LASYKAR ILMI 47

61 15 21
                                    

"LAJU lagi, kadet! Kamu ingat ini aktiviti jalan kaki ke?" tegur jurulatih itu dengan tegas kepada Firaz.

Peparu Firaz bagaikan hendak meletup. Dia sudah berlari pecut, namun jurulatih yang bernama Sarjan Rafiq itu tetap menganggapnya berjalan kaki.

"Firaz! Berhenti!" Arahan tersebut disambut baik oleh Firaz. Dia berdiri tegak sambil menghadap ke arah Sarjan Rafiq.

"Saya nak kamu tekan tubi 10 kali. Lambat sangat!" Firaz dengan akur melakukan apa yang disuruh jurulatih itu. Sarjan Rafiq menerpa ke arahnya.

"Turun lagi... jangan jadi lemah, Firaz. Kamu itu kadet terbaik dekat sekolah, jangan malukan diri sendiri." Dia sengaja membakar semangat anak muda itu.

Firaz yang terasa dicabar dengan ayat lelaki itu lantas melakukan tekan tubi dengan bersungguh-sungguh.

Dia akui bahawa dirinya memang sukar untuk melakukan latihan tekan tubi kerana bahagian pinggangnya sakit. Semuanya berlaku setelah dia diseksa di penjara suatu ketika dahulu.

Melihat kepada kesukaran Firaz, Sarjan Rafiq menghela nafas panjang. Terbit rasa kasihan pada anak itu kerana berusaha menahan sakit.

"Bangun, kadet." Mendatar saja suara lelaki itu. Firaz berdiri dan menunduk sedikit daripada menatap wajah jurulatih itu.

Dia tidak takut, cuma berasa malu kerana tidak boleh melakukan apa yang diarahkan dengan baik.

"Pandang muka saya... usah menunduk!" ujar Sarjan Rafiq. Firaz lantas mengangkat wajah. Iris kelabunya bertaut dengan iris hitam pekat lelaki itu.

"Kamu ada apa-apa masalah kesihatan?" soal Sarjan Rafiq.

"Tak ada, tuan!" Firaz menjawab lantang.

"Jangan berbohong. Nanti kamu yang susah." Sarjan Rafiq mengerutkan kening seketika.

"Saya tak ada masalah kesihatan, tuan. Cuma saya tak mampu nak tekan tubi. Pinggang saya sakit sebab asyik dipijak masa di penjara enam tahun lalu." Akhirnya dia berlaku jujur.

"Sebelum ini? Takkan tak pernah tekan tubi? Dekat sekolah?" Bertalu-talu persoalan diajukan kepada anak muda itu.

"Saya paksa diri, tuan," kata Firaz. Sarjan Rafiq menggeleng kecil.

"Kalau tak mampu, jangan paksa. Kamu seksa tubuh kamu sendiri. Ya, saya tahu kamu nak jadi askar yang terbaik, tapi tak perlu berlaku zalim ke atas diri sendiri. Kami pihak tentera tak paksa pelatih untuk jadi sihat dan sempurna. Dulu sebelum perang, ya. Kami sangat menitikberatkan soal kesempurnaan dalam aspek kesihatan. Tapi selepas perang... kami tahu. Ramai anak muda yang ingin sertai tentera untuk turut sama berjuang. Dan sebahagian besar daripada mereka mengalami kecederaan pada bahagian-bahagian tubuh tertentu, terutama sekali bahagian pinggang dan bahu. Sebab itu kami longgarkan syarat kelayakan. Jelas?" Panjang lebar Sarjan Rafiq memberikan pencerahan kepada Firaz.

"Jelas, tuan!" sahutnya.

"Ada apa-apa masalah, terus maklumkan. Tak payah simpan sakit atau kamu sendiri yang memang nak cari penyakit." Ayat terakhir itu ditekankan oleh Sarjan Rafiq.

"Baik, tuan!" Firaz menjawab.

"Kamu boleh masuk baris." Sarjan Rafiq tidak menunggu Firaz menabik hormat ke arahnya, malah terus berjalan meninggalkan Firaz di belakang.

— — —

BANTAL ditepuk perlahan sebelum dia mendaratkan kepala ke atasnya. Mata difokuskan memandang siling putih. Telinga hanya ditemankan dengan suara rakan-rakan sebiliknya berbual sesama mereka.

Hanya dia yang bersendirian di atas katil hujung itu.

Tiada sahabat.
Tiada peneman.
Hanya dia sendiri, berbekalkan semangat dan keyakinan yang teguh kepada aturan Allah.

"Ya Allah... letihnya hari ini." Keluhan perlahan dilepaskan dari mulut.

Kata-kata Sarjan Rafiq mula bermain-main di benak fikiran. Ada benarnya juga apa yang dinyatakan jurulatih itu.

Dia terlalu menyeksa diri untuk menjadi yang terbaik. Dia memaksa kudratnya sejak menjadi kadet bawahan di sekolah angkatan tentera.

"Aku t-"

"Perhatian kepada semua pelatih. Kamu semua diminta untuk berbaris di hadapan bilik masing-masing. Saya ulang. Kamu semua diminta untuk berbaris di hadapan bilik masing-masing. Sekarang."

Bisikan hatinya terhenti saat makluman tersebut muncul pada corong pembesar suara di atas sudut bilik mereka. Terus para pelatih yang sedang berbual-bual tadi bangun dan memakai kasut lalu berbaris di luar bilik seperti yang diarahkan. Firaz turut berbuat demikian.

"Ada apa ini?" Dia hanya memasang telinga mendengar apa yang dibualkan oleh dua rakan sebelahnya.

"Denda kut," jawab lelaki yang satu lagi.

Ketika itu, datang seorang pegawai berbadan tegap dan tinggi, berkumis nipis dan berwajah garang berdiri di hadapan mereka. Pegawai itulah yang menegur Firaz semasa dia memasuki pagar pusat latihan itu.

Namanya, Hanzalah. Leftenan Kolonel Hanzalah.

"Assalamualaikum, kadet." Ucapan salam menjadi pembuka bicara. Kesemua pelatih menjawab salam itu dengan serentak dan serius.

"Malam ini, pada jam tiga pagi, kamu akan melaksanakan qiamullail sehingga waktu subuh. Pastikan tiada seorang pun yang tidak berada di masjid sebelum jam tiga. Jika ada di antara kamu yang lewat atau tidak terjaga dari tidur, hukuman berat akan diberikan. Jelas?" terang Leftenan Kolonel Hanzalah. Setiap perkataan disebut satu per satu dengan ton suara yang lantang.

"Jelas, tuan!" jawab para pelatih.

"Kemudian, esok akan diadakan ujian lasak. Ujian akan dimulakan pada jam tujuh pagi dan berakhir pada jam sebelas suku. Jadi, sebagai peringatan buat semua pelatih... lakukan sehabis baik dan elakkan diri daripada kesilapan atau perkara yang menggugat tahap kecekapan dan kemahiran anda. Faham?" Leftenan Kolonel Hanzalah memerhatikan muka setiap seorang pelatih. Dan pandangannya terhenti pada Firaz.

Dahinya berkerut seketika sebelum dia mengalihkan pandangan ke hadapan semula. Firaz yang diperhati lama sebegitu berasa curiga dan tidak senang hati.

"Bersurai." Ujaran itu diterima oleh komandan perbarisan lalu dia arahkan untuk keluar baris.

Setelah pelatih keluar baris, masing-masing membawa diri ke dalam bilik dan mula memaksa mata untuk terlelap. Lampu dipadamkan oleh ketua bilik setelah dia mengunci pintu dari dalam.

Firaz yang sudah menutup mata itu tetap tidak mampu terlena. Dia masih tertanya-tanya mengapa pegawai itu menatap wajahnya seperti itu.

"Banyak betul perkara yang mengganggu fikiran aku. Astaghfirullahal'azim... Ya Allah, kurniakan kepadaku ketenangan dan permudahkan segala urusanku di sini." Seperti kebiasaannya, dia akan menitipkan doa di dalam hati untuk meminta bantuan daripada Allah semata-mata.

LASYKAR ILMI: FIRAZ UTHMAN 1 [C]Where stories live. Discover now