Saat Lutfan sedang leka bersama pemandu menyiapkan kereta di bahagian depan, Ara meninggalkan rumah menggunakan pintu belakang. Dia menukar bagasi beroda dengan beg sandang kerana mudah untuk bergerak sendiri.
Rancangan asal dia ingin tinggal di kampung tetapi Lutfan pasti dapat mencarinya di situ dan memaksa Ara untuk menandatangani surat penceraian kelak. Ara merasakan dia perlu lari jauh daripada Lutfan sehingga dia bersalin.
Takut. Itu perasaan yang bersarang di dada Ara. Dia perlu mengharungi kehamilan ini sendirian tapi keadaan memaksanya untuk menerima dengan tabah.
Ara menaiki kereta yang ditempah sebelum keluar daripada rumah. Dia menaip kawasan yang agak jauh daripada rumah mereka tanpa memberitahu sesiapa kecuali Kila. Dia meminta supaya Kila merahsiakan kedudukkannya daripada Lutfan.
Setelah hampir tiga jam perjalanan, Ara sampai di tempat yang dituju.
"Maaf la kak, saya dapat berhenti dekat sini je," pinta Abu, si pemandu kereta. Alamat yang ditulis masih jauh ke dalam lagi. "Belah dalam tu jalan kampung. Kereta macam saya ni tak boleh lalu."
Ara menggalas beg. "Tak pe. Saya faham. Sini pun dah kira bersyukur."
Ikut rancangan awal, Ara ingin turun di bandar tetapi Abu tidak sampai hati untuk membiarkan Ara berjalan jauh. Ara selesai turun dari kereta sebelum Abu memanggilnya.
"Hati-hati tau kak jalan dekat sini. Budak-budak kampung ni nakal sikit. Beg tu pegang kuat-kuat."
Ara terus mengenggam beg silang yang mengandungi kad pengenalan dan juga dompetnya tapi Ara masih ingin bersangka baik. Tak mungkin budak-budak tu sanggup mengasari wanita mengandung seperti Ara.
Telefon bimbit di bawa keluar sebelum tangan Ara menutup semula begnya. Dia menggunakan google map untuk mencari jalan ke bilik yang dicadangkan oleh Kila.
Jalur internet di kawasan itu tidak berapa bagus. Contohnya, suara menyuruh belok ke kanan tetapi di situ ada longkang. Bila sudah di jalan yang betul, line internet pulak terputus-putus. Ara mengubah kedudukan telefon berulang kali bagi mendapatkan rangkaian yang bagus. Tetapi hasilnya tetap sama sehingga tidak perasaan telefonnya diragut kasar menyebabkan Ara tersadung lalu terduduk di atas jalan.
"Telefon aku! Tolong!" teriak Ara tetapi hanya ada dia di sana. Jalan raya sunyi tanpa sebijik kereta pun yang lalu.
Dua orang menunggang motorsikal cepat-cepat melarikan diri tanpa menoleh ke belakang. Nasib telefon saja yang diambil, dokumen penting masih selamat di dalam beg.
"Tapi macam mana aku nak cari jalan? Aku nak call owner rumah pakai apa? Takkan pakai kad pengenalan pulak." Ara membebel sendirian sambil mengibas seluar yang terkena pasir.
Dia mengangkat kepala dan baru tersedar, langit mulai mendung. Petir mula berdentum kuat. Ara perlu cepat mencari tempat untuk berteduh. Walaupun dia dalam kesusahan tetapi hatinya tetap bersyukur kerana dia dan kandungan tidak mengalami apa-apa kecederaan.
Tawakal dengan takdir, Ara mula berjalan jauh ke dalam kampung dengan harapan dia dapat mencari pondok atau kedai untuk menumpang buat seketika. Ketika ini, separuh hatinya mengharapkan Lutfan akan datang menjemputnya.
**********************************************
Hampir berbulan Lutfan tidak jejakkan kaki di luar rumah selain hospital untuk melakukan rawatan tetapi hari ini disebabkan Ara, akhirnya Lutfan membuat kemunculan di khalayak ramai dengan berkerusi roda.
"Lut, hang sabar boleh tak?" Zarif sempat menyambut Lutfan yang sudah mengeluarkan sebelah kaki dari kereta. "Kerusi sorong hang dok dalam kereta lagi, hang dah tak sabar terjun pasai apa? Ka nak aku dukong hang?"
ANDA SEDANG MEMBACA
Misi 7 Bulan
Romantik'Tooth for a tooth, brothers for the brother.' Inspektor Zade Lutfan-seorang lelaki yang terperangkap dalam kerjaya impian abangnya sebagai anggota Unit Tindakan Khas. Demi mengejar impian sendiri, Lutfan harus membalas dendam terhadap apa yang berl...
