enam

56 7 36
                                    

TERIMA kasih, pak cik. Kirim salam saya dekat makcik dengan sepupu Imaan sekali.” Aku bersalaman dengan Pak cik Musa apabila kami telah tiba di hadapan rumah sewa dua tingkat milikku.

“Okay, Imaan. Jaga diri baik-baik. Apa-apa beritahu saja pak cik. Belajar rajin-rajin.” Pak cik Musa menepuk bahuku sebelum berlalu masuk ke dalam perut keretanya.

Aku membalas lambaian Pak cik Musa apabila kereta miliknya perlahan-lahan menghilang daripada pandangan mata.

Aku berjaya memasuki rumah sewaku menggunakan kata kunci yang telah diberikan oleh tuan rumah  melalui mesej. Menurutnya, turut ada penyewa lain yang menyewa di rumah ini juga. Bezanya, bilik penyewa lain itu di tingkat bawah dan aku di tingkat atas.

Encik Hamada yang merupakan tuan rumah ini tinggal di Kyoto bersama keluarganya. Encik Hamada juga merupakan pekerja di Universiti of Tokyo di bahagian pengurusan pelajar.

Rumah sewaku adalah sebahagian daripada tajaan mereka dan juga yuran. Jadi, aku hanya menanggung kos makan minum, perubatan dan barangan peribadi yang lain. Tiket pulang saja ditaja mereka manakala tiket pergi ditaja sendiri sajalah.

Aku menarik bagasi milikku. Mata mula memandang ke arah sekeliling rumah yang kelihatan sungguh vintage. Seperti rumah lama yang aku tonton di filem-filem Ghibli.

Aku menanggalkan kasut di hadapan pintu dan menyusunnya di atas rak kasut. Selipar rumah yang disediakan dipakai sebelum aku meninjau kawasan. Di tingkat bawah ini ada ruang tamu kecil yang muat-muat untuk empat orang.

Bahagian kanan pula ada dapur basah yang sederhana besar. Juga ada dapur kering mini. Bahagian kiri pula ada tandas dan sebuah bilik yang berkunci. Mungkin bilik penyewa lain itu. Menurut Encik Hamada, penyewa lain itu perempuan. Legalah sedikit hati aku. Bolehlah buat kawan.

Di hadapan bilik itu ada ruangan dobi kecil yang mempunyai mesin basuh dan mesin pengering. Turut ada ruangan untuk menyidai baju tetapi sliding door tersebut berkunci.

Rumah ini tidaklah besar mana. Tetapi perasaannya sangatlah selesa. Rumah idaman yang menghasilkan rasa nyaman setiap kali pulang.

Tidak hairanlah kerana rumah-rumah di Jepun ini mahal-mahal belaka. Orang-orang muda perlu mengerahkan tulang empat kerat untuk bekerja sepenuh tenaga bagi membeli rumah.

Kadar kelahiran di negara ini juga rendah. Mungkin kerana kos sara hidup yang sangat menyesakkan dada. Padanlah negara Jepun mempunyai ramai warga tua. Warga muda pula lebih selesa hidup bujang kerana untuk mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak itu menelan kos yang sangat besar.

Sekian bebelan Imaan Daiyani.

Aku mengangkat bagasi ke tingkat atas pula. Sedikit menggerunkan kerana tangganya berbunyi. Mungkin kerana rumah ini sudah pun berusia puluhan tahun gamaknya.

Di tingkat atas ini hanya ada laluan dan dua buah bilik. Di tengah-tengah laluan itu ada sebuah bingkai gambar yang tidak berwarna. Gambar sebuah keluarga. Mungkin keluarga Encik Hamada.

Aku membuka pintu bilik berdekatan dengan tangga. Tidak berkunci. Jadi, aku yakin itu merupakan bilikku. Masuk-masuk sahaja, mataku terbuntang luas.

Sangat bersih dan wangi! Tiada langsung habuk. Ada sebuah katil yang cantik siap dipasang cadar. Ada sebuah almari sederhana besar dan juga sebuah meja belajar. Di atas meja belajar tersebut ada lampu kecil.

Di dalam bilik ini turut ada sebuah tandas yang sangat bersih. Mujurlah ada bidet. Dilengkapi juga dengan pemanas air. Bolehlah digunakan ketika musim sejuk nanti.

Aku membaringkan tubuh di atas katil. Berehat seketika setelah mengharungi perjalanan yang sangat panjang.

Selepas sepuluh minit tidur-tidur ayam, aku mengagahkan diri untuk bangkit juga ke tandas untuk membersihkan diri.

- sunrise©Where stories live. Discover now