Dan entah dari mana tiba-tiba sahaja deria Ara dapat menghidu bau aneh yang hamis saling berbaur antara satu sama lain membuatkan dia menoleh ke kiri dan ke kanan.Angin kasar yang berhembus perlahan seakan menguak tabir langit dan menyerlahkan bulan purnama yang baru terbit di sudut Timur.Bulat.Besar dan terang sekali.Juraian kabus perlahan menipis.
Dari celah gumpalan nipis kabus yang berarak dibawa angin, antara bongkah batuan yang berceracak kasar muncul puluhan pasang mata yang kemerahan dan kedengaran suara menggeram-geram yang rendah.Secepat sambaran kilat, pintasan aneh menyambar benak Ara.
Bulan purnama.Seriga....
Seakan dipukau, puluhan ekor serigala yang bermunculan entah dari mana itu mulai melompat turun dan merapati mereka.Merendahkan tubuh, sepasang telinga yang tegang tidak bergerak,mata yang menyinar kemerahan dan saling mengeluarkan bunyi rendah dengan mempamerkan deretan tajam gigi dan taring masing-masing.Siap sedia untuk menerkam dan merobek sesiapa sahaja dihadapan mereka.
" Ceh.." Aiiden mendesis seraya menggerak-gerakkan bahunya.
" Ramainya tetamu.."Eiiden yang berdiri di sebelahnya kedengaran tertawa kecil sambil menatap tajam tiap pasang mata dihadapannya.Bukan sahaja puluhan serigala muncul dari celah batuan malah puluhan pula susuk tubuh lelaki berpakaian serba hitam dengan mantel berkibar juga kelihatan diketuai oleh seorang lelaki muda yang serta susuk tubuh panglima handalan Istana Besar- Panglima Artakus.
Bersama angin yang berhembus membawa bau hamis yang didominasi dengan bau Alvarez juga Sdrow serta bau Athos yang saling berbaur, Ara mengetap giginya apabila cahaya terang dari bulan purnama yang mencuar di langit Timur itu perlahan-lahan menjadi malap bukan kerana dilitupi awan tetapi sebaliknya hilang sedikit demi sedikit dilindung oleh bayang yang legap.
Gerhana !
Mendadak bulu roma Ara meremang apabila serigala bermata merah yang menatap mereka dengan air liur berjejeran itu serentak melolong dan mendongak menatap wajah bulan yang semakin samar dan dalam masa yang sama juga terasa hawa panas merenjat pembuluh darahnya seperti aliran elektrik yang mengalir tiba-tiba.Dan entah mengapa penglihatannya sedikit kabur dan telinganya pula berdesing halus.
Dalam masa yang sama kedengaran geraman rendah di belakang kepalanya dan sebalik dia menoleh, Aiiden sedang mengepal penumbuk dan kelihatan jaluran urat pada pelipis dan dahinya yang timbul di celah bintik peluh yang jelas.
Ara menutup matanya apabila penglihatannya sedikit berpinar dan segenap sendinya menjadi panas dan bagaikan ditarik-tarik.Panas.Sakit dan menggeletar.Lututnya yang mendadak lembik membuatkan dia sedikit terhuyung-hayang dan memaksanya berpaut sebentar pada lengan Eiiden.
Sementara yang lain-lain mulai mengejapkan pegangan pada hulu senjata masing-masing dan mulai menjauhi antara satu sama lain dan begitu juga dengan puluhan ekor serigala yang masih lagi menggeram-geram dengan gigi menggeretak dan menghantar isyarat akan menerkam bila-bila masa sahaja.
Jelas pada penglihatan Ara Ken, Vixx, Rein , N dan Ryu menjauhkan diri antara mereka bagi membolehkan kawanan serigala itu juga berpecah dan mengekori mereka sekurang-kurangnya belasan ekor untuk setiap seorang juga belasan orang susuk tubuh berpakaian hitam yang masing-masing memegang hulu pedang yang kelihatan tajam dan berkilat.
Manakala Tetua Myn masih tidak berganjak dan anak matanya sigap memerhatikan puluhan ekor serigala dengan ada yang berbulu cokelat gelap dan perang itu sedikit demi sedikit berpecah mulai mengerubungi susuk tubuh pemuda-pemuda yang pernah menjadi anak didiknya sedikit waktu dulu.
Dia tidak sedikit pun kesal kerana niatnya sejak dahulu amat jelas.Mencari dan menghapuskan Yang Terpilih ,satu-satunya susuk tubuh yang punyai kelebihan hampir seperti Thierasias itu.Malah dia amat tahu satu hal yang menjadi rahsia terbesar dalam hidupnya bahawa sebelum Thierasias menghembuskan nafas terakhirnya lama dulu, dia sempat memindahkan kesemua kebolehannya kepada anak itu sebelum menghantarnya ke dimensi dunia yang lain dengan tujuan untuk melindunginya.
YOU ARE READING
LAST HUNTER : THE BEGINNING
FantasyApabila langit dan bumi berdarah. Akan lahir Dia Yang Terpilih. Dia dari darah tulen. Dia dari darah 600 purnama. Dia memutihkan apa yang hitam. Dia menerangkan apa yang gelap. Dia menjernihkan apa yang keruh. Dia mencantumkan apa yang retak. Dia...