Chap 2

277 9 0
                                    

Selepas kekalahan di pertandingan besar itu, Adriana semakin tidak senang duduk. Setiap kali memandang Amani, hatinya diselubungi kebencian. Walaupun dia enggan  mengakuinya, hakikat bahawa Amani lebih berbakat dan mendapat pujian lebih sering menghantuinya. Namun, daripada cuba memperbaiki dirinya, Adriana memilih jalan yang lebih gelap menekan Amani sehingga jatuh.

Setiap kali latihan, Adriana akan memastikan bahawa Amani merasakan tekanan yang luar biasa. Kadang-kadang, dia sengaja tidak memberikan bola kepada Amani walaupun Amani berada di posisi terbaik. Pada waktu lain, dia akan menghina Amani di depan rakan sepasukan, mengatakan bahawa Amani hanyalah bayang-bayangnya yang tidak akan pernah bersinar.

Tapi yang paling parah adalah saat latihan fizikal. Adriana akan sengaja mencabar Amani dalam sesi fizikal yang berat, memaksa Amani untuk berlari lebih jauh atau melompat lebih tinggi dengan dalih meningkatkan kekuatan pasukan. Amani, walaupun merasakan keletihan yang semakin mendalam, terus berusaha. Dia tidak mahu memberi peluang kepada Adriana untuk mengatakan dia lemah.

Namun, suatu hari ketika latihan semakin intensif menjelang pertandingan seterusnya, Adriana melangkah terlalu jauh. Dalam satu sesi latihan, pasukan mereka sedang berlatih bermain secara fizikal saling berhadapan dan menolak dengan badan untuk menghalang pergerakan lawan. Adriana, seperti biasa, bersikap kasar, tetapi kali ini dia benar-benar ingin 'mengajar' Amani.

“Amani, kau tak cukup kuat. Tengok ni,” kata Adriana sambil menghampiri Amani. Dia tahu jurulatih sedang memerhatikan dari jauh, tetapi tak peduli. Ketika mereka berdua berdepan dalam latihan pertahanan, Adriana menggunakan semua kekuatannya untuk menolak Amani dengan kasar. Tekanan yang kuat menyebabkan Amani terjatuh dengan keras ke lantai gelanggang. Bunyi tubuh Amani yang menghentak lantai membuatkan semua orang berhenti seketika.

Amani mengerang kesakitan, memegang lututnya yang bengkak. Satu suara jelas kedengaran dari Amani ketika dia jatuh, seakan ada sesuatu yang koyak di dalamnya. Adriana berdiri di atasnya, tidak menunjukkan sedikit pun rasa bersalah. Malah, dia memandang Amani dengan tatapan yang penuh sindiran.

“Kau tak cukup kuat untuk berada di sini,” bisik Adriana dengan nada dingin, walaupun di dalam hatinya ada sedikit kekeliruan yang tidak mahu dia akui.

Jurulatih segera berlari ke arah Amani, begitu juga dengan rakan sepasukan lain. Amani kelihatan tidak mampu berdiri sendiri, wajahnya menahan kesakitan yang teramat. Jurulatih memanggil paramedik, dan suasana latihan berubah menjadi tegang.

“Adriana! Apa yang kau buat?!” jerit jurulatih, suaranya penuh dengan kemarahan dan kekecewaan.

“Aku cuma... bermain dengan fizikal, seperti yang kau ajar,” jawab Adriana dengan nada acuh tak acuh. Dia cuba mempertahankan dirinya, walaupun dalam hatinya dia tahu bahawa dia sengaja melakukannya dengan niat yang buruk.

Jurulatih memandang Adriana dengan tajam. "Ini bukan cara kita bermain. Kau sepatutnya tahu beza antara bersaing dan mencederakan orang!"

Amani dibawa keluar dari gelanggang dengan bantuan paramedik, wajahnya pucat dan air matanya menitis perlahan. Dia cuba menahan diri daripada menangis, tetapi kesakitan itu terlalu kuat. Ketika dia dibawa pergi, Adriana berdiri diam, tidak berkata apa-apa. Dia tahu apa yang telah dia lakukan, tetapi egonya masih enggan mengakui kesilapannya. Dia melihat rakan sepasukan yang lain memandangnya dengan rasa marah dan kecewa, tetapi dia berpura-pura tidak peduli.

Selepas latihan, Adriana berada sendirian di bilik persalinan. Dia duduk di bangku, memegang bola baling di tangannya, tetapi fikirannya melayang. Untuk pertama kali, dia merasa sepi. Tiada sorakan, tiada pujian, hanya bunyi sunyi di dalam fikirannya.

Ketika jurulatih masuk, dia berdiri dengan tegas di hadapan Adriana. "Adriana, kita perlu bercakap."

"Aku tak buat apa-apa yang salah," jawab Adriana, mempertahankan dirinya seperti biasa. "Amani yang lemah."

Jurulatih menghela nafas panjang, kecewa dengan sikap Adriana. "Kau tahu ini lebih daripada sekadar permainan. Kau sengaja mencederakan rakan sepasukan kau. Ini bukan tentang siapa lebih hebat atau siapa lebih kuat. Ini tentang kerjasama. Kalau kau tak boleh faham itu, mungkin kau tak layak jadi kapten."

Kata-kata itu menghentak hati Adriana, tetapi dia masih belum sedia mengakuinya. "Aku tak peduli," jawabnya keras, walaupun ada sesuatu di dalam dirinya yang mula goyah.

Jurulatih menggelengkan kepala sebelum meninggalkan bilik. “Fikirkanlah, Adriana. Sebelum semuanya terlambat.”

Adriana terus duduk di sana, sendirian dengan bola di tangannya. Dia memandang ke arah pintu yang baru saja ditutup, dan untuk pertama kalinya, dia mula merasakan keraguan. Amani cedera, mungkin kerana dirinya tetapi dia masih tidak mahu mengaku salah. Egonya terlalu besar untuk itu, dan dia takut untuk mengakui bahawa mungkin dia adalah musuh terbesar dirinya sendiri.

Disebalik Jaring Bola Baling [gxg] ✅Where stories live. Discover now