V1-HYT (BAB 28)

285 8 0
                                    


Sebaik saja habis kuliah, aku ambil keputusan untuk melawat Fatihah di hospital. Lagipun hari ini hari bekerja dan pasti Arie sedang sibuk di pejabatnya. Malam tadi Arie tidur di wad menemani Fatihah.

Nurse di kaunter wad tingkat 4 Gleneagles Intan tergamam apabila aku bertanyakan nama Fatihah. Dia kelihatan keliru.

"Cik ni -"

"Saya Farisya. Kakak kembar Fatihah Idoura."

Dia tersenyum lebar dan ketawa kecil kemudiannya. "Patutlah muka hampir sama. Kembar seiras rupa-rupanya."

"Takpe, semua orang macam tu. Selalu keliru yang mana kakak, yang mana adik." Aku beramah-tamah.

Kemudian, aku dibawa ke bilik Fatihah. Bila sahaja pintu dibuka, Arie yang sedang memegang tangan Fatihah segera berpaling. Agak terkejut dengan kedatanganku. Mama turut ada di situ menemani Fatihah.

"Risya," mama bangun menerpa dan memeluk aku.

Aku cium pipi mama kiri dan kanan. "Bila mama sampai? Kenapa tak call kakak?"

"Petang semalam, tapi mama tidur dekat rumah Tan Sri. Baru pagi tadi Arie bawak mama datang sini."

Aku angguk. Fatihah merenung aku dengan wajah lesu. Senyuman dia ukirkan dalam keterpaksaan, macam tak suka saja aku datang.

"Arie, I nak cakap dengan Tihah sekejap, boleh tak? Just two of us." Aku meminta, lalu memberi isyarat mata agar Arie membawa mama keluar juga.

"Jom mama. Arie bawak mama pergi makan dulu."

Anak mataku mengekori langkah mereka ke pintu dan kemudian aku duduk di kerusi di tepi katil Fatihah. Fatihah nampak pucat dan dia kelihatan agak kurus.

"Terima kasih datang tengok adik. Tihah ingat kakak dah bencikan adik," suara Fatihah serak seperti mahu menangis.

"Ishhh, mana boleh panggil adik lagi? Tihah kan dah jadi isteri orang?" gurauku.

Fatihah tersenyum sumbing. "Tihah ni isteri orang ke kakak? Isteri apa kalau tiap-tiap malam abang Arie balik rumah kakak?"

Aku terkelu. Liur aku teguk berkali-kali. Tak tahu bagaimana mahu menerangkannya.

"Kakak, Tihah mintak tolong kakak sangat-sangat. Tihah tahu Tihah dah buat salah rampas abang Arie dari kakak. Tapi, tolong kesihankan Tihah. Baby Tihah ni, perlukan ayahnya." Fatihah menyentuh perutnya sendiri.

"Tihah rayu pada kakak. Tihah sanggup melutut asalkan abang Arie balik pada Tihah." Tihah mula menangis.

Aku menahan sebak yang tidak terhingga. Tegarkah aku? Sanggupkah aku melepaskan Arie pulang ke pangkuan isterinya? Haruskah aku berkorban demi kasih sayang kepada adik dan anak saudaraku sendiri? Bagaimana pula dengan aku? Hati aku? Cinta aku kepada Arie?

"Kakak dah pernah cuba untuk lupakan Arie, tapi Arie cari kakak jugak."

"Tihah tahu abang Arie hanya cintakan kakak seorang. Tapi, tolonglah pujuk abang Arie untuk Tihah. Kesiankan anak Tihah. Kakak... please?" berjurai-jurai air mata Fatihah.

Aku mengeluh berat. "Kakak akan cuba."

"Terima kasih kakak. Baru sekarang Tihah menyesal pisahkan kakak dengan abang Arie."

"Tihah rehatlah, jangan fikirkan sangat pasal kami. Kalau Arie masuk kejap lagi, suruh dia datang rumah kakak malam nanti." Aku cium dahi Fatihah dan betulkan selimutnya. Aku perhatikan perutnya yang masih lagi kempis. Dadaku sebak tiba-tiba. Wahai hati, bersabarlah!

Semasa lif terbuka, aku bertembung dengan mama dan Arie. Segera aku rangkul tubuh mama dan mencium tangannya. Aku biarkan lif terkatup semula kerana aku ingin bersama dengan mama sebentar.

TRILOGI ARIESYA - V1, V2 & V3Where stories live. Discover now