"SEROJA".
Terhenti pergerakan kerusi roda wanita itu tatkala namanya diseru oleh seseorang yang sudah agak lama tidak berkata-kata dengannya. Suara seorang insan yang sangat dia rindui meskipun mereka berdua tinggal di dalam sebuah rumah yang sama.
Seroja menalakan wajahnya ke arah sang pemanggil dan muka serius Encik Murshid menyapa pancaindera penglihatannya. Ayah kandungnya itu sedang duduk di atas sebuah sofa di ruang tamu sembari merenung tajam ke arahnya.
"Ya, papa?".
"Seroja daripada mana?". Soalan pelik daripada Encik Murshid. Pelik bukan kerana bentuk sususan ayat soalan itu sendiri melainkan pelik dek kerana sang penutur. Selama tiga tahun ini, mana pernah Encik Murshid mengambil kisah tentang Seroja. Kenapa hari ini tiba-tiba sahaja?
"Daripada kedai. Seroja balik awal sikit sebab tadi ada terapi dekat hospital. Mama masih ada di kedai". Seroja menjawab dengan lembut. Separuh hatinya masih kepelikan dengan sikap Encik Murshid pada hari ini tetapi separuh hatinya lagi seakan gembira kerana ayahnya sudah mulai mengambil berat tentangnya lagi.
"Dengan siapa? Seroja balik dengan siapa?".
"Dengan Lais. Anak Acik Zura. Dia yang teman Seroja pergi--".
Kata-kata Seroja terhenti tatkala dia mendengar Encik Murshid berdecak kasar. Lelaki tua itu turut bangun daripada duduknya dan berjalan menghampiri Seroja.
"Kamu sedar tak kamu ni siapa, Seroja?". Soalan ketiga Encik Murshid itu seolah menyentak Seroja daripada lamunan gembiranya beberapa saat yang lepas. Baru sahaja dia mahu bahagia dek kerana memikirkan ayah sendiri yang sudah mulai mengambil berat tentangnya lagi namun soalan ini memusnahkan segalanya. Tersemat seribu satu nada kebencian di sebalik tutur kata tersebut.
"Apa maksud papa?". Seroja bertanya dengan suara yang perlahan meskipun dia sudah tahu apa jawapannya.
Ya, dia sedar siapa dirinya.
"Kamu tu janda. Keluar dengan anak teruna orang ke sana, ke mari. Kamu tak fikir ke apa yang orang lain akan kata nanti? Terutama sekali tu... keluarga si Idris".
Terkejut besar Seroja tatkala Encik Murshid mengungkit kembali status dirinya. Lebih parah lagi apabila ayahnya mengaitkan sekali keluarga si bekas suami dalam perbicaraan mereka tatkala ini.
"Lais teman Seroja pergi terapi sahaja, papa. Dia kawan Seroja. Tak ada apa yang lebih daripada itu pun". Seroja membela diri.
"Papa tetap tak suka! Papa tak nak orang bercakap--".
"Kenapa? Kenapa papa kisahkan sangat kata-kata orang? Kenapa setiap kali kita bercakap pasal Seroja, papa kena kaitkan orang lain sekali? Hina sangat ke ada anak cacat dan janda macam Seroja ni? Hina sangat ke, papa?".
Sungguh, setiap kali Seroja 'berbual' dengan Encik Murshid, setiap kali itu juga lah dia akan terasa hati. Baginya, Encik Murshid selalu membawa perihal orang lain dalam setiap percakapan mereka. Selalu risau jika lebih banyak orang yang tahu tentang status dan kecacatan fizikal Seroja.
Bagi Seroja, dia tidak boleh memikirkan hal yang lain melainkan yang Encik Murshid malu punya anak cacat sepertinya.
Encik Murshid mendengus kasar sebelum berkata lagi,
"It's either you stop being friends with him or you marry him, Seroja". Tiba-tiba sahaja Encik Murshid menuturkan kata yang disertai dengan dua pilihan tersebut.
Pilihan jenis apakah itu?
Mengarut!
"Lais tu kawan Seroja, papa! Mana mungkin Seroja nak kahwin dengan dia. Kenapa papa tiba-tiba sahaja beri Seroja pilihan tak masuk akal ni?!". Seroja sudah tidak mampu bertahan lagi. Suaranya semakin meninggi. Dia tak sangka yang Encik Murshid akan bercakap sampai ke tahap sebegini sekali.
YOU ARE READING
CAHAYA SEROJA ||©
RomanceCahaya Seroja Lais Idraqi One of the most gorgeous love story I have ever written. Hidup Seroja gelap gelita apabila dia diceraikan oleh suami tercinta yang berjanji untuk setia hingga hujung nyawa. Kenapa? Kenapa sampai bercerai? Adakah kerana kead...