Chap 7

233 7 0
                                    

Hari-hari yang dilalui bersama Amani telah menjadi saat-saat paling bermakna dalam hidup Adriana. Setiap detik yang mereka kongsi, setiap senyuman yang Amani berikan, semakin membuat Adriana yakin dengan perasaannya. Adriana tahu, apa yang dia rasakan bukan lagi sekadar rasa bersalah atau kekaguman

Namun, walaupun Adriana sering berada di sisi Amani dan membantu dalam setiap hal, perasaannya masih terpendam. Dia takut untuk meluahkan, bimbang jika Amani tidak merasakan hal yang sama, atau lebih teruk lagi, jika perasaannya akan merosakkan hubungan baik mereka. Adriana kerap bertanya pada dirinya sendiri, apakah Amani juga merasakan perkara yang sama? Atau adakah dia hanya dianggap sebagai teman yang sedang menebus kesalahan?

Pada suatu petang selepas latihan bola baling, Amani dan Adriana berjalan bersama-sama menuju ke arah pintu pagar sekolah. Angin petang yang sejuk berhembus lembut, dan suasana tenang membuatkan Adriana semakin gelisah. Dia tahu, petang itu dia perlu meluahkan perasaannya. Sudah terlalu lama dia menyimpan rahsia ini, dan dia tidak mahu terus berpura-pura.

Ketika mereka hampir tiba di pintu pagar sekolah, Adriana berhenti melangkah. Dia menatap Amani yang sedang berjalan di hadapannya, kemudian menarik nafas panjang, cuba mengumpul keberanian.

“Amani, tunggu sekejap,” panggil Adriana dengan suara sedikit bergetar.

Amani berpaling, memandang Adriana dengan wajah hairan. “Kenapa, Adriana? Awak okey?”

Adriana mengambil langkah ke hadapan, berdiri betul-betul di hadapan Amani. Hatinya berdebar kuat, dan dia merasakan bahawa ini adalah saat yang dia tunggu-tunggu selama ini. Tidak ada lagi tempat untuk lari, tidak ada lagi alasan untuk menyembunyikan perasaannya.

“Amani, saya…” Adriana terhenti sejenak, cuba mengatur kata-kata. “Saya perlu beritahu awak sesuatu. Sesuatu yang saya dah lama rasa, tapi saya tak pernah berani nak luahkan.”

Amani memandang Adriana dengan penuh perhatian, tidak bersuara tetapi jelas menunggu apa yang akan dikatakan oleh Adriana. Ada sedikit kebimbangan dalam pandangan Amani, seolah-olah dia dapat merasakan apa yang akan diucapkan Adriana.

“Saya tahu saya bukan orang yang terbaik dalam hidup awak. Saya dah banyak buat salah, dan saya hargai awak bagi saya peluang untuk betulkan semua tu,” Adriana memulakan dengan nada yang perlahan tetapi jelas. “Tapi… sejak awak selamatkan saya hari tu, saya mula rasa lain. Bukan rasa bersalah atau sekadar nak tebus kesilapan saya. Saya rasa saya… saya mula jatuh cinta pada awak.”

Suasana tiba-tiba sunyi. Hanya bunyi angin malam yang mengisi ruang di antara mereka. Amani terdiam, matanya membesar sedikit seolah-olah tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya. Adriana pula merasa seperti jantungnya berhenti seketika, menanti reaksi dari Amani.

“Saya tak tahu macam mana nak jelaskan perasaan ni,” sambung Adriana, suaranya kini lebih lembut. “Tapi setiap kali saya bersama awak, saya rasa tenang. Saya kagum dengan kekuatan awak, cara awak tetap baik walaupun saya pernah lukakan awak. Saya… saya cintakan awak, Amani.”

Amani masih terdiam, memandang Adriana dengan ekspresi yang sukar dibaca. Adriana menunggu dengan penuh debaran, tidak pasti bagaimana Amani akan membalas. Dia takut. Takut jika apa yang dia katakan ini akan merosakkan segalanya.

Akhirnya, Amani menghela nafas panjang, sebelum berkata perlahan, “Adriana, saya… saya tak tahu apa nak cakap.”

Adriana merasakan dadanya semakin sesak. “Saya faham kalau awak tak rasa benda yang sama. Saya cuma nak awak tahu apa yang saya rasa. Saya tak harap apa-apa balasan. Saya cuma... nak jujur dengan perasaan saya.”

Amani tersenyum sedikit, kemudian mengambil langkah ke hadapan, mendekati Adriana. “Adriana, saya hargai kejujuran awak. Dan saya takkan bohong, saya kagum dengan perubahan awak. Awak dah banyak bantu saya, dan saya nampak usaha awak untuk tebus semua kesalahan awak sebelum ni.”

Adriana menelan liur, hatinya berdebar menanti apa yang akan diucapkan oleh Amani seterusnya.

“Tapi cinta… ia tak mudah,” sambung Amani perlahan. “Saya masih cuba untuk betulkan hidup saya, dan saya tak pasti kalau saya boleh terima perasaan tu sekarang.”

Adriana merasakan sebahagian hatinya runtuh, tetapi dia cuba untuk memahami. “Saya faham, Amani. Saya tak nak paksa awak. Saya cuma nak awak tahu perasaan saya, dan saya tetap akan ada di sini, untuk awak, sebagai kawan atau apa sahaja yang awak perlukan.”

Amani tersenyum, kali ini dengan lebih mesra. “Terima kasih, Adriana. Saya tak nak kita tergesa-gesa. Mungkin… kita boleh terus jadi kawan buat masa sekarang. Tapi saya tak tolak kemungkinan bahawa, suatu hari nanti, mungkin perasaan itu akan berubah.”

Adriana tersenyum kembali, walaupun hatinya sedikit terluka. Namun, dia rasa lega kerana Amani tidak menolaknya sepenuhnya. Ada harapan, dan bagi Adriana, itu sudah cukup buat masa ini. Hubungan mereka tidak perlu tergesa-gesa, kerana yang penting, Amani berada di sisinya.

“Baiklah, kawan,” kata Adriana sambil mengangguk. “Saya akan sabar menunggu, dan saya janji, saya akan terus ada untuk awak, tak kira apa pun yang berlaku.”

Amani mengangguk sebelum berkata, “Terima kasih, Adriana. Awak memang dah banyak berubah. Dan siapa tahu, mungkin suatu hari nanti, hati saya juga akan terbuka.”

Petang itu, mereka berjalan pulang bersama, dengan hati yang terasa sedikit lapang. Adriana tahu bahawa perjalanannya bersama Amani masih panjang, tetapi dia rela menunggu.  Bagi Adriana, selama dia dapat terus berada di sisi Amani, itu sudah cukup.

Disebalik Jaring Bola Baling [gxg] ✅Where stories live. Discover now