Takdir membawa aku ke jalan hitam
Kerana CINTA, nafsu menjadi tukaran.
Kerana KASIH, kesetian dilacurkan.
Biarlah cinta ini aku miliki
Biarkan cinta ini menjadi bebanku,
Meskipun menghambat jalanku,
Walau ada yang cinta lain yang hadir,
Hanya hatimu yang terpilih
Aku – FARISYA IZOURA.
.................................
BAB 1
Seawal jam 7.30 pagi aku sudah berada di front desk lobi Resort Cahaya. Mengemas apa yang perlu, sebelum kedatangan para pelawat dan pelancong yang tidak putus-putus walaupun resort ini terletak jauh di pedalaman.
Aku perhatikan Azura yang tekun meneliti senarai peserta kem bina semangat yang akan tiba sebentar lagi.
"Weh, khusyuknya kau dengan list tu? Aku tahulah semuanya lelaki. Ehem, ada ke yang kau berkenan?"
"Ishhh kau ni, ke situ pulak! Aku pelik je, ramai sangat MW Event bawak peserta kem bina semangat kali ni. Er... kau ada tengok tak?" Azura menayang kertas A4 ke sebelah kirinya.
"Dah tengok dah. Kau lupa ke, aku yang arranged bilik?"
"Ha-ah la, lupa pulak! Kuncinya dah siap ke? Marilah aku tolong kau." Dia menawarkan pertolongan.
Aku hulurkan sampul surat tertera nama peserta berisi nombor bilik masing-masing. Tekun menyempurnakan tugas kami sambil menunggu ketibaan rombongan MW Event Management.
Sebentar kemudian, kedengaran riuh-rendah di jeti. Tandanya rombongan dari Kuala Lumpur itu sudah tiba.
"Dah cantik dah!" aku menegur Azura yang sedang sibuk membetulkan kebaya di tubuhnya.
Azura tertawa kecil. "Kau pun apa kurangnya? Make-up lebih apa hari ni." Azura membalas dengan usikan juga.
"Mana ada? Pandai lah kau. Aku make-up macam biasa je lah,"
Perbualan kami terhenti apabila kelihatan seorang demi seorang peserta kem bina semangat masuk ke ruang lobi yang dibina dari kayu sepenuhnya. Suasana sepi tadi bertukar hingar-bingar. Seketika kemudian, barulah Encik Marzuki datang ke kaunter resepsi.
"Hai Encik Marzuki. Selamat pagi." Azura terlebih dahulu memberi ucapan selamat datangnya.
"Morning Cik Azura, Cik Risya. Jumpa lagi kita. Everything's in order?" senyuman manis Encik Marzuki hadiahkan kepada kami.
"Semua dah siap. I rasa elok kita bagi kunci di tempat mereka semua berkumpul. Ramai sangat, sesak nanti dekat kaunter." Aku mengusulkan. Aku dan Azura sudah pun bersedia untuk menyerahkan kunci bilik kepada para peserta kem bina semangat yang baru tiba.
"Bagus jugak tu," Encik Marzuki menaikkan ibu jarinya.
"Ok, Encik Marzuki tunggu dekat sana, nanti kami berdua datang." Azura menambah. Juga senyuman tidak lekang dipamerkan.
Sementara itu, aku meminta Shima dari bahagian pendaftaran untuk menggantikan tempat kami sementara kami berdua meninggalkan kaunter. Azura membawa kotak berisi kunci dan aku pula memegang fail dan kotak berisi rantai kunci cenderahati dari Resort Cahaya.
Aku dan Azura melangkah dengan anggun mendapatkan kumpulan lelaki yang hampir 100 orang kesemuanya. Kebaya batik pendek dan belahan kain hingga ke paras lutut mengundang siulan dari segenap sudut. Namun begitu, aku dan Azura tetap bertabah kerana kami sudah lali dengan usikan sebegitu.
Kami meletakkan kotak di meja bersebelahan Encik Marzuki yang sedang rancak berbual dengan seorang lelaki. Aku berdehem dan Encik Marzuki menoleh begitu juga dengan lelaki tersebut. Kedua-dua anak mata kami bersabung. Terpegun aku dengan panahan mata lelaki itu yang tajam menyorot anak mataku.
Berderau darah seketika. Cepat-cepat aku alihkan pandangan ke wajah Encik Marzuki.
"Oh ya! Cik Risya, Cik Azura. Kenalkan, rakan kongsi saya, Wan Huzairi. Selalunya dia malas nak ikut, tapi dia terpaksa juga datang kerana peserta kem bina semangat agak ramai kali ni."
Wan Huzairi hulurkan tangan dan bergilir menyalamiku dan juga Azura. Anak matanya melekat ke wajahku tanpa berkelip, merenung dengan tajam sekali. Terasa gigil bila Wan Huzairi mengenggam tangganku dengan erat seakan tidak mahu melepaskannya.
"Seperti biasa Encik Marzuki, makan tengah hari di Anjung Restaurant tepat jam 12.00." Mujurlah suara Azura memecah keheningan antara kami. Cepat-cepat aku tarik jari-jemariku dari genggaman Wan Huzairi.
Encik Marzuki mengangguk dan bertepuk tangan minta semua peserta memberi tumpuan kepadanya. "Perhatian semua. Sekarang, kunci bilik masing-masing akan diserahkan. Lunch pukul 12.00 dekat Anjung Restaurant di hujung sana, selepas tu acara bebas. Malam ini, kita akan bermula dengan 'Night Safari Walk' tepat 8.00 malam. Faham semua?"
"Faham!" suara ramai bergema dan ada juga yang hanya menganggukkan kepala. Tak perlu diarah, para peserta mula membentuk barisan panjang di hadapan kami. Masing-masing tidak sabar untuk menghilangkan penat sepanjang perjalanan dari KL dan menaiki bot hampir 2 jam lamanya.
Aku dan Azura mula menghulurkan kunci dan cenderahati setelah peserta menandatangani nama masing-masing. Yang lucunya, ada yang mengenyitkan mata kepada kami dan ada pula yang tidak segan-silu meminta nombor telefon. Aku hanya membalas dengan senyuman manis. Kami berdua sudah masak dengan perangai para pelawat dan pelancong yang datang. Bukan seorang dua pelancong yang gatal mengajak aku kahwin. Kelakar bila dikenangkan.
Dalam pada itu, aku sempat mengerling pada Wan Huzairi yang leka memerhatikan kami menjalankan tugas. Bila pandangan kami bersatu, cepat-cepat aku larikan anak mata.
'Aduhai hati... Apa dah jadi dengan aku sekarang?' - Jantung berdegup kencang seakan mahu meletup.
YOU ARE READING
TRILOGI ARIESYA - V1, V2 & V3
RomansaTERBARU DARI SAYA. BAKAL TERBIT VOL 1 - HATI YANG TERPILIH VOL 2 - KEMARAU CINTA VOL 3 - DAN...... RINDU-RINDU PUN BERGUGURAN