LASYKAR ILMI 51

70 17 30
                                    

HAMPIR setiap hari Firaz singgah ke pekan untuk membeli makanan atau barangan keperluan harian. Hendak masak, tetapi dia tidak mempunyai masa yang cukup. Waktu rehat yang diberikan hanya satu jam setengah.

Pegawai komando juga tidak dibenarkan untuk menaiki kenderaan untuk ke kem. Dan sekiranya dia tidak tiba di kem setelah tamat waktu rehat, dia akan diberi hukuman berat.

Cuma satu saja yang dia tidak gemar ketika berada di pekan — suasana sesak dan padat dengan manusia. Namun, dia bernasib baik kerana mengetahui jalan pintas untuk memudahkan perjalanan.

"Abang yang pakai topeng!" Panggilan itu membuatkan langkah Firaz yang hendak berjalan keluar dari pekan terhenti. Dia memusingkan tubuh menghadap ke si pemanggil.

Spontan senyuman manis terbentuk di bibir meski ia tidak dapat dilihat dari luar. Dua orang kanak-kanak lelaki itu berlari ke arahnya.

"Assalamualaikum, abang." Ucapan itu dibalas oleh Firaz dengan perlahan. Hussam dan Yazin mendongak tinggi untuk menatap wajah Firaz.

Disebabkan kasihan melihat mereka mendongak, Firaz merendahkan tubuh agar separas dengan ketinggian dua budak kecil itu.

"Kenapa kamu bermain di sini lagi? Kalau kakak kamu marah macam mana? Nanti saya dituduh sebagai orang jahat pula," tutur Firaz, lemah-lembut.

"Tak apa... kakak kami bukannya marah pun. Ayah dengan ibu pun dah beri keizinan. Satu lagi, buat apa nak anggap abang ini orang jahat? Abang kan askar. Askar mestilah baik!" Teruja Hussam menjelaskan kepada Firaz.

"Betul itu. Kami datang sini untuk jumpa dengan abang. Bukannya nak main pun," sambung Yazin yang berkaca mata bulat itu. Firaz tertawa kecil dan mengangguk tanda faham.

"Ada apa kamu nak jumpa saya ini?" soalnya.

"Tak ada apa-apa yang penting... tapi kami suka tengok abang." Firaz berkerut sedikit saat Hussam berkata seperti itu.

"Dari sudut mana kamu berdua suka tengok saya? Maaf sebab banyak bertanya, tapi saya musykil." Firaz bertanya lagi.

"Tak adalah... abang tak sama macam askar lain. Abang pakai kain yang tutup muka. Abang juga boleh berbual dengan kami macam orang biasa. Kalau askar lain, mesti mereka mengelak daripada bergaul dengan orang sebab tak nak buat masalah dengan rakyat. Kenapa abang tak macam itu?" Hussam pula yang mengajukan soalan.

"Abang langsung tak marah pasal hari itu. Padahal bola itu terkena kepala abang. Kuat pula itu," ujar Yazin.

Firaz terdiam seketika untuk mendapatkan jawapan yang sesuai. Dia tunduk menekur lantai sebelum memfokuskan pandangan ke arah kedua anak itu.

"Yang pertama, saya pakai kain penutup muka ini atas arahan Majlis Angkatan Tentera untuk tujuan keselamatan. Keduanya, pasal pergaulan dengan masyarakat. Baiklah, sejujurnya... saya sukakan kanak-kanak. Sebab saya rindu zaman kanak-kanak saya. Masa saya lebih kurang sama umur dengan kamu, saya tak dapat keluar rumah macam sekarang ini. Kalau nak diceritakan... ia terlalu panjang dan menyedihkan." Firaz berhenti setakat itu. Dia menarik nafas dalam-dalam untuk menyambung jawapan untuk pertanyaan yang diberikan.

"Ketiga, pasal bola itu. Jangan risaulah. Saya tak rasa sakit pun. Andai kata saya sakit sekalipun, saya takkan marah kamu berdua. Yalah, perbuatan itu bukannya sengaja kamu lakukan, kan? Dan saya sukakan kanak-kanak. Itu saja." Dengan penuh ketenangan, Firaz berjaya menjawab soalan-soalan tersebut.

Hussam dan Yazin terlopong mulut seketika.

"Abang hidup zaman perang ke?" Yazin berdiri betul-betul dekat dengan Firaz.

"Ya, Yazin. Saya hidup di zaman peperangan. Kehidupan saya waktu itu berubah seratus lapan puluh darjah," jelas Firaz. Ubun-ubun kepala Yazin diusap lembut.

"Sama macam kakak kami. Dia pun membesar ketika perang." Hussam turut berdiri dekat dengan Firaz.

"Ayah kami bukan tentera, tapi dia sama-sama berperang dengan musuh sebab nak lindungi kampung masa itu. Sejak itu, ayah dah tak boleh jalan. Dua-dua belah kaki ayah putus sebab kena bom. Ibu pula masa itu tengah mengandungkan Yazin. Kakak baru dua belas tahun, saya pula dua tahun. Kakak kata... zaman itu susah sangat. Mereka cuma bergantung pada Allah." Hussam bercerita dengan penuh semangat.

"Betul. Zaman itu susah dan semua orang bergantung pada Allah semata-mata. Saya sendiri pun hilang segala-galanya masa itu. Ayah, ibu... pergi depan mata saya sendiri. Sedih sangat-sangat, tapi tak mampu nak buat apa-apa." Firaz menahan sebak di dada.

"Alhamdulillah abang, kita dah bebas daripada kejahatan musuh," kata Yazin.

"Alhamdulillah..." ucap Firaz.

Dia menatap wajah kedua anak itu dengan pandangan tulus. Entah mengapa, mindanya terbayangkan wajah dia dan adiknya pada kedua beradik itu.

"Assalamualaikum." Ucapan salam itu menghentikan lamunan Firaz. Dia menjawab salam dan berpaling melihat pemilik suara yang memberi salam itu.

Tetapi saat wajah gadis berpurdah itu menerpa indera penglihatan, Firaz menundukkan kepala. Dia seboleh-boleh mengelak daripada melihat wanita yang bukan mahramnya sebagaimana yang telah dijelaskan dalam kalam Allah dan hadis Rasulullah SAW serta nasihat daripada arwah ibu dan ayahnya.

"Maaf mengganggu. Tapi saya nak jemput adik-adik saya pulang." Gadis itu menutur dengan perlahan. Tetapi nada tegas tetap diselitkan.

"Tapi kakak... kami tak habis berbual dengan abang bertopeng ini lagi." Gelaran yang diberikan oleh Yazin itu mengundang gelakan kecil di hati Firaz.

"Tak baik gelarkan orang macam itu," pesan si kakak.

"Kami tak tahu nama abang ini sebenarnya..." kata Hussam pula. Kakaknya cuma menggeleng kecil.

"Dah, jom balik rumah. Salam abang itu dulu," arah gadis itu. Hussam dan Yazin laju saja menggeleng tidak mahu.

"Hussam, Yazin... ayah dengan ibu tunggu dekat rumah itu. Ayah risaukan kamu berdua. Cuba sedar diri sikit yang kamu berdua itu masih kecil." Gadis itu menasihati dua adiknya dengan penuh berhemah.

"Jangan melawan cakap kakak kamu. Baliklah... saya pun perlu ke kem sekejap lagi." Kali ini Firaz bersuara.

"Baik..." balas kedua kanak-kanak itu serentak. Keduanya menyalami tangan Firaz tanpa bantahan.

"Assalamualaikum," ucap mereka bertiga setelah itu. Firaz menjawab salam dengan sopan dan membiarkan ketiga mereka berlalu pergi.

Dia pula dengan laju berlari melalui lorong pintas itu untuk ke kem kerana risau diri itu bakal terlambat sampai ke sana.

Dia cuma tidak mahu didenda!

LASYKAR ILMI: FIRAZ UTHMAN 1 [C]Where stories live. Discover now