Waktu makan malam telah tamat. Meja makan dibersihkan, namun mereka masih berada di meja makan tersebut.
"Rikiya, datuk mahu kamu jaga Justina dengan baik. Hanya kamu saja yang boleh menggalas tugas ini," perbualan dimulakan oleh Raja Byakura.
Justin terjekut apabila mendengarnya. Dia hanya mampu mengetap giginya tanda protes tetapi dia tidak berani untuk mengungkapkannya.
"Kenapa tak serahkan saja kepada Knight Diraja?" Tanya Rikiya yang duduk di sebelah kanan Raja Byakura dan bertentangan dengan Justina.
"Knight Diraja tidak sehebat kamu. Seperti yang datuk telah katakan, hanya kamu saja yang mampu menggalas tugas ini," jelas Raja Byakura.
"Baiklah. Saya akan turut segala perintah datuk. Tapi saya tak yakin untuk jaga manusia ni," pandangannya tertumpu kepada Justina. Hal ini membuatkan Justina kelihatan takut dan melihat ke atas meja.
"Crystal akan jaga kamu. Kalau ada apa-apa yang berlaku, dia akan halang kamu. Jangan cemarkan nama baik keluarga Diraja Tokugawa, ingat!" Pesan Raja Byakura kepada cucunya.
Rikiya mengeluh, "Baiklah. Tapi apa yang saya perlu buat sebenarnya?"
"Mulai esok, kalian berdua akan pergi ke Romanel untuk menghantar Justina kepada Duke Levin. Tujuannya ialah untuk meminta bantuan daripada Duke Levin dalam membantu Justina menyempurnakan benteng pertahanan negara ini. Noriko tidak akan dapat lepasi benteng itu jika Justina dapat sempurnakannya," jelasnya.
"Macam itu rupanya. Saya akan cuba jaga dia dengan baik sehingga sampai di sana," pandangannya masih tertumpu kepada Justina yang sedang menundukkan kepalanya melihat meja.
"Rikiya, kamu pun kena jaga diri juga. Datuk risau kalau Noriko terjumpa kamu di sana," itulah perasaan sebenar Raja Byakura biarpun dia sendiri yang membenarkan Rikiya keluar dari wilayah Venadaland ini.
"Datuk janganlah risau. Saya ni cucu datuk. Waris keluarga diraja Tokugawa," Rikiya cuba meyakinkan datuknya sambil melihat ke arah datuknya itu.
"Datuk percayakan kamu," Raja Byakura mengusap rambut Rikiya tanda sayang akan cucunya itu.
Ketika ini Justina mengangkat mukanya lalu dia melihat gelagat mereka berdua di hadapannya. Dari situ dia dapat melihat kasih sayang seorang datuk terhadap cucunya biarpun mereka dalam kalangan vampire yang dikatakan tiada hati dan perasaan.
YOU ARE READING
Aku Adalah Aku
VampireNoir Raiden adalah seorang pelajar lelaki yang sering dibuli oleh pelajar-pelajar di sekolah menengah tinggi. Dalam dirinya terdapat jiwa yang lain iaitu jiwa vampire, Rikiya. Raiden adalah anak kepada seorang vampire dan manusia yang telah meningga...