Kuliah, aku hadiri seperti biasa setelah hampir separuh semester dilalui dengan tenang. Itupun, kadang-kala aku harus bahagikan masa senggang menjalani photoshoot untuk jenama pakaian dari butik-butik di sekitar Lembah Klang. Kalau harus keluar dari Kuala Lumpur, sedaya upaya aku menolaknya kerana tidak mahu pengajianku terganggu.
Sesekali, aku ke pejabat MW Event Management. Sekadar tunjuk muka dan berbincang dengan Encik Marzuki tentang hal-hal berkaitan syarikat dan juga program-program baru yang diminta pelanggan.
Semester ini aku dan kawan-kawan menyertai Kelab Kebajikan dan Kebudayaan Kampus. Mungkin dengan cara ini, aku dapat hilangkan kesunyianku tanpa Arie di sisi. Dan juga, tanpa semua lelaki-lelaki yang pernah muncul dalam hidupku sebelum ini. Rizal, Kapten Fadly, Dr. Shahrul, Rizqin, Amie....
Ah! Sekarang aku lebih pandai menyusun nama-nama lelaki miang yang pernah meniduri aku. Mungkinkah ada nama lain yang bakal menduduki carta teratas yang boleh menggantikan nama Wan Huzairi?
Jamuan makan malam Gala pelajar dan staf yang bakal diadakan menambahkan keterujaan kami. Mila dan Shasha akan menari tarian kebudayaan dan kerana ketinggianku, aku dicalonkan sebagai ratu malam 'Gala'.
Aku dan rakan-rakan yang lain giat menjalani latihan catwalk sejak beberapa hari yang lepas. Walaupun masih teragak-agak kerana aku tidak pernah bergaya di pentas catwalk, namun desakan kawan-kawan terutama Mila dan Shasha, aku lakukan juga dengan penuh daya dan konsentrasi.
Semasa rehearsel penuh pada siangnya sebelum majlis sebenar, aku beraksi dengan pakaian traditional penuh Cik Siti Wan Kembang dan siap dimekap dan bersanggul kemas. Ermmm, taklah susah mana. Aku naikkan semangat di depan cermin dan mengenakan kasut bertumit runcing 4 inci.
Dewan hingar-bingar apabila tetamu mulai sampai dan mengambil tempat masing-masing. Meja-meja utama sudah dipenuhi dengan jemputan khas dan juga VVIP. Jamuan makan malam dimulakan sebaik sahaja pengacara merasmikan majlis. Sambil makan mereka disajikan dengan persembahan tarian traditional.
Mila dan Shasha melambai padaku di belakang pentas yang sedang di dalam debar menanti giliran. Tepukan gemuruh kedengaran setiap kali selesai persembahan bergaung ke dadaku. Macam manalah agaknya kakiku akan melangkah ke tengah-tengah pentas nanti? Mataku tertumpu pada pentas catwalk yang hanya sedepa lebarnya memanjang hingga ke meja VVIP. Aku menahan gigil.
Klik!! Kilauan dari lampu kamera menerangi wajah. Aku berpaling dan tersenyum lebar.
Klik... Klik...!! Akram rupanya.
"Cheer up, darling! You look fantastic," Akram menghampiriku. Pipi dicium sekilas.
"Thanks for coming."
"I'm doing this for you. Kenny yang bagitau I, you upah dia make-up untuk you. So I datanglah nak bagi moral support. Tapi, gambar siap edit nanti, I charge you jugak tau?" aku ketawa. Hilang sedikit rasa gemuruh.
"Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian. Tibalah saat yang di tunggu-tunggu,"
"Ok Risya. Sekejap lagi giliran you."
"I seriau ni, Akram."
"Rileks! You dah biasa bergaya depan kamera, setakat catwalk tu, apalah sangat? Good luck! I akan ada depan pentas."
Mujurlah giliran aku di tempat ke-6. Sepuluh 'Ratu' akan dinilai dengan catwalk ala-ala pertunjukan fesyen malam ini. Aku menarik nafas sedalam-dalamnya. Bermacam-macam doa mentera aku baca di dalam hati. Peserta pertama, dengan gaya lincah menggayakan pakaian Cheongsam terbelah di sisi peha menerima siulan hebat dari anak-anak muda pelajar kolej.
Sampai giliranku, namaku dilaung pengacara dan tepukan gemuruh kedengaran. Aku memegang dada sebentar. Diiringi muzik gamelan, aku menumpukan sepenuh konsentrasi di lantai catwalk sambil melemparkan senyuman yang paling manis aku rasakan. Tepukan hebat dan siulan riuh kedengaran di segenap dewan. Sampai di hujung pentas catwalk, dalam silauan lampu kamera, seorang lelaki naik ke pentas dan menghulurkan sekuntum ros merah.
YOU ARE READING
TRILOGI ARIESYA - V1, V2 & V3
RomanceTERBARU DARI SAYA. BAKAL TERBIT VOL 1 - HATI YANG TERPILIH VOL 2 - KEMARAU CINTA VOL 3 - DAN...... RINDU-RINDU PUN BERGUGURAN