"Sedapnya mama!". Penuh mulut Dhia menguyah jemput-jemput ikan bilis mamanya. Belum lagi habis satu, disumbatnya lagi satu masuk ke dalam mulutnya."Hari-hari mama goreng jemput-jemput dekat rumah ni. Hari ni baru rasa sedap?". Mama menjengkilkan mata. Mama menatang sepiring dulang berisi teko dan cawan. Kini Dhia dan mama duduk di meja batu, di ruang beranda kampungnya.
"Hehe... Hari-hari sedap ma." Dhia seperti biasa. Tersegih lagi. Bagai angau pula. Tapi sebenarnya dia memang lapar. Tak larat rasanya nak makan nasi semalam yang diperhangatkan. Sambil menikmati segar udara kampung, dapatlah juga dia mencuci mata. Kebun bunga mama dah tak segah dahulu. Tapi orkid mama masih tersusun kemas. Papa yang tolong jagakan sepanjang ketiadaan mama di rumah ini.
"Maa... Dhia nak cakap something ni...". Dhia memandang kedua mata mamanya itu dalam-dalam.
"Cakaplah. Dhia nak kahwin jugak ke?". Usik mama sambil melontar jauh pandangannya ke arah kebunnya.
"Mama!". Dhia mencebik. Mamanya tersenyum girang. Menyakat anak sulung.
"Okay, kenapa Dhia?"
"Hmmm...Dhia nak mama tahu yang mama dah buat yang saaangat terbaik untuk Dhia. Dari Dhia kecil sampailah saat ni....". Dhia tersenyum lagi. Mama hanya diam membiarkan Dhia meneruskan kata katanya.
"...Dari Dhia start sakit dan nak quit medical school lagi, mama tak pernah izinkan. Mama selalu pesan Dhia boleh teruskan dan harunginya. It is always better if Dhia failed than quit,kan?". Dhia berkerut. Persoalan yang belum ditemukan jawapan.
Mama tersenyum lagi. Kini tangan mama menggenggam penumbuk Dhia. Tegap dan kemas.
"Alhamdulillah atas izin Allah, doa dan bantuan semua, walaupun banyak kelas Dhia tak masuk, banyak kali Dhia masuk keluar hospital, banyak ujian Dhia sudah lalui-tapi akhirnya Dhia berjaya kan ma? Dhia berjaya jadi doktor....". Dhia agak tersekat untuk meneruskan kata-katanya. Bukan mudah menyusun kata-kata dalam menzahirkan sesuatu yang berada di dalam lubuk hati.
"....Dhia faham yang kalau boleh mama mestilah nak Dhia habiskan Housemanship Dhia ni. Tinggal satu posting last je lagi. Mesti mama nak tangok Dhia habis houseman macam kawan-kawan lain...". Dhia mula menarik nafas paling dalam.
"....Tapi ma... Macamana pun usaha kita, macamana pun kita nak, Allah lebih berkuasa untuk tentukan apa yang Dia rasa terbaik untuk Dhia. Mama selalu pesan, tanda Allah sayang kita adalah melalui ujianNya kan? Sebab itu Allah tak pernah berhenti uji Dhia...". Dhia mula menyeka air mata, menahan sendu. Hidungnya kembang kepis cuba menahan sebak.
Kata-kata positifnya pada Allah tetap meniti di bibirnya walaupun sentiasa ada mulut yang cuba meragukan hatinya dengan berkata mungkin ujian Dhia disebabkan kifarah dosanya atau dosa kedua ibu bapanya, namun pada Dhia—
Sememangnya itu bukanlah kerja manusia kerana manusia tidak akan pernah tahu adakah ujian yang berlaku kerana Allah sayang atau kifarah tetapi apa yang Dhia tahu adalah—
'Allah berfirman:
Aku adalah apa persangkaan hamba Ku dengan Ku. Aku bersama dengannya apabila dia berdoa kepada Ku'- (Sahih Muslim 2675a)"Ma....semua ini sudah tertulis dalam takdir Dhia. Kalau Allah tetapkan sampai sini je Dhia punya perjalanan untuk berkhidmat sebagai doktor, ma janganlah sedih. Title 'Dr' tu akan tetap Dhia bawa sampai mati namun tiada gunanya pun di alam lain...". Dhia menunduk. Tak sampai hati rasanya untuk menatap wajah mama. Menatap kekecewaan atas kegagalan dia menjadi doktor seperti yang mama harapkan.
Suasana bungkam. Tiada kereta atau lori lalu lalang. Tiada burung berterbangan.
"Dhia...". Mama bangkit memeluk Dhia dari arah depan. Dhia hanya membatu, bisu.
"...Mama tak kisah semua itu. Mama bukan nak Dhia ada title doktor tu. Apa yang mama nak adalah Dhia kuat semangat dan tak putus harapan."
"Mama nak Dhia jadi muslimah yang teguh apa pun ujian Dhia tetap senyum dan redha pada Allah. Mama nak tengok Dhia happy walaupun Dhia sakit. Mama nak Dhia buat sehabis baik di medical school dengan kawan-kawan. Mama nak Dhia buktikan bahawa Dhia boleh. Biarlah kita ini bukan sesiapa, tapi at least kisah kita menjadi inspirasi orang di luar sana. Mama tak nak Dhia larut dalam kesedihan atau kegagalan. Sakit itu dari Allah. Dia yang beri, Dia yang akan sembuhkan. Kita hanya berusaha. Sebab itulah mama nak Dhia teruskan belajar. Capailah semampunya. Mama tak nak dia rasa menyesal tak mencuba sepenuhnya..." Ujar mama tersenyum.
"Ma..."
Suasana hening. Burung berkicauan. Matahari sudah mulai redup. Awan-awan mula berarak riang.
"Terima kasih mama. Mama tak pernah tinggalkan Dhia. Mama doakan Dhia, sokong Dhia, tak pernah halang apa pun Dhia nak cuba dan nak explore. Dhia tak ada apa yang Dhia harapkan selain mama sentiasa dalam rahmat Allah dan jannatul firdausi... Moga setiap penat lelah mama menjalankan amanah Allah iaitu menjaga Dhia, setiap air mata mama yang gugur di setiap sujud—
Allah kurniakan mama syurga yang paling indah bersama sungai yang mengalir dan diharamkan dari api neraka....". Mama merangkul Dhia erat. Pelukan hangat itu cukup menenangkan.Sebak Dhia tidak tertahan. Kolam air mata sudah pecah, merembeskan cecair jernih lagi panas. Laju ia meluncur ke pipi sebelum tiba dihujung bibir. Perlahan ia masuk ke dalam rongga mulut, sebelum menempel di villus. Masin. Kerana itulah garam kehidupan.
Dhia menarik nafas dalam-dalam. Tiada ibu/mama/emak yang mahu melihat anaknya sakit. Pastinya mereka yang terbaik untuk setiap anaknya. Mahu melihat anak-anak berjaya dan bahagia. Namun sebagai seorang anak, Dhia tidak mahu mengecewakan mama. Mereka perlu sama-sama berdamai dengan takdir Allah.
Mama mengelap air mata dan memeluk Dhia lebih erat.
'Tak sangka sudah besar Nur Dhia ya Allah. Macam baru sahaja semalam aku memimpinnya. Lindungilah Dhia Ya Allah...'. Mama mengusap kepala Dhia perlahan.
Dhia benar benar berasa lega dapat meluahkan segala kegusaran yang terpendam dalam hatinya selama ini. Moga Allah terima kurniakan mama syurga tertinggi atas pengorbanannya selama ini.
YOU ARE READING
Secalit Ungu Dilangit Senja
Non-FictionDiinspirasikan dari kisah sebenar, membawa kita menyelami perjalanan hidup Nur Dhia, yang berubah sekelip mata apabila dia didiagnos dengan kegagalan jantung-menyebabkan dia terpaksa bergantung sepenuhnya pada mesin oksigen dan berkerusi roda. Lebi...