Sheila mengajak aku menemaninya ke wedding reception Kapten Fadly di Hotel Saujana. Aku berkira-kira baju apakah yang harus dipakai. Memandangkan hanya sepasang kebaya pendek ada dalam almari, baik aku sarungkan saja baju itu. Sekejap lagi Sheila sampai.
Loceng kedengaran di pintu. Masih awal lagi. Ada lagi setengah jam sebelum kami bertolak ke Subang. Harap-harap lalu lintas juga tidak sesak malam ini. Sheila memeluk erat seperti biasa sebaik saja aku buka pintu.
"Wah! Macam dah lama sangat rasanya I tak jumpa you,."
Aku tersenyum panjang menyambut kedatangannya. "Lama ke you dekat ground?"
"Seminggu je."
Sheila ambil tempat di sofa. Dia nampak cantik dengan baju kurung pesak kain chiffon jarang tanpa bunga dengan korset di bahagian dalam. Rambut paras bahunya dibiarkan lepas.
"Apa plan you?"
"Macam biasa, nak ajak you keluar. Shopping, tengok wayang."
Bunyi beep di handphone Sheila mengganggu perbualan kami. Dia belek seketika handphonenya dan kemudian tersenyum senang.
"Lusa kita ke Cherating. Ada photoshoot untuk magazine dan Akram ajak you sekali. Better check your phone."
"Ya ke? Ermmm, I malaslah! Penat," Bukannya apa, aku rasa terkilan sangat dengan apa yang berlaku tempoh hari.
"Alahhhhh... apa salahnya babe? Bolehlah kita makan angin sekali."
"Drive ke?"
"Tak de lah! Kalau kita kata ok, Akram book tiket untuk kita."
"Like that, boleh lah. I paling tak suka drive jauh-jauh. Balik kampung I pun dah letih gila. Kalau ke Kuantan, lagi I tak sanggup."
Lebih 20 minit dalam kereta, kami sampai juga di majlis resepsi Kapten Fadly dan Tina. Rasa seronok dapat bertemu semula dengan sebahagian FA yang aku jumpa semasa di Jakarta. Alice, Kathy, Ray dan Hazriq. Cuma Alan yang tak dapat turut serta. Hazriq melirik tubuhku yang berkebaya pendek dengan belahan kain sampai ke lutut.
"You tengok apa Hazriq?" Alice menyiku buah hatinya.
Aku ketawa kecil. "A- a, ada orang dah marah. Siap la you, Hazriq." Alice juga ketawa dengan kata-kataku.
"Dia ni memang! Tak boleh tengok perempuan cantik." Kutuk Alice.
Kami berenam duduk semeja. Berbagai cerita dibualkan.
"Eh Risya. You pun dah jadi model macam Sheila? Hari tu I nampak gambar you dekat majalah. Cantik sangat,"
"Freelance aje Ray. Lagipun gambar tu dah kena edit, mestilah cantik."
"You memang cantiklah Risya, seriously." Ray bersungguh-sungguh memuji.
"Dahlah! Jangan puji over-over sangat."
Kompang kedengaran dari luar dewan. Mata kami semua terarah ke pintu. Saat kedua mempelai masuk didahului dengan kanak-kanak kecil, hatiku tiba-tiba menjadi sayu. Aku membayangkan kalaulah diriku berada di karpet merah itu bergandingan dengan Arie.
"Babe, kenapa dengan you?" Sheila di sebelah mencuit lengan. Aku kembali ke alam nyata. "Tak ada apa-apa lah!"
Fadly sempat mengerling aku dan tersenyum manis. Aku mengangguk kepala, juga membalas senyumannya. Mereka bersanding di atas pelamin yang direka cantik. Sambil menjamu selera, mataku tak putus-putus memandang ke atas pentas menyaksikan Tina yang cantik menawan di sisi Fadly.
"Risya, mulanya I ingat, you yang akan bersanding dengan Kapten Fadly." Kathy yang banyak berdiam dari tadi tiba-tiba bersuara.
"Ishh! Tina tu dia nak campak kat mana?"
YOU ARE READING
TRILOGI ARIESYA - V1, V2 & V3
Roman d'amourTERBARU DARI SAYA. BAKAL TERBIT VOL 1 - HATI YANG TERPILIH VOL 2 - KEMARAU CINTA VOL 3 - DAN...... RINDU-RINDU PUN BERGUGURAN