LASYKAR ILMI 18

89 14 52
                                    

FAQIH baring di atas katil sambil kepalanya diletakkan di atas paha Bilal yang sedang mengulang hafalannya sejak selesai menunaikan solat isyak tadi. Tersenyum-senyum anak itu ketika mendengar bait-bait bacaan daripada pemilik suara merdu itu.

Saat kalimah sadaqallahul'azim dituturkan oleh Bilal sebagai penutup bacaannya, Faqih memuncungkan bibir sejenak.

Dia masih tidak puas mendengar bacaan walidnya.

"Walid... Bacalah lagi. Mus nak dengar." Kepala didongakkan sedikit untuk memandang wajah Bilal.

"Sebelum tidur nanti walid sambung ya? Sekarang ini, walid nak jahit jala." Bilal menutup mushaf al-Quran lalu merapatkan ia ke dada. Tangan kanan pula turun menyentuh ubun-ubun kepala Faqih dan mengusap rambut halus dan lebat milik si kecil itu.

"Nak teman walid jahit jala tak?" soal Bilal. Pantas anak itu menukar ke posisi duduk dan mengangguk laju dengan terujanya.

"Seronok betul nampaknya budak comel ini. Jom!" Bilal bangkit dari duduk dan berjalan ke arah rak buku yang besar di sudut bilik. Mushaf al-Quran itu diletakkan di dalam bahagian rak yang paling tinggi.

Kemudian, dia berjalan keluar dari bilik sambil Faqih membuntuti langkahnya dari belakang. Mereka menuju ke ruangan belakang dapur yang sememangnya dijadikan tempat Bilal menyimpan segala peralatan menangkap ikan.

"Kenapa walid jadi nelayan?" Soalan daripada si anak itu membuahkan senyuman pada bibir Bilal. Dia maklum sangat dengan kanak-kanak yang sifat ingin tahunya terlalu tinggi.

"Dulu, walid teringin nak jadi cikgu... Tapi, walid tak layak Mus. Walid tak dapat nak belajar tinggi sebab arwah atuk dengan nenek bukan orang senang. Mereka tak mampu nak tanggung yuran pengajian walid dengan Mak Cik Zahidah. Kebetulan, arwah atuk pun nelayan juga. Jadi, bila walid dah besar sikit, arwah atuk bawa walid turun laut. Lama-kelamaan, walid jadi minat nak teruskan kerja ini..." Dia mula menjahit bahagian yang terkoyak pada jala. Faqih pula setia mendengar sambil menyandarkan kepala pada lengan kiri walidnya.

"Kalau boleh walid nak Mus belajar rajin-rajin. Jadi yang lebih baik daripada walid. Jadi nelayan ini penat Mus. Risiko pun tinggi," jelas Bilal.

"Baik, walid. Walid doakan Mus tau!" ujar Faqih. Bilal tersenyum hangat.

"Semestinya walid selalu doakan Mus. Mus kan anak walid..." jawab Bilal.

Entah mengapa, hatinya sedikit sebak saat berbicara dengan Faqih malam itu - tidak seperti selalunya.

"Walid, kenapa nama walid t-"

Bum!

Bilal terus bangkit dari tempat duduknya. Faqih yang agak terkejut dengan bunyi dentuman tersebut didukung.

"Bunyi apa itu walid? Orang jahat ke?" soal Faqih, polos.

"Rasanya... Kita kena keluar Mus. Walid tak sedap hati," kata Bilal.

Dia segera berlari ke ruang tamu dan menuju ke pintu rumah untuk meloloskan diri daripada rumah tersebut.

Bum!

Satu lagi peluru berpandu dilepaskan oleh pihak Jentayu Emas mengenai bumbung rumah Bilal dan ia menyebabkan bumbung tersebut runtuh. Nasib mereka baik kerana runtuhan tersebut tidak menimpa mereka.

"Walid!" Faqih menyembunyikan wajahnya pada bahu Bilal kerana terlalu takut. Baju walidnya digenggam erat.

"Allahuakbar. Hasbunallah wanikmal wakiil..." sebut Bilal sambil berjalan pantas.

Ketika dia ingin melangkah keluar dari rumah, sebuah peluru berpandu mendarat betul-betul di bahagian bumbung ruang tamu. Ia meledak dan menghasilkan runtuhan besar terhadap rumahnya.

LASYKAR ILMI: FIRAZ UTHMAN 1 [C]Where stories live. Discover now