47- Forgive to Heal

254 17 0
                                    

SETELAH bersusah payah selama hampir lima belas minit, Seroja akhirnya berjaya menuruni tangga rumah itu. Ya, dia lakukan dengan sendirinya. Dia bangun daripada katil sendiri. Dia berjalan keluar daripada bilik sendiri dan dia berjaya menuruni tangga ini sendiri.

Dia berjalan.

Dia akhirnya boleh berjalan tanpa bantuan sesiapa. Setelah hampir empat tahun menanggung derita lumpuh... dia akhirnya berjaya.

Seroja ingin meraikan kejayaan ini namun ada perkara yang lebih penting yang perlu dia lakukan.

Dia perlu mendapatkan Lais.

Seroja sangat berharap bahawa lelaki itu masih tidak menaiki keretanya. Dia sangat berharap bahawa lelaki itu tidak meninggalkannya sendiri. Dia berharap lelaki itu masih ada bersamanya di rumah ini.

Dengan langkah yang perlahan sambil berpegang pada perabot-perabot yang ada di sekelilingnya, Seroja berjalan ke arah pintu utama rumah.

Sampai sahaja di situ, dia memulas kunci pada daun pintu dan membuka pintu tersebut. Dengan berpegang pada kayu empat segi itu, dia melangkah ke luar dengan cermat.

Sesekali bahunya tersentak dek kerana terkejut dengan bunyi guruh yang menyapa. Mulutnya tak berhenti beristighfar setiap kali bunyi guruh tersebut bersabung melawan kuatnya bunyi hujan.

Keluar daripada pintu utama, dia berpegang pada pasu-pasu besar yang ada di hadapan rumah untuk menjenguk ke arah garaj.

Dijenguknya ke arah itu dan dia menarik nafas lega. Kedua kereta Lais masih ada di situ bermakna Lais masih ada bersamanya.

Seroja toleh ke kiri dan kanan untuk mencari bayangan Lais seraya kakinya sekali lagi terketar-ketar melangkah ke luar dengan lebih lagi.

Matanya tertoleh ke arah belakang salah sebuah kereta Lais tatkala dia mendengar esakan kuat daripada seseorang dan di situ dia terlihat, Lais yang sudah dibasahi hujan terduduk melutut dan menangis semahu-mahunya. Kedua tangan lelaki tersebut menekup wajahnya membuatkan esakannya berbunyi semakin menyakitkan.

Tanpa memakai selipar, Seroja melangkah ke arah suaminya sambil dia menjaga langkah. Takut tergelincir dek kerana lantai yang dibasahi dengan air hujan.

Tap.

Tap.

Tap.

Tap.

Bunyi tapak kaki Seroja membuatkan Lais berpaling ke arahnya.

Benar lah lelaki itu sedang menangis. Walaupun di dalam kegelapan malam dan di bawah tangis hujan, jelas kelihatan air mata seorang lelaki bernama Lais Idraqi.

Tak larat lagi mahu berjalan, Seroja akhirnya rebah terduduk di sebelah Lais. Lantas kedua tangannya memeluk badan yang sedang kesejukan itu tanpa sebarang kata lagi.

Seroja tahu...

Seroja tahu bahawa Lais amat memerlukannya di saat ini.

Betul firasatnya apabila Lais terus membalas pelukannya di bawah hujan lebat itu. Wajahnya disorok di sebelah leher Seroja dan dia menangis teresak-esak di situ.

"Saya benci dia, Seroja". Lais mengaku biarpun ini bukan lah jiwa kecilnya yang berkata. Dia tidak membenci melainkan dia hanya marah. Marah yang terlalu marah.

"Saya benci dia. Saya benci dia. Saya benci dia". Lais menumbuk-numbuk lantai di tepi tempat mereka sedang duduk.

"Awak lelaki yang baik, Lais. Saya tahu, bukan sengaja awak membenci dia. Lelaki baik seperti awak mana mungkin akan membenci siapa-siapa. Saya tahu bukan perasaan benci yang ada dalam jiwa awak sekarang". Seroja memujuk.

CAHAYA SEROJA ||©Where stories live. Discover now