LASYKAR ILMI 25

86 16 91
                                    

[AMARAN!]
Pembunuhan tragis.

SINARAN matahari menembusi celahan lubang angin kecil pada dinding penjara. Bunyi kicauan burung juga kedengaran sayup-sayup menghiasi indera pendengaran Fakhrul. Saat itu, anaknya masih diselimuti lena.

Fakhrul melihat keadaan sekeliling. Kelihatan Adnan dan Jameela sedang melayani kedua anaknya. Begitu juga dengan Rahman.

Ada juga beberapa orang pegawai tentera lain yang masih tidur. Mereka pasti kelelahan kerana tidak habis-habis dipukul dan diseksa sejak hari pertama dikurung di dalam Penjara Besar Ilmi itu.

"Apalah khabar Maryam sekarang? Apakah dia baik-baik saja di rumah?" Fakhrul bermonolog sendirian.

"Ayah? Hmm..." Firaz yang sudah terjaga dari tidur menggosok matanya yang redup itu perlahan-lahan. Fakhrul tersenyum nipis.

"Bila kita nak keluar daripada sini? Uthman rindukan ibu. Uthman tak sukalah duduk sini... Asyik kena pukul saja," adu Firaz. Wajahnya comot dek dicorakkan dengan debu-debu pada lantai penjara. Fakhrul menggeleng tidak tahu.

"Satu hari nanti, Uthman. Ayah pun tak tahu." Rambut lebat milik anaknya yang sedikit berserabut itu disikat menggunakan tangan.

"Sesi curhat ke itu?" sapa Charles. Fakhrul langsung tidak mengendahkan kehadiran Charles di situ. Dia sibuk meladeni Firaz.

Charles membuka pintu palang besi itu lalu masuk ke dalamnya. Dia mencangkung di hadapan Fakhrul. Dia menghembuskan asap rokok ke muka Fakhrul - sengaja ingin mencari masalah.

"Kau nak tahu tak? Aku ada dapat berita yang... Malik buat sesuatu dekat isteri kau." Dengar saja soal Maryam terhambur dari mulut Charles, Fakhrul lantas mengangkat muka.

"Apa yang syaitan itu lakukan pada isteri aku?" Fakhrul memandang tajam ke arah Charles.

"Aku harap kau sabarlah. Jangan marah aku pula. Sebab bukan aku yang buat isteri kau, tapi Malik," kata Charles. Seketika dia menatap Firaz yang memeluk lengan Fakhrul dengan erat.

"Kenapa? Takut?" Tangan kanan naik ingin menyentuh hidung mancung Firaz, namun ditepis kasar oleh Fakhrul.

"Jangan sentuh anak aku." Mendatar saja suara Fakhrul memberi amaran. Charles tersenyum mengejek.

"Sebenarnya... Malik dah bunuh isteri kau dan perempuan yang dia jadikan hamba dulu itu," beritahu Charles, selamba.

Tanpa sebarang toleransi, Fakhrul menarik kolar baju Charles. Dia bangun dari tempat duduk lalu menolak tubuh Charles sekuat hati. Pergerakan Charles dikunci kemas.

"Kau jangan main-main dengan aku, Charles! Tak usah bercerita dongeng di sini!" Nafas Fakhrul tidak teratur. Amarahnya kini seperti gunung berapi aktif yang akan meletus bila-bila masa sahaja.

"Buat apa aku perlu membuat cerita, Fakhrul? Memang sudah terang lagi bersuluh, isteri kau dah mati ditangan Malik. Aku pun baru saja dapat tahu," jelas Charles. Kononnya bersimpati atas pemergian Maryam.

Fakhrul yang kehilangan sifat sabarnya itu terus melayangkan penumbuk sulung tepat mengenai pipi Charles. Kesakitan yang terdapat pada sekitar tubuhnya tidak terasa lagi kerana terlalu berang.

"Aku dah bagi amaran supaya jangan libatkan ahli keluarga aku dalam hal ini! Tapi kau tak faham bahasa! Ini urusan antara dua negara, bukan urusan antara aku dan negara kau, tak guna!" Leher Charles dicekik kuat.

Para anggota tentera Gapura Ilmi yang berada di situ menzahirkan rasa kagum terhadap apa yang berlaku di depan mata mereka. Ternyata kudrat Fakhrul yang cedera parah itu boleh hilang sekelip mata setelah mendapat tahu berita tersebut.

LASYKAR ILMI: FIRAZ UTHMAN 1 [C]Where stories live. Discover now