Vixx yang berada di bahagian paling hadapan menoleh berkali-kali ke arah Ara yang seperti semakin perlahan sahaja rentak langkahnya dengan bunyi dengusan nafas yang semakin jelas kedengaran.
Jalan yang mereka tempuh semakin berceranggah dengan bongkah-bongkah batu bertimbulan di sebarang arah.Laluan pejalan kaki yang hanya muat sedang untuk seorang dengan batu-batu tajam serta tebing yang curam ternyata bukan sahaja meletihkan malah memaksa mereka lebih berhati-hati dan saling mengawasi langkah antara satu sama lain.Matahari yang sudah melepasi waktu pagi walaupun semakin terik tetapi haba sejuk mulai terasa dan ia menandakan perjalanan mereka semakin hampir ke tempat tujuan.
Ara menghela nafasnya yang terasa hangat dipangkal leher.Dalam keadaan dan bentuk rupa bumi kasar dan berceracak serta sentiasa mendaki begitu,setiap langkahnya menjadi berat berkali-kali ganda dan bukan sekali dua dia terpaksa berhenti seketika untuk mengisi paru-parunya dengan udara.Letih dan segenap sendi nya seakan bergeser sesama sendiri tetapi Ara faham satu perkara.
Berhenti seketika bermakna dia semakin memperlahankan yang lain-lain kerana dia tahu.Setiap kali dia berhenti dan menyedut nafasnya dalam-dalam , setiap kali itu jugalah mereka yang lain akan menatapnya dengan pandangan gusar.
Salahkan sahaja diri sendiri yang cuak dan malas bersenam sehingga cepat benar berasa penat,seranah Ara kepada dirinya sendiri.
Embun masih berkilauan di hujung rumput dan hari masih terlalu pagi ketika Ara bangkit dari tempat tidurnya awal pagi tadi.Tidak.Sebenarnya dia hampir semalaman tidak dapat melelapkan mata.Eiiden yang menatapnya dingin, Aiiden yang dibelenggu dan terkurung dalam penjara sana dan kini-hari pertemuannya dengan Tetua Myn.Semua hal itu begitu membuatkan Ara sesak sendiri.
Di halaman hadapan hampir seisi kampung berkumpul dan halaman itu senyap sebaik sahaja Ara muncul.Seperti sebuah keluarga besar yang menghantarkan anak mereka untuk satu perjalanan yang jauh, tiap seorang daripada mereka menatap Ara dengan riak wajah bercampur-baur.Hanya sahaja janji Abba yang dibisikkannya perlahan tatkala menyalami Ara membuatkan Ara sedikit lega.
Abba akan melepaskan pemuda itu.Jangan risau..
Lewat malam tadi selepas keriuhan dihadapan rumah, Abba tidak dapat menyorokkan rasa terkejutnya apabila Ara yang menyelinap senyap-senyap menceritakan segalanya kepada lelaki itu tentang siapa sebenarnya Aiiden dan tujuannya mengekori mereka sehingga ke perkampungan Nymph tetapi tentu sahaja dia menyembunyikan bahagian lain tentang Tetua Myn .
Doktor Rade hanya seorang saudara rapat yang bimbang tentang keadaannya dan mengekori mereka secara senyap.Begitu Ara mereka alasan .Tidak berbohong tetapi tidak juga berkata jujur.Saudara rapat , ya memang betul.Alasan bimbang juga tepat.Tetapi Ara menyamarkan alasan sebenar dan berharap lelaki tersebut akan mempertimbangkan permintaannya agar mereka melepaskan 'Dr.Rade' .
Fikiran Ara yang merayap kesana-kemari berkecai apabila dia mendongakkan kepala.Jalan yang kasar dan sempit nampaknya tidak mencukupi dan kini mereka terpaksa pula mendaki satu tebing yang curam.
Seakan dapat membaca riak wajah Ara yang keletihan, Aiiden menghulurkan sebotol air kepadanya sambil berkata.
" Ini adalah tebing terakhir.Di atas sana hanya perlu berjalan sedikit saja lagi dan kita akan sampai."
Ara tahu Eiiden berkata begitu hanya untuk menyedapkan hatinya sahaja kerana jika dikira yang ini,rasanya bukan dua atau tiga kali Eiiden mengatakan hal yang sama tetapi Ara tidak mahu membazirkan tenaganya untuk berbahas dengan lelaki itu.Jangankan hendak meladeni nya , hendak mengangkat kaki sendiri pun Ara semakin tidak larat.
" Sikit saja lagi Ara" Ryu mempamerkan senyumannya yang tetap sahaja cerah seperti matahari " Pasti Tetua Myn sudah menyediakan sirap limau madu..Sedap rasanya.."
YOU ARE READING
LAST HUNTER : THE BEGINNING
FantasyApabila langit dan bumi berdarah. Akan lahir Dia Yang Terpilih. Dia dari darah tulen. Dia dari darah 600 purnama. Dia memutihkan apa yang hitam. Dia menerangkan apa yang gelap. Dia menjernihkan apa yang keruh. Dia mencantumkan apa yang retak. Dia...