LASYKAR ILMI 56

71 9 17
                                    

BERBULAN-BULAN mereka meneruskan aktiviti kirim-mengirim surat dan panggilan masing-masing sudah berubah daripada saudara dan saudari kepada awak dan saya. Ia secara langsung mewujudkan sebuah perasaan yang lain di lubuk hati Firaz. Lebih-lebih lagi saat terbaca sebaris ayat pada surat Aiyla.

Kalau tak keberatan, ayah saya jemput awak datang ke rumah kami di Desa Ar-Raudhah.

Firaz mengukir senyuman nipis. Dia sebenarnya berasa segan asbab dijemput untuk ke rumah gadis itu.

Tetapi apabila orang yang menjemputnya hadir itu ialah bapa kepada gadis itu, kurang sedikit rasa segannya.

Cawan yang berisi lebihan air kopi pekat tanpa gula itu dicapai lalu dia mencicip minuman tersebut perlahan-lahan.

Pahit.

Namun ia amat menyegarkan bagi Firaz.

Surat itu dia simpan di dalam laci meja tulis. Kemudian, dia bangkit dari tempat duduk lalu berjalan menuju ke dapur untuk mencuci cawan itu.

Ketika sedang mencuci cawan tersebut, mata redupnya terhinggap pada apron arwah ibunya yang tergantung kemas di tepi rak dapur. Ia langsung tidak pernah diusik Firaz sepanjang dia tinggal bersendirian di rumah itu.

Baginya, itu antara barangan yang berharga dan membawa bermacam-macam kenangan manis.

Apron itulah yang digunakan oleh si ibu ketika memasak dan menguli doh roti.

"Uthman, makanlah sikit. Nanti kamu sakit perut pula." Maryam melabuhkan duduk di sisi Firaz yang berselubung dengan selimut. Dia menggeleng tidak mahu.

Anak itu diserang demam panas menyebabkan dia tidak mahu menjamah apa-apa sejak pagi tadi. Ini menimbulkan rasa risau dalam hati Maryam.

"Ibu suapkan. Nak?" soal Maryam. Firaz senyap kerana tidak berdaya untuk membalas.

"Sikit saja. Bolehlah..." Rambut anaknya dielus lembut.

"Nak," balas Firaz, perlahan. Maryam tersenyum lebar dan terus berjalan keluar dari bilik Firaz menuju ke dapur.

Tak sampai beberapa minit, dia datang membawa sepinggan roti bersama sup ayam. Dia duduk semula di sisi anaknya.

"Duduk, sayang. Tak baik makan sambil baring." Firaz akur dengan arahan ibunya. Dia menukar posisi baring kepada duduk sambil bersandar pada kepala katil.

Maryam mengukir senyuman manis. Dia mencubit sedikit roti lalu mencicah pada sup sebelum disuakan ke anaknya. Firaz melafazkan basmalah lalu membiarkan si ibu menyuap masuk roti itu ke dalam mulutnya. Dia mengunyah hidangan tersebut dengan beradab.

Lembut!

"Alhamdulillah. Sedap ibu masak," puji Firaz.

"Haza min fadhli Rabbi." Ucapan itu dilafazkan dengan nada ceria oleh Maryam.

Secara tidak sedar, mutiara jernih gugur dari tubir mata Firaz, namun ia pantas diseka.

"Rindunya air tangan ibu," ujar Firaz, sayu.

"Cukup Uthman... jangan terlalu bersedih." Dia menghela nafas panjang dan berlalu pergi meninggalkan dapur.

— — —

BERSINAR-SINAR wajah Hussam dan Yazin saat menerima kehadiran Firaz ke rumah mereka. Terus ditarik tangan Firaz sambil membawa lelaki itu ke ruang tamu dan mempersilakannya untuk duduk.

"Abang tunggu ya. Yazin panggil ayah," ujar Yazin, teruja.

"Hussam pun nak suruh kakak buatkan air," kata Hussam pula.

Mahu mereka tidak gembira kerana yang datang itu ialah abang angkat kesayangan mereka!

Firaz menggeleng kecil sambil tertawa.

Selang beberapa minit, datanglah Abu Bakar yang baru keluar dari bilik. Lelaki berusia separuh abad itu menyapa Firaz dengan senang hati. Sejuk kalbunya memandang wajah anak muda itu meski hanya melihat sepasang matanya sahaja.

Mereka kemudiannya bertanya khabar dan berbual-bual mesra bersama sehinggalah Aiyla keluar dari dapur sambil menatang dulang air dan piring berisi biskut coklat. Tatkala itu, iris coklatnya bertaut dengan iris kekelabuan Firaz. Tetapi mereka lantas menundukkan pandangan.

Risau ia mengundang dosa sekiranya berlebihan.

Cepat-cepat dia menghidangkan juadah tersebut sebelum berlalu pergi meninggalkan kedua lelaki itu.

"Jemput minum, Firaz." Abu Bakar yang perasan situasi tersebut cuma beriak tenang seolah-olah tidak nampak akan hal itu dan menjemput Firaz menjamah hidangan tersebut.

Dalam hati, dia berdoa agar Allah satukan hati anak gadisnya dengan Firaz.

"Kamu... sukakan anak pak cik?" Soalan itu memecahkan suasana yang sepi sementara tadi.

Dia sangka Firaz akan menjawab soalannya, rupanya lelaki itu terus tunduk menekur lantai.

"Maaf kalau ia terlalu melampau." Mendengar ucapan maaf itu, Firaz terus angkat muka.

Dia sebenarnya tidak senang jika ada yang meminta maaf kerana perbuatannya yang menimbulkan rasa bersalah dalam hati mereka.

"P-Pak cik tak perlu minta maaf. Saya baik-baik saja. Cuma... agak segan untuk jawab soalan itu." Firaz menggaru pelipis seketika sambil tersengih di sebalik topeng muka.

Abu Bakar menggeleng perlahan seraya tersenyum lebar.

"Saya mengaku yang saya ada menyimpan perasaan pada anak pak cik. Tapi saya malu nak cakap hal sebenar. Maaf kalau pak cik tak suka." Firaz dicucuk rasa malu yang teramat sangat.

"Ya Rabb, kurniakan aku kekuatan dan semangat yang tinggi." Doa itu dibisikkan dalam hati.

"Kalau kamu dah cakap macam itu, pak cik tak boleh halang hubungan kamu berdua. Lagipun, pak cik setuju sangat kalau kamulah pilihan hati anak pak cik yang satu itu. Firaz... jika benar kamu cintakan anak pak cik kerana Allah, pak cik galakkan kamu supaya menikahi dia. Usah tanam perasaan itu lama-lama, takut ia hilang tak terjumpa pula." Kata-kata yang meluncur dari mulut Abu Bakar mengundang jantung Firaz berdegup laju.

"Insya-Allah, pak cik. Bila saya dah betul-betul bersedia, stabil dan tiada halangan, saya akan pinang anak pak cik untuk dijadikan isteri," balas Firaz. Itupun setelah mengumpulkan kekuatan.

Abu Bakar hanya mengukirkan senyuman kepada Firaz. Dia tahu anak muda itu benar-benar memaksudkan ujarannya sebentar tadi.

Sementara Aiyla yang curi-curi dengar perbualan mereka sudah tersenyum simpul. Bagai ada sesuatu menjentik, jantungnya seperti hendak berhenti mengepam darah setelah Firaz menyatakan perasaannya pada si ayah.

"Permudahkanlah segala-galanya ya Allah, jika benar dia jodohku," doa Aiyla.

LASYKAR ILMI: FIRAZ UTHMAN 1 [C]Where stories live. Discover now