-45-

594 46 7
                                    

Rein memusatkan perhatiannya kepada Tetua Myn yang semakin berang dan merah padam sehingga urat kasar tampak jelas pada pelipisnya itu.

Pasti kerana setiap kali dia hendak melompat tinggi mendekati Ara yang terapung di udara , setiap kali itu jugalah Vixx akan menjulurkan kedua-dua tangannya ke hadapan sambil menggumam mantera sihir menyeru kekuatan angin agar segera membawa buih tidak kelihatan daripada sihir Bangsa Myrth itu untuk menjauhi dataran tinggi berkabus yang sudah bertukar menjadi medan pertarungan tersebut.

Sementara itu dalam masa yang sama, Vixx pula akan melompat tinggi dan tidak teragak-agak melibas pedang di tangannya dengan wajah tegang dan tidak bersahabat.

Pemuda yang selalu tampil dengan imej komik dan raut wajah yang kerap diherot-herotkan itu bertukar menjadi susuk tubuh pemuda dari Bangsa Nymph yang berambut putih ,mengurai melepasi paras bahu dengan sepasang mata berubah menjadi warna hijau tua.

Sambil matanya siaga mengawasi Tetua Myn yang bermati-matian cuba untuk menyerang Vixx yang digalaskan tanggungjawab untuk menjauhkan Ara dari kawasan tersebut dengan menyeru kekuatan angin bagi membawanya jauh, Rein tidak alpa dengan serangan lelaki-lelaki berpakaian hitam yang diyakini adalah daripada Bangsa Athos.

Bulan gerhana penuh tatkala purnama lima belas memang sesuatu yang sangat jarang berlaku dan Vixx tahu satu hal.Bulan penuh seperti membawa kekuatan beratus kali ganda kepada Bangsa Athos dan Bangsa Zinxs.Buktinya lihat sahaja Mark, Eiiden dan Aiiden yang wujud dalam bentuk asli mereka - Sang Alfa dari suku masing-masing yang seperti mempunyai simpanan tenaga aneh dan tidak mengenal erti letih.

Dalam pada pandangan matanya mengawasi Tetua Myn dan sesekali menoleh kepada sahabat-sahabatnya yang lain, ekor mata Vixx sempat menangkap pergerakan dari belakangnya.

Dua orang lelaki berpakaian hitam serentak melibasnya dengan pedang.Dengan seringai sinis,Vixx memacak lututnya ke tanah dan serentak dengan itu juga mengangkat Pedang Orrez kepunyaannya tinggi di atas kepala ,membentengi kepalanya daripada di singgahi mata pedang.

Bunyi besi berlaga bingit seketika dan sepantas kilat dia bergolek ke samping seraya melibas mata pedangnya tepat ke tengah dada dua lelaki penyerang itu membuatkan hampir serentak kedua-duanya tumbang ke belakang.

Sambil menyeka wajahnya yang bersimbah darah yang hamis dan masih hangat, Vixx bingkas bangun bertunjangkan mata pedangnya yang ditancapkan ke permukaan tanah.Serbuan tiga orang lagi lelaki berpakaian hitam itu hanya disambut decihan kecil Vixx yang kembali tegak menggenggam hulu pedangnya kejap.

+           +           +

Setelah memastikan bahawa Ara sudah berada di dalam lingkungan buih sihir yang terapung di udara perlahan menjauhi dataran berkabus itu dengan tiupan angin yang diseru Rein, N mengatur kembali nafasnya sambil menajamkan penglihatan ke arah musuh yang merapatinya dengan lagak angkuh dan dia tahu.Lelaki-lelaki itu berada dalam kawalan Tetua Myn dan mereka tidak akan teragak-agak untuk membunuh sesiapa sahaja.

Menghadapi serangan lelaki-lelaki Athos boneka sihir Tetua Myn itu pasti jauh lebih mudah jika mereka tidak berada di dalam kawasan Perkampungan Nymph.Tetapi satu hal yang N pasti.

Tetua Myn tidak akan memilih dataran tinggi yang berkabus itu secara suka-suka.Sebagai salah seorang daripada dua bangsa penyihir, N tahu alasannya.Selepas sahaja melepasi gerbang berupa jejeran batu kerikil nun di perbatasan Perkampungan Nymph itu, sebarang senjata moden tidak ada gunanya sama sekali.

Hanya senjata yang memiliki 'ikatan' khusus dengan pemiliknya serta senjata yang semata-mata bergantung kepada kudrat tuannya yang dapat digunakan.

LAST HUNTER : THE BEGINNINGWhere stories live. Discover now