16- Her Best(est) Friend

215 17 2
                                    

TERSENGIH-SENGIH Iman sambil-sambil dia menolak kerusi roda Seroja di atas laluan di tepi taman tasik itu. Iman; kalau dia dapat keluar bersama Seroja, memang dia suka. Suka sangat sampai kalau boleh melompat, memang dia akan melompat. Mana tidaknya, Seroja ini lah satu-satunya teman baik Iman. Mahu pergi ke mana-mana, memang dia akan mengajak Seroja. Daripada dulu hingga ke sekarang. Tidak pernah sekalipun Seroja menolak. Walaupun keadaan fizikal Seroja mungkin tidak sesempurna dulu, Iman tetap gembira kerana masih dapat berteman dengan wanita baik ini.

"Kau mesti suka dapat keluar dengan aku selalu kan, Seroja?". Iman bertanya seraya tersenyum-senyum semacam kera mendapat bunga. Maka, Seroja pun memusingkan sedikit kepalanya untuk menayangkan wajah pelik yang telah dia buat khas untuk Iman.

"Kau ni dah kenapa? Kau yang ajak aku keluar aku tengah sibuk-sibuk tadi. Soalan tu kau patut tanya diri kau sendiri". Seroja membalas.

"Oh jadinya kau tak suka lah ni keluar dengan aku? Kalau aku tak ajak tadi, kau tak nak ikut lah ya?". Iman memberhentikan tolakan kerusi roda lalu berpeluk tubuh. Kononnya nak merajuk dengan Seroja.

"Aku tak cakap. Kau yang cakap". Seroja tertawa kecil. Malas dia nak melayan perangai Iman yang satu ini. Sekejap-sekejap merajuk. Ingat Seroja ini teman lelakinya ke?

"Kau ni kan... Semenjak ada kawan baru ni... Kau dah makin malas nak melayan aku kan? Kau dah tak sayang aku ke, Seroja?". Ha, ini lagi lah Seroja pelik dengan Iman. Tak kan lah dengan Lais pun Iman mahu cemburu? Mengada betul lah perempuan ni!

"Jangan nak propa sangat. Pergi belikan aku aiskrim. Aku belanja kau sekali". Seroja menghulurkan not sepuluh ringgit ke arah Iman. Ini ialah usahanya untuk memujuk Iman yang kononnya sedang merajuk itu. Dia tahu, sahabatnya itu, jika dihulurkan makanan atau pencuci mulut, pasti Iman akan terima dengan hati terbuka! Jenis-jenis manusia yang senang untuk diculik, macam tu lah.

"Aiskrim?!". Bercahaya mata Iman. Dia kemudiannya berdiri di hadapan Seroja untuk menerima wang kertas pemberiannya wanita itu.

"Nah".

Iman lalu mengambil not sepuluh ringgit tersebut.

"Kau duduk diam-diam dekat sini tau. Jangan pergi mana-mana. Aku pergi beli aiskrim dekat depan tu je!". Sambil berjalan semakin menjauh, sambil Iman memekik. Telunjuknya diluruskan ke hujung taman; tempat seorang penjaja aiskrim kelihatan sedang berniaga.

Dilihat oleh Seroja, ramai juga orang yang membeli. Lama juga lah kut dia harus menunggu si Iman ini.

"Iya! Aku tunggu dekat sini!". Pekik Seroja kembali sambil tersenyum dan melambai ke arah Iman yang semakin menjauh daripada deria penglihatannya.

Setelah hilang sepenuhnya bayang Iman daripada iris mata Seroja, Seroja mengalihkan sedikit kerusi rodanya ke tepi dengan sendirinya untuk tidak menghalang laluan pejalan kaki yang lain. Dia turut memusingkan kerusi rodanya untuk menghadap tasik yang cantik itu.

"Cantiknya...". Seroja tersenyum lebar melihat pemandangan air tenang di hadapan matanya itu. Terlihat juga di matanya ada beberapa buah keluarga yang sedang berkelah berhampiran tasik tersebut. Pemandangan itu membuatkan senyuman manis Seroja tadi bertukar menjadi segaris senyuman pahit.

"Kalau lah...".

Kalau lah dia masih bersuami, pasti sekarang dia sudah mempunyai anak atau sekurang-kurangnya sedang mengandung. Pasti mereka juga sedang menikmati perkelahan seperti itu tatkala ini.

Akan tetapi, takdir tidak mengizinkan dan dia jauh sekali ingin menyalahkannya.

Bahkan sejak sebelum Seroja bercerai lagi, dia sudah dapat merasakan bahawa impiannya untuk menginginkan sebuah keluarga bersama bekas suaminya; Idris adalah mustahil.

CAHAYA SEROJA ||©Where stories live. Discover now