Selalu menjadi orang terakhir yang meninggalkan kedai serbaneka 24 jam itu membuatkan Ara menoleh sekali lagi ke arah pintu kedai tersebut bagi memastikan dia tidak terlupa untuk memasang mangga pintu dan akan menjadi punca pengurus cawangan itu bertukar wajahnya menjadi kemerah-merahan dan memasang lagak bagaikan gorila jantan yang mengamuk menumbuk-numbuk dadanya sendiri.
Pintu pertama adalah pintu berjeriji besi yang sudah dimangga manakala pintu kedua adalah pintu dengan kunci digital yang kata laluannya hanya diketahui oleh tiga orang.Ara, Aben si pekerja syif siang dan En.Amri pengurus cawangan kedai serbaneka tersebut yang akan datang membuat lawatan mengejut dua kali seminggu.
Beres.
Melekapkan earphone ke telinganya dan menaikkan hud baju yang dikenakannya, tangan Ara mencapai plastik hitam bungkusan sampah yang kebanyakannya berisi bekas kosong mee segera dan kotak minuman serta tisu yang ditinggalkan pelanggan bersepah-sepah diatas meja panjang yang mengapit kaunter dan diletakkan menghadap dinding kaca lutsinar bagi mempamerkan panorama jalan sekiranya ada pelanggan yang memilih untuk menikmati snek didalam kedai tersebut.
Sambil menikmati alunan sayup-sayup lagu daripada telefon bimbitnya, Ara menoleh ke kiri dan ke kanan .Lengang.Maklum sahaja.Jam dinding di belakang kaunter sebelum Ara menutup kedai sebentar tadi sudah menunjukkan lewat dinihari.Ditambah pula dengan hujan yang turun sejak awal malam tadi masih sedikit lebat namun Ara tidak cuba untuk mengelakkan diri daripada dibasahi.
Selepas mencampakkan bungkusan hitam itu ke dalam tong sampah besar yang tingginya jauh melebihi saiz Ara sendiri,dia terus menyusur jalan belakang yang merupakan jalan pintas paling dekat dengan beberapa deret rumah yang salah satu daripadanya menempatkan rumah sewa yang didiaminya sejak tujuh tahun dahulu.
Selain paling dekat dengan tempatnya bekerja , penduduk di kawasan kejiranan itu juga terbilang baik dan mesra dan itu menyebabkan Ara betah tinggal di situ.Maka kedai serbaneka-lorong belakang- rumah sewa Ara adalah peta dan laluan yang sudah cukup hafal dalam kepalanya.Begitu-begitu sahaja hidup Ara.
Mengenakan earphone dalam keadaan bersendirian begitu mungkin dianggap satu kesalahan fatal bagi kebanyakan orang kerana dengan keadaan begitu,pendengaran akan sedikit terbatas dan berbahaya terutamanya untuk para anak gadis.
Dibimbangi , alunan muzik daripada aplikasi pemain muzik di dalam telefon bimbit tersebut akan menyebabkan mereka tidak dapat mendengar bunyi lain di persekitaran mereka dan ia mampu mengundang bahaya dan jenayah jalanan.Namun, bagi Ara tidak ada masalah dengan semua itu dan dia mempunyai alasan cukup kukuh atas tindakannya kerap melekapkan earphone pada telinganya.
Ya.
Kerana Ara memiliki kelebihan yang membuatkan dia mampu membaca apa yang berada dalam fikiran orang lain !!
Pelik? Tentu .Ada masa nya Ara bersyukur kerana dikurniakan kelebihan begitu namun ia bukanlah satu kelebihan yang membanggakan Ara.Bayangkan sahaja bagaimana sukarnya dia hendak melelapkan mata dengan sebegitu banyak dan riuh-rendah suara seperti siaran radio yang bersimpang-siur didalam kepalanya daripada topik biasa hinggalah kepada topik yang kadangkala Ara sendiri tidak sanggup mendengarnya.
Suara-suara itu hanya akan hilang sebaik sahaja Ara melelapkan mata.Mendengar lagu daripada pemain muzik di dalam telefon bimbitnya itu hanyalah satu-satunya cara untuk sekurang-kurangnya mengalihkan perhatian daripada mendengar suara-suara aneh di dalam kepalanya yang berdengung-dengung seperti bunyi kawanan lebah yang memeningkan.
Malah bukan tidak pernah Ara terlibat dengan masalah disebabkan memiliki kelebihan begitu.Bukan sekali dua tapi banyak kali.Seperti kejadian beberapa bulan yang lepas tentang bagaimana seorang gadis muda yang kerap singgah di kedai serbaneka tersebut bersama rakannya.Lagak mereka kelihatan seperti anak orang berada.Dua kali.Tiga kali.
YOU ARE READING
LAST HUNTER : THE BEGINNING
FantasyApabila langit dan bumi berdarah. Akan lahir Dia Yang Terpilih. Dia dari darah tulen. Dia dari darah 600 purnama. Dia memutihkan apa yang hitam. Dia menerangkan apa yang gelap. Dia menjernihkan apa yang keruh. Dia mencantumkan apa yang retak. Dia...