Bayang yang dipantulkan cermin besar di dalam bilik itu sama sekali bukan kelihatan seperti dirinya. Ara meringis.Simpati melihat keadaan dirinya sendiri.Dengan rambut pendek yang separuh kering dan kelihatan melepek di atas kepala, kaca mata bulat bertenggek di atas hidung dan wajah birat membiru.Itu biasa.
Namun yang tidak biasanya adalah baju yang disarungnya sebaik sahaja dia selesai mandi sebentar tadi.Baju berwarna ungu cair yang kelebihan saiz sehingga apabila tidak dilipat enam tujuh kali, seluruh tangan Ara akan tenggelam tidak menyisakan jari-jemarinya.
Begitu juga dengan seluar sukan hitam yang dipakainya.Jika Ara mengibaskan kakinya , seluar luar biasa longgar itu akan berkibar-kibar mengingatkan dia kepada belon panjang yang menggeliang-geliut di tapak-tapak pameran.
Puas menilik tampangnya yang menyedihkan itu, Ara mencapai tombol pintu.Kepalanya menyembul-nyembul di antara celah tautan daun pintu yang di buka perlahan.Antara rasa takut dan curiga.
Tidak termasuk bilik yang menempatkan bilik tidurnya, ada lapan lagi pintu lain yang bertutup rapat.Dengan kaki yang dijengketkan semampu jari kakinya menanggung beban berat tubuh, Ara melepasi pintu-pintu tersebut dan menuju ke tangga yang menghubungkan tingkat atas dengan ruang bawah rumah tersebut.
Hanya satu kata yang melintas di benak Ara tatkala pemandangan ruang tamu tersaji di hadapannya. Mewah ! Hanya sahaja pada saat dia membuka mata dan terkejut melihat seorang lelaki berambut hitam sedikit keunguan menatapnya gusar dan memapahnya turun ke tingkat bawah itu belasan jam lepas, dia terlalu bingung dan keliru untuk menyedari suasana ruang tamu itu.Apatah lagi dengan melihat beberapa tubuh tergeletak berlumuran darah di sana-sini.
Kini, ruang hadapan itu seperti tidak pernah berantakan sedikit pun. Dengan lantai diperbuat daripada marmar putih yang berkilauan, kelihatan deretan sofa berukiran unik mengisi sudut kirinya.Segala perincian hiasan dalaman ruang itu jauh di atas kadar biasa-biasa.
Lampu-lampu sudut , lukisan-lukisan pelbagai saiz malah pasu-pasu bunga bersaiz besar mengisi sudut-sudut tertentu yang membiaskan nuansa ruang tamu luas yang bersih, rapi dan terjaga. Tidak jauh dari situ, satu lagi ruang berisi bantal-bantal segiempat berwarna cokelat dan putih yang bersaiz besar dan kelihatan gebu bersusun rapi menghadap televisyen bersaiz gergasi yang memenuhi separuh dinding.
Melalui pintu gelongsor yang terbuka separuh dan di antara kibaran langsir panjang yang ditiup angin , jelas kelihatan pantulan air yang berolak-olak pada dinding.Kolam bersejarah yang menjadi saksi betapa tragis nasib Ara ketika cuba hendak melarikan diri lewat petang tadi.
Toleh ke kanan, sebuah ruang makan menyambut penglihatan Ara.Sebuah meja panjang dengan kerusi berderet yang di pisahkan ruang tersebut dengan ruang tamu oleh lantainya yang sedikit tinggi dan nuansa warna yang lebih cerah dengan warna hijau muda dan putih mendominasikan ruang tersebut berbeza daripada ruang tamu yang menyerlahkan warna putih dan cokelat pelbagai rona bagi menghasilkan gabungan warna yang harmoni dan lembut. Dipisahkan daripada ruang dapur dengan dinding yang ditebuk dalam bentuk segiempat diapit oleh sebuah meja dengan kerusi-kerusi bulat menyerlahkan gaya sebuah bar mini.
Jenguk ke bawah tangga, berderet lagi sofa dalam warna putih namun kali ini di temani oleh satu set piano yang hitam berkilat.Satu lagi ruang untuk bersantai yang kelihatan amat nyaman dan selesa.
Mendongak ke atas pula, Ara merasakan dirinya sedang berada dalam dunia pari-pari cerita dongeng apabila menyedari siling berkubah yang diperbuat daripada marmar putih dan dihiasi oleh berbelas-belas lampu yang memantulkan cahaya terang mengelilingi satu lampu juntai yang amat besar dengan untaian kristal -kristal ungu muda dan putih.
" Selamat malam, Cik Puan.."
Suara serentak yang menyapa Ara membuatkan dia hampir tergelincir di atas tangga jika tidak pantas memaut selisir tangga.Barangkali ralit memerhatikan tiap inci ruang tamu rumah itu membuatkan Ara tidak menyedari di hadapannya tepat di hujung tangga berbaris sepuluh susuk tubuh yang di ketuai oleh seorang lelaki berusia awal lima puluhan yang mengenakan kot hitam sedang tunduk hormat kepadanya.
YOU ARE READING
LAST HUNTER : THE BEGINNING
FantasyApabila langit dan bumi berdarah. Akan lahir Dia Yang Terpilih. Dia dari darah tulen. Dia dari darah 600 purnama. Dia memutihkan apa yang hitam. Dia menerangkan apa yang gelap. Dia menjernihkan apa yang keruh. Dia mencantumkan apa yang retak. Dia...