60 13 13
                                    

"ABANG! Assalamualaikum..." ucap Hussam. Firaz menjawab salam itu dengan tenang. Dia menggosok matanya belah kirinya perlahan. Sklera mata itu agak merah.

"Eh, kenapa mata abang merah?" tanya Hussam.

Hari ini dia datang berseorangan kerana Yazin mempunyai kelas mengaji al-Quran. Dia pula sememangnya sudah lama khatam al-Quran dan sedang mengikuti kelas mengaji hadis. Tetapi disebabkan kelasnya bermula selepas waktu maghrib nanti, sempatlah dia bermain dahulu petang itu.

"Sakit mata. Daripada malam tadi," jawab Firaz. Hanya dengan kedua matanya yang separa tertutup, Hussam sudah tahu bahawa lelaki itu sedang tersenyum lebar.

Dia mengangguk kecil.

"Satu lagi, abang tak kerja ya hari ini? Sebab abang tak pakai baju askar. Tapi... kenapa abang masih pakai topeng muka itu?" Dua soalan lagi diajukan kepada Firaz. Kedengaran tawa halus terlepas dari bibir lelaki berusia 19 tahun itu.

"Ya. Saya tak kerja. Topeng muka ini memang saya kena pakai setiap kali keluar rumah. Tak boleh elak dah." Jawapan itu diberikan dengan nada tenang. Hussam membulatkan bibir tanda mengerti dengan balasan Firaz.

Iris coklatnya bertaut dengan iris kekelabuan milik Firaz. Agak lama sebelum masing-masing menjatuhkan pandangan. Keadaan sepi tanpa sebarang bunyi. Hanya nyanyian burung-burung dan suasana yang riuh-rendah di kawasan pekan membaluti ruangan itu.

"Senyap tiba-tiba ya?" Firaz tergelak sendiri. Hussam pula tersengih kecil.

"Hm, abang. Hussam nak serahkan surat ini untuk abang. Semalam ada orang minta tolong bagi." Dia menyeluk saku seluar dan mengeluarkan sampul surat kecil yang masih kemas tanpa cacat-cela.

Sampul surat berwarna hijau tua itu dihulurkan kepada Firaz.

Tanpa banyak soal, Firaz menyambut sampul itu daripada Hussam. Dia sedikit pelik kerana tiada sebaris nama atau alamat pun tertera pada muka depan sampul surat tersebut.

"Siapa yang bagi ini Hussam? Kamu kenal orangnya?" Firaz menyoal kerana hairan.

Hussam dengan pantas menggeleng. Sejujurnya dia berasa serba-salah kerana terpaksa berbohong kepada Firaz. Namun, direlakan jua asbab permintaan daripada si kakak.

"Baiklah. Kalau kamu terjumpa dia, kirimkan ucapan terima kasih daripada saya. Boleh?" ujar Firaz.

"Boleh!" Ibu jari tangan kanan diangkat dengan senyuman lebar. Firaz mengusap lembut ubun-ubun kepala anak itu sebagaimana yang selalu dilakukan oleh arwah Fakhrul terhadapnya.

"Barangkali... orang yang bagi surat itu menyimpan perasaan pada abang. Entahlah. Saya cuma menyerkap jarang saja." Hussam membuat gaya seperti sedang berfikir.

"Ada-ada saja akal kamu ini. Mustahil lah. Mungkin ada perkara penting yang dia nak beritahu pada saya. Cuma dia tak ada masa untuk berjumpa saya secara berdepan." Firaz masih bersangka baik. Hussam menyengguk perlahan.

- - -

HUJUNG sampul surat dibuka secara berhati-hati kerana risau ia terkoyak. Setelah itu, dia mengeluarkan surat tersebut lalu membacanya. Hatinya jadi tidak keruan apabila ayat yang dirangkaikan oleh si penulis ini agak menjurus kepada luahan perasaan.

Apa benar kata-kata Hussam tadi?

Firaz menggaru kepala tanda janggal. Dia juga tertanya-tanya siapakan pemilik nama pena Sinar Purnama itu?

"Engkau... perjaka yang berbeza daripada yang lainnya? Kenapa semua orang cakap aku ini berbeza daripada orang lain? Aku cuma manusia biasalah. Tiada apa yang istimewa pun..." monolog Firaz.

"Aku bukan lelaki yang baik. Sudahlah tangan aku ini pernah dikotori dengan darah musuh." Dia menghela nafas berat. Tiba-tiba dia teringat momen dia menikam tubuh Charles sambil tangannya terketar-ketar memegang pisau.

Kelopak mata dikatup rapat. Ngeri.

"Siapalah agaknya yang kirimkan surat ini? Kalau tengok daripada tulisan... macam seorang perempuan." Firaz menongkat dagu di atas kedua tangannya.

"Jangan-jangan, ada musuh yang hendak memperdayakan aku? Tapi, tak mungkinlah. Sempadan telah dikawal ketat. Jentayu Emas dah takkan boleh ceroboh. Insya-Allah," tutur Firaz.

"Aku memohon kepada-Mu perlindungan daripada segala bahaya yang mendatang, ya Rabb. Aamiin..." doa Firaz secara berbisik halus. Wajah diraup dengan kedua belah tangan.

Rambut separas bahunya disikat ke belakang menggunakan tangan kiri. Ketika itu, retina mata secara tidak langsung tertancap pada jam dinding.

"Astaghfirullah! Dah nak masuk waktu maghrib. Aku tak mandi lagi! Ya Allah..." Dengan kelajuan penuh, dia mencapai tuala yang tersangkut pada tepi bilik air sebelum masuk untuk membersihkan diri.

LASYKAR ILMI: FIRAZ UTHMAN 1 [C]Where stories live. Discover now