LASYKAR ILMI 52

76 14 16
                                    

TANGGA masjid dijadikan tempat duduk sementara dia mengemaskan tali kasut. Sontak, bahunya ditepuk dari belakang. Gerangan yang melakukan hal itu turut menuturkan salam. Firaz menjawab salam yang diucapkan bersama senyuman di bibir.

"Tuan." Firaz terus berdiri tegak saat dia sedar bahawa orang yang menegurnya itu ialah Leftenan Kolonel Hanzalah. Namun pegawai itu dengan rendah diri menyuruhnya duduk semula.

"Apa khabar, Firaz?" soal Hanzalah sambil melabuhkan duduk di sebelah Firaz.

"Alhamdulillah. Sihat. Tuan pula?" Firaz turut bertanyakan soalan yang sama. Hanzalah sekadar melafazkan tahmid.

"Kamu nampak lebih matang sekarang. Lagi-lagi lepas pakai beret merah gelap," ujar Hanzalah. Firaz tertawa kecil di sebalik topeng muka.

"Tuan datang sini atas urusan apa?" tanya Firaz.

"Ada hal sikit... tapi antara sebab utama saya datang sini untuk jumpa kamu. Sarjan Rafiq pernah beritahu saya yang kamu asyik tanya dia kenapa saya selalu perhatikan kamu. Tak sangka, sampai sekarang kamu masih tertanya-tanya lagi ya? Lain macam sifat ingin tahu kamu ini..." jelas Hanzalah.

"Maaf, tuan. Saya terlalu curiga dengan cara tuan perhatikan saya," terang Firaz.

"Saya faham. Sebenarnya, arwah Kolonel Rahman yang minta saya tengok-tengokkan kamu. Dia selalu tanya dengan saya perkembangan kamu sepanjang latihan. Firaz, kamu bukan pegawai biasa. Kebanyakan pegawai atasan tahu siapa kamu walaupun kamu sembunyikan identiti kamu." Firaz terpempan seketika.

"Sampai... begitu sekali?" Kening tebal Firaz bertaut rapat. Hanzalah menjatuhkan kepala – angguk.

"Jangan banyak berfikir hal itu, Firaz. Kami cuma nakkan yang terbaik untuk kamu. Ingat, kamu dah ikut jejak langkah arwah ayah kamu. Jadi, teruskan perjuangan dia. Usah berhenti dan mengalah. Kamu pun nampak sikap teguhnya ayah kamu sampai akhir nafas dia, betul? Saya yakin dengan kemampuan kamu Firaz." Hanzalah mengoyakkan senyuman manis pada bibirnya.

Sekali lagi Firaz terdiam sejenak. Leftenan Kolonel Hanzalah... senyum?

"Terima kasih, tuan." Firaz menundukkan kepala sedikit sebagai tanda hormat.

"Sama-sama, Firaz. Sebentar, kamu tak tinggal di kuarters kem, kan?" Soalan itu mengundang anggukan kecil daripada Firaz.

"Ini satu kesalahan besar! Macam mana kamu yang masih bujang ini boleh dapat keizinan untuk tinggal di luar kem? Jawab dengan jujur!" Aura ketegasan Hanzalah mula menguasai ruang udara sekeliling mereka. Firaz meneguk liur kelat.

"S-Saya... dapat keizinan daripada Tuan Irfan, tuan! Itupun lepas merayu banyak kali." Ayat kedua itu dituturkan dengan nada perlahan, tetapi masih dapat didengari oleh Hanzalah.

Hanzalah memicit pelipis sambil melepaskan keluhan berat.

"Kamu ini tak ubah macam arwah ayah kamu. Keras kepala dan suka langgar arahan," ujar Hanzalah bersama gelengan kecil.

"Ayah saya pun suka langgar arahan? Biar betul, tuan?" Mod ingin tahunya diaktifkan kembali.

"Dululah... masa dia baru-baru jadi komando, macam kamu. Tapi disebabkan sikap dialah, almarhum sultan pilih dia sebagai panglima angkatan tentera yang paling muda dalam sejarah." Hanzalah mula membuka cerita. Dalam masa yang sama, hatinya terasa rindu akan sang sahabat yang telah lama pergi itu.

"Tak sangka..." Firaz mengukir senyuman nipis.

"Dahlah, saya perlu pulang ke pusat latihan semula. Insya-Allah, ada masa lapang, kita bersua lagi. Assalamualaikum," ucap Hanzalah.

"Baik, tuan. Waalaikumussalam," balas Firaz seraya bangkit dari duduknya. Dia menghantar pemergian Hanzalah melalui pandangan mata.

— — —

PANDANGAN matamu membuat hati dinginku mencair seolah-olah disimbahi cahaya mentari di padang pasir.

Tanpa sedar, senyuman terlukis di bibirku saat engkau menunjukkan sisi kebaikanmu terhadap insan lain.

Engkau... perjaka yang berbeza daripada yang lainnya.

— Sinar Purnama

Kertas itu dilipat kemas oleh Aiyla lalu dimasukkan ke dalam sampul surat. Dia bangkit dari kerusi lalu membawa diri keluar dari bilik.

Pintu bilik yang tertutup rapat itu diketuk perlahan agar tidak menghasilkan bunyi yang kuat. Tidak sampai beberapa minit, daun pintu diselak dari dalam lalu muncul wajah kuyu Hussam yang mungkin baru terjaga dari tidur.

Aiyla tertawa kecil melihat muka adiknya itu.

"Hussam, boleh tolong kakak tak? Yang mudah-mudah saja..." pinta Aiyla. Hussam menggosok mata yang redup itu sebelum menatap wajah bersungguh-sungguh kakaknya itu.

"Tolong apa?" soal Hussam. Aiyla pantas menghulurkan sampul surat itu kepada Hussam.

"Tolong bagi surat ini kepada abang bertopeng yang Hussam jumpa hari itu. Boleh?" Hidung Hussam dicuit lembut.

"Oh... boleh sangat. Nanti Hussam cakap dekat dia kakak yang bagi." Terus Aiyla menggeleng laju.

"Jangan beritahu dia pasal kakak. Cakap saja ada orang yang bagi. Jelas?" Aiyla menyoal adiknya yang satu itu.

"Jelas. Tapi sebelum itu... kakak sukakan abang bertopeng itu ya?" Senyuman penuh makna ditayangkan oleh Hussam.

"Bukanlah! Jangan sibuk urusan orang dewasa," tegas Aiyla. Hussam tertawa kecil.

LASYKAR ILMI: FIRAZ UTHMAN 1 [C]Where stories live. Discover now