11- Ku Sesat Dalam Rindu

257 18 2
                                    

LAIS rindu. Dia rindu kepada yang tidak pasti. Gambar lama di tangannya dibelek. Sejak daripada tadi lagi dia menilik gambar itu. Gambar itu adalah satu-satunya memori yang dia punya tentang ibu dan ayah kandungnya. Gambar perkahwinan mereka. Namun sayangnya, gambar tersebut sudah dibasahi air yang menghapuskan imej wajah kedua-dua ibu bapa kandung Lais.

"Mana ibu ayah? Kenapa ibu ayah tinggalkan Lais?". Tak pernah dia lupakan kedua ibu bapanya meskipun tak pernah sekalipun dia kenal kedua orang tua itu. Dia sudah dihantar ke rumah anak yatim seawal usia tiga minggu, semenjak dia masih bayi dengan hanya berbekalkan gambar itu dan surat beranaknya sebagai memori.

Tak.

Kata 'dihantar' tidak sesuai dengan situasi Lais. Lais dibuang. Diletakkan begitu sahaja di hadapan pintu rumah anak yatim itu di dalam sebuah bakul rotan.

Lebih kurang sepuluh tahun dia menetap di rumah anak yatim tersebut sehingga lah Puan Azura yang mengambilnya sebagai anak angkat.

Mungkin jika Lais diberikan kesempatan untuk menemui kembali ibu bapa kandungnya nanti, Lais akan kecewa dengan sikap mereka yang membuangnya begitu sahaja. Namun, dia tak akan mengamuk semacam orang gila. Dia tahu, pasti ada sebab mengapa ibu dan ayahnya berbuat demikian.

Tapi...

Bahkan dia sendiri pun tidak dapat mengagak masa depan. Adakah dia akan kekal tenang setelah mengetahui segalanya? Atau dia akan tetap mengamuk seperti orang gila? Atau dia akan menangis?

"Lais nak sangat jumpa ibu ayah". Gambar itu dibawa rapat ke dada. Lais tak menangis. Dia susah sangat untuk menangis. Ya, sejak daripada kecil lagi. Hina lah dia macam mana pun. Pukul lah dia macam mana pun. Lais tak akan menangis.

"Ibu dan ayah datang lah jumpa Lais. Lais dah berjaya. Lais dah kerja. Lais dah boleh tanggung ibu ayah". Sekali lagi, Lais tak menangis. Namun, masih juga ada rasa sebak yang menghurung jiwa kecilnya.

Lais menarik nafas dalam lalu menghembuskannya. Sudah! Dia sudah tidak mahu sedih-sedih. Karang pecah rekod dia untuk tak menangis nanti.

Setelah rasa sebak mulai menghilang dan dia sudah puas melepaskan rindu terhadap kedua ibu bapa kandungnya melalui gambar itu, Lais menyimpan kembali gambar itu ke dalam dompetnya.

Lais sekali lagi melihat nota kecil yang terpapar melalui bahagian lutsinar dompet itu. Nota kata penghargaan yang sangat dia sayangi. Memori Lais dengan si dia yang paling berharga. Nota yang menjadi bentuk interaksi pertama mereka.

"Sama-sama". Itu perkataan yang akan Lais ucapkan setiap kali dia membaca semula nota kecil itu. Seolah membalas kata-kata di atas sang nota walaupun dia tahu si penulisnya mungkin tak akan pernah mendengari jawapan yang diberikan oleh dirinya itu.

Yang peliknya (tak pelik sangat pun sebenarnya), nota itu selalu membantunya untuk tersenyum tatkala dia sedang bersedih. Mungkin nota itu adalah salah satu anugerah daripada Yang Maha Kuasa buat dirinya. Walaupun kecil dan sangat ringkas, ianya sangat membantu dan berharga buat Lais.

Tak lekang senyuman di bibir Lais setiap kali dia merenung nota tersebut.

Ring!
Ring!
Ring!

Bunyi telefon pintarnya yang berdering menbuatkan dirinya yang seolah sedang mengelamun tadi tersedar ke alam nyata buat seketika. Kaca berbentuk segi empat tepat itu lalu dicapai oleh Lais. Butang hijau diseret dan segera dia melekapkan skrin objek itu ke telinganya.

"Hello, assalamualaikum. Siapa ni?". Jangan pelik. Lais memang gemar mengangkat call orang walaupun call itu datangnya daripada nombor yang tak dikenali. Baginya semua panggilan penting. Kalau yang memanggil itu scammer, dia tutup saja la panggilan tersebut cepat-cepat. Logik tak logik?

CAHAYA SEROJA ||©Where stories live. Discover now