LASYKAR ILMI 38

76 15 37
                                    

BADANNYA semakin lemah setelah dilibas dengan rantai besi malam tadi. Hanya kerana menunaikan solat sunat tahajud, dia dipukul sebegitu rupa. Firaz yang menahan sakit itu baring di atas lantai secara bergulung.

Bukan itu sahaja, ditambah lagi dengan kehadiran simptom-simptom demam panas. Ia cukup untuk menarik sedikit demi sedikit tenaga dalam tubuh Firaz.

Khairul yang melihat keadaan remaja itu mulai tertanya-tanya. Maklumlah, selalunya Firaz tidak akan tidur selepas solat subuh melainkan dia cuma baring dan berzikir perlahan sahaja. Rahman juga perasan akan hal itu.

"Khairul, cuba kamu panggil Uthman itu. Pak cik risau pula tengok dia," arah Rahman. Khairul mengangguk setuju.

"Uthman... Tak sihat ke?" seru Khairul. Firaz dengan berhati-hati menukar posisi baring kepada duduk bersama senyuman manis pada bibir pucat dan keringnya.

"Saya baik-baik saja. Cuma ada rasa macam nak demam." Remaja berusia 16 tahun itu menjawab dengan jujur. Rambut yang sudah panjang separas bahu itu menutupi bahagian matanya diraup ke belakang.

"Kamu boleh bertahan tak?" soal Rahman. Firaz mengangguk kecil. Dia tidak mahu orang lain terlalu merisaukannya.

"Rehatlah, Uthman. Kami turut risau kalau kamu tak sihat." Khairul menyatakan kerisauannya.

"Terima kasih pak cik, abang Khairul." Firaz menunduk sedikit lalu kembali membaringkan tubuh semula.

Mata dipejam rapat sambil berkerut dahi menahan rasa sakit kepala yang tiba-tiba menyerang.

Ketika itu, pintu palang besinya dibuka. Dua orang lelaki masuk ke dalamnya lalu menarik tubuh itu keluar. Firaz tidak berdaya untuk meronta melepaskan diri, jadi dia hanya merelakan dirinya dibawa ke tempat yang dituju mereka itu.

Setelah menuruni anak tangga, iris kekelabuan itu terpaku pada susuk tubuh Charles yang berdiri di hadapan pintu pejabat pentadbiran penjara. Lelaki berusia 40-an itu menayang senyuman sinis ke arahnya.

"Bawa dia masuk. Aku nak melepas rindu pada dia." Arahan Charles disambut baik oleh kedua lelaki itu. Mereka membawa masuk Firaz ke dalam bilik pejabat tersebut lalu menapak pergi.

Charles menutup pintu seraya menguncinya.

"Sejak akhir-akhir ini aku tak dapat nak jumpa kau... Yalah, aku sibuk dengan latihan kenaikan pangkat. Itu yang rindu nak tengok muka tawanan kesayangan aku ini." Tangan kanan naik menyentuh pipi Firaz.

Hangat.

"Demam ya? Kesian... Nak aku bawakan ubat?" Dia merenung lama ke arah remaja berkulit sawo matang itu. Firaz menggelengkan kepala.

"Kenapa? Takut aku letak racun dalam ubat itu? Jangan risau. Aku takkan bunuh kau pun. Aku kan dah janji nak bawa kau pergi negara aku, jadi tak logik lah aku nak bunuh kau," kata Charles.

"Saya tak nak pergi ke negara tuan. Saya nak kekal di negara ini sampai Allah cabut nyawa saya." Firaz menutur kata setelah sekian lama menyepi.

"Keras kepala juga kau ini... Dah banyak kali aku pujuk, tapi kau tetap dengan keputusan kau itu. Huh, kau sengaja naikkan darah aku!" Charles menolak Firaz sehingga dia jatuh secara mengiring ke atas lantai. Kaki kiri laju memijak kepala Firaz tanpa belas kasihan.

Firaz tidak melawan sebaliknya tersenyum nipis.

"Kau suka cabar aku ya? Kau suka kena pukul dengan aku ke? Dah tak sabar nak mati ke?" ujar Charles.

"Saya tak sabar nak jumpa ayah dan ibu saya dekat sana, tuan." Itu saja yang dibalas oleh Firaz. Lantas Charles menurunkan kakinya daripada memijak kepala remaja itu.

LASYKAR ILMI: FIRAZ UTHMAN 1 [C]Where stories live. Discover now