1 | Nyawa

132 7 5
                                    




2020

2.15am

Staff nurse kubikel 4 terkocoh-kocoh memanggil Dr Xin. Carta ubat dan tanda vital bersaiz separuh depa atas cardiac table ditinggalkan. Dahinya sempat memercikkan peluh sejuk. Mereka perlu bertindak segera!

'Heart rate: 210'

"Degupan jantung awak terlalu laju. Kita dah bagi Digoxin, Amiodarone semua tak jalan.  Kami mintak maaf ye Dhia... Kami dah consult dengan cardiologist, sudah cuba semampunya..." Suara Dr Xin serak basah. Dia tidak mampu menatap mata Dhia. Terlalu perit baginya. Dia pasti Dhia sendiri faham apa yang bakal berlaku, dan apa yang bakal terjadi.

"It's okay Dr. You already tried your best. Alhamdulillah at least I'm not in so much pain...". Lirik anak mata Dhia lemah, namun kekuatan otot dibahagian muka masih mampu mengukir senyuman ikhlas. Itulah yang Dr Xin terasa tidak sanggup untuk hadapi.

Dr Xin tersandar di dinding pejal RICU (Renal Intensive Care Unit) di sebalik kubikel Dhia. Kakinya tidak selemah ini, walaupun tadi dialah MO (Medical Officer) yang paling sibuk sepanjang hari. Masakan tidak, bermulanya sahaja shift pagi, dia sudah menerima kehadiran Dhia yang di refer dari Acute Dialysis Centre.

Bukannya dia tak kenal Dhia, sebab itulah seluruh fokus dan tenaganya digunakan sehabis baik untuk merawat Dhia. Ambil darah, buat pelbagai ujian, update pakar semua dia lakukan sendiri. Dia betah dan tak rasa berat. Tapi saat ini, kakinya terasa begitu lemah. Mahu berdiri pun tidak mampu. Dia hanya mampu berdoa.

'Allah...'

Dhia hanya mampu membisik dalam hati. Sudah lebih 16 jam berlalu. Episod pertarungan nyawa kali ini sungguh menyeksakan.

'Beginikah rasa nazak?'

Dhia menarik nafas sangat perlahan bagai tiada daya. Dengan bantuan high flow mask, oksigen masih mampu sampai ke paru-paru namun paras oksigen yang diterima Dhia masih paras 89-90%. Jantungnya yang tadi hampir pecah semasa sedang dialisis kini bagai mahu berhenti berdegup. Biasan cahaya semakin hilang dari pandangannya. Wajah papa dan mama silih berganti. Imbasan kelam apa yang terjadi pada pagi tadi tenggelam timbul. Jika ini pengakhirannya, Dhia sudah bersedia. Seksaan degupan jantungnya ini tidak mampu lagi ditanggungnya.

Dhia yang tadinya bertarung dengan AF (Atrial Fibrillation) & SVT (Supraventricular Tachycardia) kini bertarung dengan nyawa yang semakin di penghujung. Dadanya berombak laju sehingga basah seluruh tubuh Dhia walaupun dalam suhu yang sejuk menusuk tulang. Dhia sudah tidak mendengar apa-apa, kecuali bunyi beep yang bersahutan di monitor vital sign. Dia tahu, dia sedar...Ini akan berakhir juga. Kesakitan yang ditanggungnya akan berakhir.

'Blood pressure: 55/38'

Dhia merasakan pandangannya saat ini semakin kabur. Lampu yang berkelip di skrin besar RICU sudah semakin samar. Nampaknya tekanan darah masih tidak mahu tinggi, walaupun sudah diberikan double strength inotropes. Itulah penyambung nyawanya sekarang ini. Dengan kudrat yang berbaki tadi, DIL NAR sempat dia cop. Dia tidak mahu CPR atau cardioversion. Dia mahu pergi dengan tenang sahaja.

Tolonglah. Itu sahaja.

Kini pandangan matanya benar-benar gelap. Dia bagai di alam lain. Alam yang menjadi ketakutan semua manusia, namun tidak pernah diambil peduli ketika hidup. Alam yang selalu diperkatakan semasa Tadabbur Al-Quran. Alam yang tidak kembali.

'Moga Allah redha dengan aku... Ampuni hambaMu ini Ya Allah...'

***

Ketika Dhia disahkan menghidapi kegagalan buah pinggang tahap akhir, dia merasakan itulah penamat riwayat hidupnya. Tak pernah disangka penyakit dari buku teks Pathology kelas Prof Kamil kini menimpa dirinya sendiri. Seakan takdir ini ditulis di atas selembar kertas yang dilempar menerobos masuk ke dalam hidupnya tanpa disangka, datang tanpa bertahap. Tahu-tahu sudah di tahap akhir—

Stage 5.

Jiwanya, semangatnya, kudratnya semua bagai dibunuh sekelip mata. Dia buntu.

"Dhia jangan risau, kita semua ada...". Itulah kata-kata yang Dhia selalu dengar.

"Dhia boleh sihat. Nanti kami bantu sebaiknya..." Janji prof.

Senanglah mereka ujarkan ayat sebegitu. Mereka tiada di tempatnya. Mereka tidak merasai jurang dalam antara kata dan realiti. Tidak perlu menjalani rutin selang sehari di hospital.

Menjadi pelajar medik tahun tiga di fakulti ini tidak mudah. Kehidupannya sebagai kadet di sini turut berubah. Dunianya berpusing 180 darjah. Bangunan kelabu Fakulti Perubatan Pertahanan UPNM tidak lagi menceriakan hatinya. Wisma Pegawai Kadet, padang, PT (Physical Training), TTS (Tempur Tanpa Senjata), armskod, M4 bukan lagi dunianya kini. Dhia kini keseorangan di barisan belakang.

Seorang diri. Terpinggir. Gagal. Lemah. Memalukan.

Dhia tahu dia perlu segera beradaptasi jadual baru hidupanya bersama mesin dialisis, kesakitan dicucuk pada fistula yang baru dan kepenatan panjang hampir setiap kali selesai empat jam proses cuci darah—tiga kali seminggu. Letihnya bukan kepalang. Namun paling sedih apabila dirinya ketinggalan kelas selang sehari kerana terpaksa mengutamakan rawatan dialisisnya dari awal pagi sehingga tengahari. Hampir 5 jam waktu kelas harus Dhia usahakan sendirian dengan bantuan nota dari rakan-rakan.

Namun di saat-saat genting sebegini, apabila sakaratul maut mula dirasakan—

persoalan-persoalan dunia bukan lagi prioritinya. Sedikit kesal akibat mensia-siakan peluang ketika masih sihat dan berkelapangan dahulu, namun bukanlah satu penyesalan yang maha besar. Kematian, kepemergian sudah dijangka. Keperitan dialisis akan berakhir. Kegusaran mama dan papa akan bernoktah. Beban akan lenyap. Nanti yang tinggal, hanyalah namanya.

Ya, dia-

Nur Dhia Binti Yusuf...

Secalit Ungu Dilangit SenjaWhere stories live. Discover now