-8-

833 73 2
                                    

Hutan itu tebal sekali.Pohon-pohon yang berderet memenuhi penglihatan besar saiznya, berlumut , dengan akar -akar yang keluar bertimbulan saling berselirat membonjol dari dalam tanah.Tinggi menunjang kabus tebal entah sampai ke mana.Licin .Sedikit gelap dengan sinar matahari paling sedikit sampai ke lantai hutan yang lembap.Dengan daun-daun tebal yang melitupi permukaan tanah, ranting-ranting tua berselirat dan ditambah dengan hujan gerimis yang membuatkan lantai hutan itu licin, lembap, berlumpur dan becak.

" Cari dia sampai dapat !! Aku yakin dia belum jauh !"

" Baik, tuan..!!"

Sayup-sayup suara manusia saling melaung dan diselang - seli dengan bunyi ladam kuda menghentam tanah yang becak.Kadangkala kedengaran suara kuda meringkik-ringkik dan denting besi berlaga sesama sendiri.

Ara menggigit bibir agar tidak ada sebarang bunyi lolos dari mulutnya.Malah dia menahan nafas sebaik dirasakan batang-batang kayu yang melintang di atas kepalanya itu bergemertak di bawah tapak kaki kuda tunggangan segerombolan lelaki berbaju hitam dengan mantel berkibar tersebut.Ara tahu.

Mereka sedang mencarinya ! 

Di bawah jambatan daripada batang kayu bulat yang berlumut itulah Ara duduk memeluk lututnya sambil terketar-ketar menahan rasa sejuk yang merambat ke segenap pembuluh darahnya.Sejuk akibat guyuran hujan yang seakan tidak pernah berhenti dan sejuk kerana aliran air anak sungai itu menggenanginya sehingga ke paras leher.

Dia sudah terlalu letih untuk berlari dalam keadaan sejuk, hutan yang tebal, berkabus , becak ,  licin dan  menyukarkan tiap langkahnya bagi melarikan diri daripada buruan lelaki-lelaki berpakaian serba hitam itu.

Lebih daripada itu,Ara ketakutan dan bingung dengan banyak hal yang berlaku kepadanya.Dalam gemertak gigi yang saling berlaga, Ara sempat mengingat-ingat.Kejadian dia di serkup oleh lelaki seperti kelawar di lorong belakang, sayup-sayup kemunculan tiga susuk tubuh berpakaian hitam dengan jaket berhud dan menutup mulut, gelap dan kemudian terjaga dalam sebuah gua yang pernah di anggapnya sebagai satu gurauan rancangan realiti televisyen.

Susah payah melepaskan diri daripada lubang kecil dan rumput tinggi.Lalu pemandangan hijau yang cukup indah-kemunculan ibu bapanya dan akhir sekali adegan kejar mengejar segerombolan tentera berkuda dengan seorang lelaki .Dan gelap lagi.

Terjaga dan entah...
Aneh.Gurauan rancangan realiti televisyen semacam apa panjang sekali seperti ini?

Tersedar dalam keadaan luka,berantakan malah berada pula di satu tempat yang amat asing.Hutan.Basah.Berkabus .Dan tahu-tahu sahaja bila kelibatnya kelihatan oleh seorang lelaki, bukan dibantu malah lelaki itu mengeluarkan sesuatu seperti tanduk kerbau dan meniup hujungnya seperti memanggil seseorang atau gerombolan yang lain.

Tekaan Ara tidak meleset.Tidak mencecah detik hitungan belasan, dari jauh kedengaran sorak-sorai manusia dan ditingkah dengan bunyi kuda.
Dia dikepung, berjaya melepaskan diri, terpontang-panting menyelamatkan diri, entah berapa kali tersembam dan terlanggar akar pokok kemudian berlari lagi.

Mimpi?
Rasanya juga bukan.

Luka pada lututnya akibat tersembam di permukaan gua dan ditambah pula dengan luka tersangkut tunggul  atau ranting berduri ketika melarikan diri daripada kepungan lelaki-lelaki berkuda itu terasa sakit tiap kali terkena air.Sakit yang perit.Benar.Segalanya terasa tidak ada yang salah.Perut yang berkeriuk-keriuk minta di isi dan rasa sejuk yang menggigit terlalu nyata untuk dikatakan sebagai satu mimpi.

Tapi..

Jika bukan mimpi apa yang boleh menjelaskan semua rentetan kejadian yang menimpanya sekarang ini? Sekejap dia berada di satu kawasan padang rumput yang hijau dan nyaman.Sekejap pula berada di dalam hutan yang tebal begini dengan di kejar-kejar oleh sekumpulan lelaki menunggang kuda dan menyandang pedang !

LAST HUNTER : THE BEGINNINGWhere stories live. Discover now