Bab 2 | Uncertain Future

329 36 1
                                    

Pagi! Pagi! Bangun!

Alarm di dalam telefon ditutup dengan malas. Moon meregangkan otot badannya dalam posisi baring. Dia malas nak bangun dari katil dan mula membuat aktiviti rutinnya di hujung minggu iaitu mengemas bilik dan membasuh baju kotor.

Botol air di hujung katil dicapai. Air mineral diminum beberapa teguk untuk menghilangkan rasa dahaga dalam tekak. Dengan mata yang masih malas untuk dibuka, dia turun ke bawah.

Melihat ruang tamu yang kosong dan kipas juga tak dibuka lagi, bermakna mereka di bilik belakang juga belum bangun dari tidur. Hujung minggu ini siapa saja yang nak bangun awal?

Dia melangkah ke tandas di ruang dapur memandangkan rumah mereka hanya mempunyai tandas di ruang bawah. Sesudah dia membersihkan diri, dia bergerak semula ke atas untuk menukar baju.

Tap... tap... tap...

Moon berhenti di tepi tangga. Dia menoleh ke arah belakang, kosong. Hanya ada kerusi sofa saja. Dia beranikan diri pergi ke dapur semula, bunyi itu masih didengari dengan jelas tapi tak tahu datang dari mana.

Tikus ke?

Lipas?

Tapi bunyi ini tak macam bunyi tikus, lipas pula mana ada keluarkan bunyi. Moon menggaru leher. Baru saja dia hendak mengabaikan bunyi itu, dia perasan bayang-bayang seseorang di meja ruang depan.

Perlahan-lahan dia mengikuti arah bunyi itu. Hati yang tadinya berdegup kencang terus terasa lega apabila bunyi itu sebenarnya datang dari bunyi keyboard laptop Aisyah. Moon mendekati Aisyah secara senyap-senyap.

"Salah ke saya sukakan awak?" Aisyah menaip sambil bercakap.

Moon tersenyum. "Sya, tengah tulis novel ke?"

"Mak!!!" Badan Aisyah terhinjut ke belakang sehingga hampir-hampir terjatuh dari kerusi.

"Kau okay tak?" Moon bertanya, risau pula kerana main sergah saja kawannya. Aisyah pula sejenis yang penakut, lemah semangat apabila ditegur secara tiba-tiba.

"Moon... aku ingatkan siapa tadi! Dengan rambut panjang macam tu... Allahuakbar, semput aku!" Aisyah mengurut dadanya sebelum dia teringat tentang laptop yang masih terbuka luas.

Moon tersengih, dia duduk di kerusi bertentang arah dengan rakannya. Dari sudut pandangan dia, Aisyah ini memang sangat suka menulis. Entah apa yang seronok sangat dengan menulis pun dia tak pasti. Kalau mereka keluar, mesti dia akan singgah ke kedai buku.

"Aisyah, lepas grad nanti kau nak jadi apa?"

Jari Aisyah terhenti dari menaip, pelahan-lahan dia menurunkan skrin laptop dan cuba membaca air muka Moon. Dia nampak tenang saja walaupun soalannya itu kedengaran serius.

"Kalau ikutkan rancangan yang mak aku buat, lepas aku habis diploma ni, aku sambung belajar lagi. Ambil degree pula."

"Kau nak sambung lagi?"

Aisyah anggukkan kepala.

Moon memandangnya dengan muka tak percaya. Bukan apa, dia pun ada niat nak sambungkan pelajaran selepas tamat pengajian peringkat diploma ini tapi mungkin dia akan rehat dulu.

"Terkejut?"

Aisyah tergelak kecil. Apa salahnya nak terus sambung, selagi ada minat nak terus belajar, ada baiknya diteruskan saja. Nanti kalau dah malas, dah rasa macam nak kerja saja, belajar apa pun tak rasa seronok.

Moon diam. Bagusnya kawan dia ini, jenis yang dengar apa mak ayah kata. Kalau diri sendiri, dia lagi selesa buat keputusan untuk kehidupan dia. Lagipun orang yang akan lalui penat lelah setiap ujian itu dia, bukan orang tuanya.

Wonderful Youth [c]Where stories live. Discover now