Hari demi hari, Amani semakin terperangkap dalam perasaannya yang bercelaru. Setiap kali dia bersama Lisa, ada ketenangan yang aneh yang membuatnya merasa seperti dirinya masih dihargai dan difahami. Namun, setiap kali dia teringat Adriana, rasa bersalah menghantui. Dia tahu bahawa dia sedang menghancurkan sesuatu yang bernilai, sesuatu yang telah mereka bina dengan susah payah selama ini.
Adriana, di Jepun, tidak pernah terfikir bahawa Amani sedang berhadapan dengan perasaan yang begitu keliru. Kehidupan di Osaka berjalan lancar, dengan kontrak baru yang ditandatangani dan pujian yang tidak henti-henti dari pengurus dan rakan sepasukannya. Dia kini menjadi ikon pasukan, dan kehadirannya di atas gelanggang dianggap penting untuk kejayaan kelab.
Namun, walaupun sibuk dengan kejayaan kariernya, ada masanya Adriana merasa kekosongan. Setiap kali dia cuba menghubungi Amani, perbualan mereka tidak lagi seperti dulu. Singkat, dingin, dan penuh ketegangan. Adriana mula merasakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena, tetapi dia tidak mahu memperbesarkan perkara itu. Dia anggap mungkin ini hanya kesan jarak yang memisahkan mereka.
Suatu malam, ketika Adriana selesai dengan satu lagi perlawanan cemerlang, dia cuba menelefon Amani. Kali ini, Amani tidak menjawab. Adriana cuba berkali-kali, tetapi tiada balasan. Rasa resah mula menjalar di hatinya. Dia tahu sesuatu tidak betul.
Pada masa yang sama, di rumah, Amani bersama Lisa. Mereka keluar untuk makan malam seperti biasa, dan tanpa disedari, Amani terlepas beberapa panggilan daripada Adriana. Ketika dia sedar, sudah terlambat. Telefon Amani berdering sekali lagi, dan kali ini dia menjawab dengan nada cemas.
"Adriana?" Suaranya sedikit panik.
"Kenapa awak tak jawab panggilan saya tadi?" tanya Adriana, cuba menyembunyikan kegusaran dalam suaranya.
"Oh, maaf... saya keluar dengan rakan sekerja," Amani cuba menjelaskan, tetapi dia tahu Adriana boleh menangkap nada keraguan di dalam suaranya.
"Rakan sekerja?" Adriana menyoal, rasa curiga mula membenamkan dirinya. "Kenapa awak tak beritahu saya?"
Amani terdiam, tidak tahu bagaimana untuk menjawab. Dia tidak mahu berbohong, tetapi dia juga tidak bersedia untuk mengakui apa yang sebenarnya berlaku. "Saya cuma... tak mahu risaukan awak. Awak pun sibuk kat sana," katanya perlahan, cuba mencari alasan.
Adriana tidak mahu membiarkan perkara itu berlalu begitu saja. Dia merasakan ada sesuatu yang lebih besar daripada sekadar keluar bersama rakan sekerja. "Amani, awak tahu saya sibuk, tapi saya tetap cuba berhubung. Ada sesuatu yang awak sembunyikan daripada saya, kan?"
Amani tidak dapat mengelak lagi. Hatinya mula memberontak di antara kejujuran dan keinginan untuk melindungi hubungan yang semakin retak itu. Namun, di saat genting itu, dia hanya mampu berkata, "Saya penat, Adriana. Penat dengan semua ni. Awak jauh, dan saya rasa kita dah semakin jauh juga... saya tak tahu berapa lama lagi kita boleh bertahan macam ni."
Adriana terdiam, terpukul dengan kata-kata itu. Dia tahu hubungan mereka diuji, tapi dia tidak pernah menyangka bahawa Amani merasa seperti itu. "Apa maksud awak, Amani? Awak... awak jumpa orang lain ke?"
Kediaman di seberang talian itu terlalu lama untuk diabaikan. Amani akhirnya berkata dengan suara perlahan, hampir berbisik, "Saya tak tahu apa yang saya buat, Adriana. Tapi ya... saya dah mula dekat dengan seseorang."
Adriana merasa seperti dunia runtuh seketika. Hatinya, yang selama ini dipenuhi dengan kerjaya dan kejayaan, kini retak dengan kebenaran yang pahit. "Awak... curang?" Suaranya tersangkut di kerongkong.
Amani cuba mempertahankan dirinya, "Saya tak bermaksud untuk menyakiti awak. Saya cuma... saya kesepian, Adriana. Awak jauh, dan saya rasa hilang arah. Ini bukan salah awak sepenuhnya, tapi..."
Namun, Adriana tidak dapat mendengar alasan lagi. Adriana melepaskan amarahnya, "You are my f*ckin wife, what are you thinking? Just do some affair because you are alone without me?," Dia merasa dikhianati, bukan hanya kerana Amani mendekati orang lain, tetapi kerana dia tidak melihat tanda-tanda itu lebih awal. Perbualan mereka berakhir dengan kekecewaan dan kesedihan. Adriana memutuskan panggilan tanpa berkata apa-apa lagi, meninggalkan Amani dalam keheningan yang menyakitkan.
Adriana duduk sendirian di dalam bilik hotelnya, memandang ke luar tingkap yang gelap. Di luar, Jepun kelihatan berkilau dengan cahaya malam, tetapi hatinya terasa kosong dan gelap. Karier yang dia kejar dengan sepenuh jiwa kini tidak lagi membawa kebahagiaan yang sama. Apa gunanya semua kejayaan ini jika cinta yang dia bina selama bertahun-tahun hancur di tangan jarak dan pengkhianatan?
Di seberang dunia, Amani juga merasa kekosongan yang sama. Walaupun dia bersama Lisa, perasaan itu tidak dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Adriana. Dia tahu, keputusan untuk curang bukan sahaja merosakkan hubungan mereka, tetapi juga menghancurkan sebahagian dari dirinya.
YOU ARE READING
Disebalik Jaring Bola Baling [gxg] ✅
RomantizmAdriana, seorang bintang bola baling yang disegani, mempunyai reputasi bukan hanya kerana kehebatannya di gelanggang, tetapi juga kerana sikap egois dan kasarnya di luar padang. Dia sering membuli rakan sepasukannya, Amani seorang gadis pendiam yang...